Thursday, November 6, 2008

Sidang Parlimen ditangguh,Najib didakwa langgar peraturan

Roy Rasul & Salmiyah Harun


KUALA LUMPUR - Setelah hampir satu jam desakan oleh lebih sepuluh orang Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang tidak berpuas hati dengan pembentangan belanjawan tambahan yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak semalam akhirnya Timbalan Speaker Dato Seri Wan Junaidi Jaafar menangguhkan sidang parlimen.

Penangguhan itu dibuat semasa sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2009, apabila Lim Kit Siang (Ipoh Timur-DAP) bangun mempersoalkan mengenai perkara itu.

Lim, mempersoalkan pendekatan-pendekatan yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Dato' Seri Mohd. Najib Tun Razak semalam untuk menangani kesan krisis ekonomi.

Penasihat DAP itu meminta penjelasan sebelum bermulanya sesi perbahasan ke atas rang undang-undang perbekalan 2009 mengenai peruntukan RM7 bilion yang diluluskan .

Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim juga mempersoalkan sama ada ucapan penggulungan semalam merupakan bajet baru ataupun Bajet 2009 yang dibentangkan Ogos lalu.

Sementara itu, dalam satu sidang media Anwar berkata, Najib telah melanggar peraturan dan undang-undang dalam isu belanjawan negara.

Malah katanya, apa yang dilakukan oleh Najib satu tindakan yang belum pernah berlaku dalam sejarah setiap belanjawan yang dibentangkan hendaklah dibahaskan kemudian dijawab semula oleh menteri terbabit.

Katanya, belanjawan baru yang dibentangkan akan melibatkan pindaan kepada unjuran, inflasi, defisit, pendapatan dan perbelanjaan yang berbeza.

"Mengikut peraturan, apabila saya sebut dalam dewan dalam menambahkan usul yang dibangkitkan oleh Ipoh Timur, ahli BN cuba menolak tapi sebenarnya peraturan itu telah dilanggar," katanya.

Anwar menegaskan, jika hendak membuat pindaan dalam jawapan menteri hendaklah diberikan notis dua hari sebelum sebagaimana yang dijelaskan dalam Peraturan Mesyuarat Perkara 66 (15).

"Kita kena ikut peraturan, yang mana yang diluluskan semalam? Belanjawan Abdullah atau Najib, kemudian speaker umumkan yang diluluskan itu adalah belanjawan Najib.

"Kalau yang diluluskan itu belanjawan Najib, dia melanggar peraturan kerana yang diedarkan kepada kami adalah belanjawan Abdullah, belanjawan Najib belum diedar," katanya.

Katanya, peruntukan yang diberikan kepada Kementerian Pelajaran serta Pertanian oleh Najib semalam pastinya berbeza dengan belanjawan Abdullah.

"Apa yang hendak diluluskan? Ini sahajakah yang terpaksa kita bahaskan sehingga berjam-jam,"katanya.

Bagaimanapun beliau menyifatkan tindakan menangguhkan dewan oleh Junaidi adalah satu tindakan yang bijak.

Dalam pada itu, Dato'Kamarudin Jaffar (PAS-Tumpat) yang turut berada dalam sidang media itu, berkata sikap Najib yang tidak memberi peluang kepada pembangkang mencelah dalam jawapan penggulungan Kementerian Kewangan memberi petanda yang amat membimbangkan masa depan negara.

"Semalam Najib telah menunjukkan lagaknya kononnya sebagai Perdana Menteri walaupun belum memegang jawatan itu kerana beliau langsung tidak beri laluan kepada pembangkang sehingga selesai membentangkan bajet tambahan tersebut," katanya.

Menurutnya, persidangan parlimen tidak sama dengan persidangan Umno yang mana di parlimen berlandaskan undang-undang dan peraturan serta tradisi Dewan Rakyat negara ini.

Merujuk kepada kertas 'order' yang diedarkan kepada setiap Ahli Parlimen pada 29 Ogos, Kamarudin berkata belanjawan itu tidak sama sebagaimana yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan semalam.

"Jadi, inilah yang dibantah oleh kami kerana ia lain daripada apa yang dibentangkan Najib semalam,"katanya.

Antara mereka yang turut mempersoalkan belanjawan yang dibentangkan Najib semalam ialah Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena), Khalid Abdul Samad (PAs-Shah Alam), Dr Siti Mariah Mahamud (PAS-Kota Raja), Dr Dzulkifli Ahmad (PAS-Kuala Selangor), Tian Chua (KeADILan-Batu), Sivarasa Rasiah (KeADILan-Subang), Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat), dan N.Gobalakrishnan (KeADILan-Padang Serai).

(Berita terdahulu)

Sidang perbahasan Dewan Rakyat hari ini ditangguhkan serta merta pada kira-kira jam 12.15 tadi oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Dato' Dr Wan Junaidi Tunku Jaffar.

Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar yang juga ahli Parlimen Tumpat mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Harakahdaily dan ketika ini Pakatan Rakyat sedang mengadakan sidang media di lobi Parlimen.

Semalam ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang dikepalai Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim bertindak keluar dewan kerana tindakan Menteri Kewangan, Dato' Seri Najib Tun Razak yang enggan memberi laluan kepada Pakatan Rakyat berbahas.

Namun hingga pengumuman pengguhan itu tadi, Wan Junaidi tidak mengumumkan bila sidang dewan akan dimulakan semula. - mks._

No comments: