Rabu, 8 Oktober 2008

Majlis Ulama tidak sesuai diwujud dalam Umno - Nik Aziz
Mohd Nor Yahya


KOTA BHARU - Umno tidak sesuai mewujudkan majlis ulama seperti disarankan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abdin memandangkan parti itu memisahkan agama dalam perjuangan.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, majlis ulama hanya sesuai dengan gerakan Islam seperti PAS kerana sejak awal lagi konsisten memperjuangkan Islam.

"PAS sejak awal-awal lagi meletakkan al-Quran dan Hadis sebagai rujukan, maka ulama berperanan penting dalam perjuangan PAS," katanya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri, hari ini.

Mufti Perlis hari ini dilapor mencadangkan penubuhan Majlis Ulama dalam Umno untuk memastikan ahli-ahli parti tidak lari dari roh Islam dan menerima kuasa dengan penuh tanggungjawab.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, PAS merujuk kepada Dewan Ulamak dalam setiap gerak kerja sedangkan perkara itu tidak berlaku dalam Umno.

Selain itu PAS juga mempunyai Majlis Syura Ulama iaitu badan tertinggi dalam PAS yang memutus hala tuju gerakan Islam tersebut.

Dalam perkembangan lain beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada pegawai dan kakitangan kerajaan negeri yang berjaya melaksanakan tugas dengan berkesan pada Ramadan lalu.

"Ramadan tidak menjadi penghalang kepada kakitangan kerajaan negeri untuk meneruskan kerja harian. Malah mereka berjaya menyiapkan sebanyak 200 kertas ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan sehingga dapat dibincangkan pada mesyuarat hari ini.

"Saya mengucap berbanyak terima kasih kepada mereka yang memberi kerjasama sepenuhnya dalam menyiapkan kertas-kertas mesyuarat Exco," ujar beliau.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan, Wan Ubaidah Omar berkata, program majlis Hari Raya bersama perantau akan diadakan pada 12 Oktober ini bertempat di Dataran Majlis Perbandaran Shah Alam Selangor.

Menurutnya majlis tersebut sebagai menghargai perantau yang berada di luar Kelantan dan Menteri Besar bersama anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat serta Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dijangka hadir.

Selain itu, Ketua Menteri dan Menteri-Menteri Besar di bawah Pakatan Rakyat turut dijemput pada majlis tersebut yang dijangka dihadiri lebih 3,000 anak Kelantan di perantauan. Majlis itu bermula pada jam 9 pagi hingga 2 petang.

"Saya bagi pihak kerajaan negeri menjemput semua warga Kelantan terutamanya di Selangor hadir pada program tersebut untuk beramah mesra dengan pemimpin kerajaan negeri Kelantan." ujar beliau.

Wan Ubaidah juga berkata, juadah yang disediakan pada majlis itu ialah masakan ala Kelantan termasuk kuih dan ketupat. - mj _

Tiada ulasan: