Saturday, January 3, 2009

10 maut nahas buruk hari kedua tali pinggang belakang dikuat kuasa

MSTAR ONLINE
[DIKEMAS KINI]


GUA MUSANG:Sepuluh maut dan seorang bayi cedera parah dalam kemalangan di Gua Musang, paling buruk hanya dua hari selepas peraturan mengenakan tali pinggang penumpang belakang dikuatkuasakan.

Kemalangan itu yang melibatkan tiga kenderaan berlaku di Bukit Sejuk pada pukul 11.30 pagi semalam.

Malah, ia juga kemalangan buruk selepas kejadian Ahad lalu membabitkan dua buah kenderaan remuk selepas bertembung di Kilometer 21 Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Gua Sejuk.

Kejadian itu mengakibatkan dua beradik maut iaitu pemandu kereta, Mohd Zakuan Abdul Aziz, 18, dan kakaknya, Saadiah, 21.

Dalam kemalangan pagi ini, Ketua Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Rosli Che Sulaiman berkata, kecuali pemandu mangsa tidak mengenakan tali pinggang.

Kemalangan itu juga dipercayai berpunca apabila sebuah Perodua Kancil yang dipandu oleh Haliza Md Zain, 33, bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan.

Ekoran pertembungan itu, sebuah kereta dari belakang, Kenari melanggar Perodua Kancil.

Haliza dikatakan dalam perjalanan ke Kuala Krai dari Gua Musang.

Selain Haliza, mangsa yang terbunuh dikenal pasti sebagai adiknya Maziatul Shamila, tiga anak Haliza iaitu Mohd. Rahiza Yuswa Abdul Rahim, 12, Norashidah, 10, dan Shaha, 6.

Anak keempat Haliza, Noraihah Nabila yang berusia 12 bulan cedera parah dan dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan.

Lima mangsa kereta yang lain dikenali sebagai Lau Sin Eik, 59, iaitu pemandu kereta; Lee Bee Seng, 50; Lau Chai Soon, 78; Ho Kin Hum, 86, dan Shareen Lau Ming Min, 18.

Mereka yang berada dalam kenderaan pacuan empat roda, Phua Thein Noo, 28, (pemandu) dan penumpangnya, Tan Chee Hua, 44, Wong KeeHooi, 20, dan Lau Soon Lee, 33, mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Ahmad Termizi Abd. Haq berkata, pihaknya menahan Phua untuk disoal siasat.

"Siasatan awal menunjukkan kemalangan dipercayai terjadi disebabkan pemandu Kancil memandu laju ketika cuba memotong kenderaan lain.

"Pemandu itu tidak sempat memotong dan kemungkinan bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda.

"Hampir kesemua mangsa mati di tempat kejadian kecuali kanak-kanak berusia enam tahun meninggal dunia ketika dibawa ke hospital," katanya.

Ahmad Termizi menambah, kebanyakan mangsa terperangkap dalam kenderaan manakala sebahagian lagi tercampak keluar.

No comments: