Khamis, 2 Oktober 2008

Hindraf mahu bermaafan, Umno kutuk
Abdul Aziz Mustafa


AKTIVIS-AKTIVIS Hindraf yang begitu sukar dan tidak pernah berpeluang berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dikutuk kerana menyampaikan bantahan mereka ke atas penahanan tanpa bicara rakan-rakan mereka di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di rumah terbuka Hari Raya anjuran Perdana Menteri dan anggota kabinet beragama Islam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

"Kami telah berusaha untuk berjumpa dengannya (Perdana Menteri) selama ini, jadi kami mengambil peluang hari ini. Kami datang dengan hati yang terbuka," kata Koordinator Kebangsaan Ideologi Hindraf, W. Sambulingam.

Kumpulan itu dilaporkan sebagai "memotong barisan" oleh Bernama untuk menyerahkan patung beruang dan kad Hari Raya yang mengandungi 300 tandatangan bagi mendesak pembebasan pemimpin Hindraf yang sedang meringkuk dalam tahanan.

Kad Hari Raya itu bagaimanapun terkoyak teruk dalam pergelutan dengan polis yang sebelum itu cuba merampas kad itu di pintu masuk PWTC.

Sambil menutup mulut dengan angkuhnya terhadap penggunaan ISA yang dinyatakan oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai bertentangan dengan ajaran Islam, beberapa menteri mengecam Hindraf kerana menganggap tindakan mereka tidak kena pada masa dan tempatnya.

Menteri-menteri Umno itu seolah-olah tidak ada perasaan untuk memahami penderitaan dan penyiksaan yang tidak mengenal masa dan tempat yang ditanggung oleh rakyat akibat ISA.

Mereka juga seolah-olah mengharamkan penyerahan memorandum membantah penyiksaan dan kekejaman ISA pada Hari Raya, walaupun pada hari apa sekalipun mangsa-mangsanya menghadapi pelbagai penderitaan akibat kekejaman itu.

"Ini bukan masanya, bukan tempatnya. Mereka boleh datang untuk mengtucapkan Selamat Hari Raya dan bersalaman, tetapi yang lain dari itu, masa yang lain, tarikh yang lain.

"Jika mereka datang dengan aman, sepatutnya tidak ada masalah," The Star memetik rungutan Menteri Dalam Negeri yang juga tukang kuatkuasa ISA, Datuk Seri Syed Hamid Albar yang ternyata jelas membisu mengenai begitu banyak masalah dan penderitaan yang dihadapi rakyat akibat penyalahgunaan ISA .

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula berkata, ahli-ahli Hindraf sepatutnya tahu batasannya dan bukan datang ke rumah terbuka "seperti ini".

"Ada platform kepada anda untuk menyerahkan (memorandum). Ini bukan cara yang betul untuk melakukannya. Maksud saya, ia adalah majlis Hari Raya, ia tak ada kena-mengena dengan memorandum.

"Perkara ini tidak seharusnya berlaku begini, terutama di musin perayaan, tidak kira sama ada Hari Raya, Krismas, Deepavali atau Tahun Baru Cina," kata Shafie.

Menteri Pelancongan Datuk Azalina Othman pula berkata apa yang dilakukan oleh Hindraf itu akan memberikan imej yang buruk kepada Malaysia di sisi pelancong.

"Kalau anda tetamu, buatlah seperti tetamu. Parlimen akan bersidang pada 13 Oktober. Mereka boleh berbuat demikian (menyerahkan memorandum) pada masa itu," katanya

Di pihak Hindraf pula, mereka bukan hendak mengacau rumah terbuka itu, malah makan minum di situ pun mereka tak ingin.

K Shanti, isteri pemimpin Hindraf dalam pelarian P Waythamoorthy berkata, mereka hanya menyerahkan patung beruang dan kad tersebut sahaja.

"Dalam semangat saling bermaafan sempena Hari Raya Aidilfitri, kami mahu menyatakan bahawa orang-orang India di Malaysia memaafkannya (Perdana Menteri) kerana menghantar para pemimpin Hindraf ke (Kem Tahanan Perlindungan) Kamunting
Malaysiakini memetik Shanti sebagai berkata apabila ditanya mengenai kad itu.

Selain 200 penyokong Hindraf itu, kira-kira 40 aktivis anti-ISA juga hadir ke rumah terbuka itu.

Mereka menuntut supaya dihapuskan undang-undang yang menghalalkan penahanan tanpa bicara itu dan kesemua tahanan ISA dibebaskan.

Islam mengharamkan penahanan tanpa bicara._

Tiada ulasan: