Tuesday, November 4, 2008

Ahli Parlimen pembangkang keluar dewan

MALAYSIA KINI


Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar Dewan Rakyat hari ini sebagai membantah keengganan Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak melayan pertanyaan yang dikemukakan ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Bajet 2009.

Najib memberitahu dewan bahawa beliau akan menjawab soalan-soalan dari ahli Parlimen selepas selesai menyampaikan ucapannya.

Sehubungan itu, beliau tidak membenarkan beberapa percubaan oleh ahli Parlimen pembangkang untuk mendapatkan penjelasan.

Ahli-ahli Parlimen pembangkang juga kecewa kerana perangkaan dalam ucapan Najib itu, berbeza dengan perangkaan dalam bajet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga menteri kewangan September lalu.

Sementara itu, Bernama melaporkan Najib berkata tindakan anggota Parlimen pembangkangmeninggalkan Dewan Rakyat ketika sesi penggulungan Kementerian Kewangan hari ini adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata pembangkang tidak sepatutnya bertindak demikian kerana apa yang dibentangkan di dalam Dewan Rakyat adalah langkah tambahan yang begitu penting untuk masa depan negara dan juga untuk membela kepentingan rakyat.

"Jadi dalam pembentangan seperti ini, mereka sebagai pembangkang yang bertanggungjawab dan menunjukkan sikap yang membina sepatutnya hadir dalam masa pembentangan itu.

"Ini satu yang rakyat mesti sedar bahawa mereka telah mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai pembangkang yang konstruktif dan bertanggungjawab,"katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen.

Ketika sesi penggulungan Kementerian Kewangan yang bermula 4.30 petang ini, pembangkang bertindak keluar Dewan selepas tidak puas hati kerana mendakwa Najib tidak memberikan mereka peluang untuk mencelah bagi mendapatkan penjelasan.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata beliau membuat keputusan tidak memberikan laluan untuk penjelasan sehingga selesai pembentangan peringkat pertama kerana ingin memberikan gambaran yang jelas supaya tidak ada pihak yang terkeliru dengan langkah dan dasar baru yang dibentangkan.

"Elok saya buat pembentangan dulu. Bila dah nampak gambaran keseluruhannya, kalau mereka nak buat pertanyaan penjelasan, saya sanggup memberi penjelasan.

api nampaknya mereka tidak sabar dan nak keluar juga.

"Saya memang dah janji bahawa saya akan bagi masa untuk mereka membuat sebarang pertanyaan dan penjelasan. Saya bukan menafikan, saya menggunakan hak saya untuk menentukan bila saya nak bagi peluang," katanya.

Ketika ditanya sama ada kekeliruan berlaku di antara bajet baru dan bajet tambahan yang dibentangkan hari ini, Najib berkata: "Ini bukan bajet baru sebab dari segi jumlah untuk perbelanjaan pembangunan dan untuk bajet perbelanjaan pengurusan ia masih kekal pada paras yang sama."

"Mahu kasi laluan atau tidak semasa ini?" soal Pandikar Amin kepada Najib.

Najib menjawab: "Saya nak bentangkan, itu hak saya Tuan Yang Dipertua. Itu hak saya."

Sementara itu, pada sidang media selepas itu, Anwar berkata tindakan ahli Parlimen pembangkang meninggalkan sesi berkenaan disebabkan rasa tidak puas hati dengan pendirian yang diambil oleh Najib.

"Kami menunggu sejam untuk mendapatkan kebenaran menteri bagi membolehkan kami memberi respons dan mengambil bahagian dalam perbahasan. Inilah masanya untuk menteri menjawab isu yang dibangkitkan oleh ahli Parlimen," katanya.

Anwar juga mendakwa Timbalan Perdana Menteri telah mengemukakan usul dan cadangan baru terhadap Bajet 2009 yang dibentangkan sebelum ini.

No comments: