Hindraf diberi amaran
Oleh Saiful Haizan Hasam
KUALA LUMPUR 3 Okt. – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar memberi amaran keras kepada pertubuhan haram Hindu Rights Action Force (Hindraf) supaya tidak menjadikan toleransi antara agama dan kaum di negara ini sebagai ‘bahan uji kaji’.
Katanya, tindakan mereka menyerbu majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet beragama Islam kelmarin adalah satu bentuk provokasi yang melampau dan menakutkan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan penyokong Hindraf supaya tidak menyalahkan orang lain sekiranya pihak berkuasa bertindak kerana perbuatan mereka itu bertentangan dengan tatasusila.
“Jangan uji banyak sangat tahap toleransi, mereka kena fikir perasaan orang lain. Janganlah hingga melampaui batas.
“Mereka tidak sensitif dengan agama orang lain dan itu bukannya ajaran agama Hindu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas perbuatan sekumpulan penyokong Hindraf yang menimbulkan kekecohan pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kelmarin.
Tanpa mempedulikan peraturan, mereka bertindak mendahului barisan pengunjung lain yang sudahpun beratur untuk memasuki dewan sejak pukul 10 pagi. Walaupun timbul kekecohan, mereka dibenarkan memasuki dewan atas semangat hari raya.
Syed Hamid berkata, polis juga telah membuka kertas siasatan mengenai insiden itu dan akan meneliti bentuk tindakan yang boleh diambil.
Katanya, pada hari kejadian, polis tidak bertindak terhadap mereka kerana tidak mahu merosakkan suasana gembira pada majlis rumah terbuka itu.
“Penyokong Hindraf datang dengan membuat bising, ia perkara yang amat menakutkan bagi pengunjung lain.
“Mereka datang dengan niat hendak menunjukkan kekuatan, dengan pakaian khas, nak serah memorandum, kalau ikhlas mahu menyertai rumah terbuka, datanglah sebagai rakyat biasa,” katanya.
Beliau turut membidas kenyataan K. Shanti, isteri kepada Pengerusi Hindraf, P. Waythamoorthy bahawa pihaknya telah memaafkan dosa-dosa UMNO terhadap komuniti India.
Katanya, kenyataan tersebut bermotifkan politik untuk mendorong orang India membenci parti terbesar yang menaungi orang Melayu.
“Mereka ada kesombongan sehingga hendak mengampunkan UMNO,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Syed Hamid berkata, kerajaan tidak akan tunduk dengan desakan Hindraf supaya membebaskan pemimpin mereka yang kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Katanya, penahanan itu dibuat secara sah dan tiada rakyat di negara ini yang kebal daripada undang-undang termasuklah orang Islam yang turut dikenakan tahanan ISA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan