BERNAMA
KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Kelantan dan Terengganu semakin buruk petang ini apabila semakin ramai yang terpaksa dipindahkan manakala di Pahang keadaan tidak banyak berubah.
Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat mendadak kepada 1,743 orang petang ini berbanding 295 orang tengah hari tadi manakala di Kelantan 794 orang, meningkat daripada 109 orang pagi tadi, dan di Pahang 25 orang.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri Terengganu berkata daripada jumlah itu, 954 mangsa di Besut, Hulu Terengganu (376), Setiu (325) dan Marang (88).
"Kita sedang membuat pemantauan di daerah-daerah lain berikutan hujan lebat berterusan di negeri ini," katanya ketika dihubungi hari ini.
Jurucakap itu berkata 10 pusat pemindahan telah dibuka di Besut sehingga pukul 5 petang ini manakala empat di Hulu Terengganu, lima di Setiu dan dua di Marang.
Jurucakap itu berkata paras air sungai yang melepasi paras bahaya di negeri itu sekarang ialah di Kampung La dan Jambatan Jertih di Besut, yang masing-masing mencatatkan 22.36 meter (paras bahaya 19.20 meter) dan 9.03 meter (paras bahaya 8.90 meter) serta Sungai Marang 14.26 meter (paras bahaya 14 meter).
Beliau berkata jalan-jalan yang ditutup setakat ini ialah jalan Kuala Ping ke Kuala Berang di Km28, jalan Kuala BerangSungai Tong, jalan Kuala Berang-Kampung Kepah, yang kesemuanya ditenggelami air sedalam antara 0.5 dan dua meter.
Di Kelantan pula, jurucakap Pusat Kawalan Operasi Bencana Banjir (PKOB) Kelantan berkata kesemua 794 mangsa banjir yang dipindahkan adalah di Jeli.
"Jajahan-jajahan lain belum lagi kita terima maklumat terkini mengenai mangsa banjir dipindahkan, hanya Jeli sahaja yang berlaku perpindahan mangsa banjir," katanya, sambil menambah antara jalan yang ditutup kini adalah laluan utama Kota Baharu-Kuala Krai dan Jeli-Dabong.
Dua laluan utama menuju ke jajahan Jeli dan Kuala Krai juga ditutup berikutan air mula naik setinggi satu meter.
Tinjauan Bernama pula mendapati laluan masuk ke bandar Kuala Krai ditutup untuk kenderaan ringan berikutan air Sungai Durian melimpah ke atas jalan setinggi satu meter.
Sementara itu, Ketua Jajahan Jeli Serpudin Mohamad berkata hujan lebat yang melanda jajahan itu sejak 2 pagi tadi, menyebabkan paras air Sungai Pergau dan Sungai Ayer Lanas meningkat mendadak dan penduduk di lima kampung terpaksa berpindah ke empat pusat pemindahan.
Katanya laluan utama untuk masuk ke jajahan Jeli yang ditutup akibat dinaiki air setinggi satu meter adalah Jalan Kuala Balah-Jeli dan Jalan Gua Musang-Jeli.
Di Pahang pula, keadaan banjir di daerah Temerloh dan Cameron Highlands tidak banyak berubah apabila 25 mangsa masih ditempatkan di pusat pemindahan banjir berbanding 29 orang pagi tadi selepas empat sekeluarga dari Kampung Kuang, Lanchang dekat Temerloh dibenarkan pulang berikutan keadaan air di kawasan rumah mereka telah surut.
Jurucakap bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata seramai 12 orang masih ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Kampung Kuang, Lanchang manakala 13 lagi dari Lembah Bertam, Cameron Highlands ditempatkan di Dewan Orang Ramai Ringlet.
Sementara itu, dua jalan di daerah Bera iaitu Jalan Kampung Orang Asli Chuat dan Jalan Kampung Orang Asli Ibam yang ditenggelami air setinggi satu meter masih ditutup untuk kenderaan ringan.
No comments:
Post a Comment