Kementerian pantau kemasukan hasil pertanian pastikan bebas melamin - Mustapa
BERNAMA
JELI: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam memantau kemasukan hasil pertanian dari China bagi memastikan ia tidak dicemari melamin.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed berkata walaupun Malaysia ada mengimport bahan pertanian dari negara itu, setakat ini belum ada laporan mengenai pencemaran bahan kimia melamin.
"Kita ada import hasil pertanian dari China seperti kubis dan limau terutama pada musim perayaan Tahun Baru Cina, jadi pemantauan berterusan akan dibuat dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dalam menangani perkara ini.
"Setakat ini, kita belum terima sebarang laporan,bagaimanapun sebagai langkah berjaga-jaga, pemantauan awal dilaksanakan," katanya kepada pemberita selepas sambutan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri bersama kakitangan kerajaan dan warga pendidik Pejabat Pelajaran Daerah Jeli di Sekolah Menengah Kebangsaan Jeli, di sini hari Ahad.
Beliau berkata sayur-sayuran yang ada di pasaran negara ini masih selamat untuk dimakan dan pengguna tidak perlu risau mengenainya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan