Anis Nazri
Ditemani Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman dan jurugambar Wan Zahari Salleh, misi bantuan kepada keluarga ISA diteruskan ke Tanjung Malim dan Cheras, 23 Oktober lalu.
Bersempena Deepavali yang bakal menjelang, keluarga India pula menjadi tumpuan.
Destinasi pertama kami menuju rumah bekas tahanan ISA, Sanjeev Kumar, di Taman Bernam, Tanjung Malim yang berkerusi roda ketika menyambut kedatangan kami.
Walaupun beliau sudah dibebaskan September lalu, namun nasibnya yang terpaksa bergantung harap kepada isterinya, Sharmila begitu menyentuh hati kami.
Seperti pertemuan sebelum ini, Sharmila tetap tersenyum manis bercerita tentang suaminya,lebih-lebih lagi selepas suaminya dibebaskan September lalu. Namun, kami agak terkilan apabila dimaklumkan Sanjeev tidak dibenarkan bercakap dengan media serta tidak boleh diambil gambarnya.
Menghormati pendirian mereka serta memahami syarat-syarat yang terpaksa dipatuhi Sanjeev yang ditahan selama setahun satu bulan di bawah ISA, kami hanya bertanya khabar dan merakam perbualan dengan Sharmila.
Keperitan Sanjeev yang lumpuh dari paras pinggang ke bawah akibat diseksa teruk ketika dalam tahanan polis dikongsi bersama Lutfi, yang turut bercerita tentang pusat rawatan fisioterapi yang kerap dikunjungi Lutfi kebelakangan ini. Sambil mengurut-urut bahagian kaki Sanjeev, Lutfi menyatakan berhasrat mahu membawa Sanjeev 'berubat' bersamanya di pusat fisioterapi itu.
Sharmila turut bercerita kesukaran mereka untuk menyambut Deepavali di kediaman ibu bapa mereka, di Kalumpang, Hulu Selangor.
"Sudah sebulan kami menghantar surat untuk memohon pulang ke Kalumpang pada Deepavali ini kerana Sanjeev tidak dibenarkan keluar dari Tanjung Malim. Sedangkan kampung kami bersebelahan sahaja, tetapi kerana ia sudah masuk negeri Selangor, ia menyukarkan kami," cerita Sharmila. Malah, hendak mendapatkan rawatan untuk suaminya di luar kawasan pun sukar.
Menghabiskan masa bertanya khabar kira-kira satu jam bersama, kami menyampaikan sumbangan kepada Sharmila sebanyak RM 1,000 hasil sumbangan pembaca Harakah yang prihatin dengan nasib keluarga ISA.
Kami kemudiannya memasuki lebuh raya untuk ke pejabat. Namun, di pertengahan jalan Lutfi meminta Wan Zahari yang memandu agar ke kawasan rumah panjang di Cheras, mengunjungi sebuah lagi keluarga ISA.
Kebetulan, wakil GMI, Norlaila Othman dan Bendahari GMI, Nashitah Md Noor turut berkunjung ke rumah M. Leela untuk memberi bantuan kepadanya. Bapa Leela yang uzur menyambut kami.
Suami Leela, Sundaraj Vijay telah ditahan selama setahun di Kamunting, kerana dikatakan memiliki beberapa passport dan kad pengenalan palsu.
Leela, yang bekerja mencuci tong pemadam api menghadapi kesukaran membesarkan anaknya yang disahkan menghidapi penyakit autisme.
Cerita beliau, ada ketikanya anaknya yang berusia tiga setengah tahun akan berkelakuan ganjil dan menguji kesabarannya. Lebih-lebih lagi dalam keadaan bersendirian tanpa suami di sisi.
Wajahnya mula mendung apabila bercerita tentang anaknya. Apatah lagi apabila menceritakan bahawa tiada sesiapa yang menyanggupi untuk menjaga anaknya ketika beliau keluar bekerja.
"Ayah saya pun tak larat nak jaga. Kalau dia mengamuk, tiada siapa yang boleh membantu. Sebab itu saya tertekan. Nak bekerja lagi, jaga anak lagi," keluh beliau.
Namun, di sebalik kedukaan itu, Leela sentiasa menunjukkan keriangannya ketika bercerita kepada kami. Malah, beliau sering memujuk hatinya dengan menganggap suaminya kini bekerja di luar negara, dan bukannya ditahan di bawah ISA.
Menyedari masa yang semakin rembang dan 'deadline' yang menanti, kami kemudiannya mengundur diri. Wakil GMI, kemudiannya menyerahkan sumbangan pembaca Harakah sebanyak RM1,000 kepada Leela bagi persiapan keluarga itu menyambut Deepavali akan datang. Lutfi turut menyampaikan 'duit raya' kepada bapa Leela dan empat orang cucunya.
"Sedih betul tengok nasib Sanjeev tadi. Walaupun dia tak boleh bercerita lanjut tentang penyeksaan dalam tahanan polis kerana syarat-syarat ketat pembebasannya, Harakah mesti melakukan sesuatu. Mana boleh dibiarkan kezaliman bertindan-timpa ini berlaku," Lutfi meluahkan amarahnya sambil meminta saya konsisten menulis tentang isu ISA ini. - mks._
No comments:
Post a Comment