Thursday, October 30, 2008

Jemaah haji diminta jaga maruah negara

BERNAMA


PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menasihati jemaah haji Malaysia supaya sentiasa menjaga imej dan maruah negara ketika berada di tanah suci.

Baginda juga menasihati mereka supaya sentiasa menjaga kesihatan diri dan bersabar dalam melaksanakan segala rukun haji yang ditetapkan agar dapat kembali semula ke tanah air dengan haji yang mabrur.

“Beta yakin para jemaah haji telah bersedia dengan kursus yang telah diberikan. Semoga selamat pergi dan selamat kembali ke tanah air,” titah baginda ketika mengu capkan selamat jalan kepada rombongan pertama jemaah haji di Kompleks Haji Kelana Jaya dekat sini hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah kemudian berkenan bersalaman dengan 355 orang jemaah haji sebelum mereka menaiki bas khas menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Seramai 27,000 orang jemaah haji dari Malaysia akan menunaikan ibadah haji tahun ini bermula dengan kum pulan pertama yang berlepas hari ini dan dijangka pulang ke tanah air pada 13 Disember.

Kumpulan terakhir yang bertolak pada 1 Disember pula dijangka pulang pada 11 Januari depan.

No comments: