Fauzi antara 3 sertai PKR hari ini
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK
KUALA LUMPUR: Tiga pemimpin Umno termasuk seorang bekas timbalan menteri pusat hari ini mengumumkan untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Mereka terdiri daripada Datuk Fauzi Abdul Rahman, bekas Ketua Umno Bahagian Kuantan; Dr. Abdul Hadi Derani, bekas Ahli Parlimen Kota Star dan Datuk Mat Lazim Derani, bekas Timbalan Ketua Bahagian Mentakab.
Pendirian mereka diumumkan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR di sini sebentar tadi.
Fauzi merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari 1997 hingga 1999 ketika era kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut hadir pada sidang akhbar mengumumkan penyertaan ketiga-tiga mereka berkata, "kehadiran Fauzi akan dapat membantu menguatkan PKR di Pahang dan juga di peringkat pusat."
Anwar juga tidak menolak akan ada pengumuman penyertaan pemimpin Umno yang lain ke dalam PKR kelak.
Fauzi, yang berehat dari politik sejak lima tahun berkata, melihat pada keadaan politik semasa adalah masa yang sesuai untuk rakyat bangun dan mencari perubahan kepada sistem politik dua parti.
“Saya dah berehat panjang dan lihat terlalu banyak perlakuan tidak sihat berlaku dalam negara, kini masa untuk rakyat bangun dan suarakan pandangan mereka,” katanya.
Fauzi turut melahirkan rasa kesal kerana Malaysia sekarang seolah-olah dilihat sebagai sebuah negara polis.
“Bayangkan jika suatu masa nanti anak-anak kita membuat laporan polis mengenai sesuatu jenayah, kemungkinan mereka akan dipukul.
“Mereka juga berkemungkinan akan dipaksa menerima sebarang kenyataan atau tuduhan yang mereka tidak lakukan. Sebab itulah saya putuskan untuk menjadi sebahagian daripada masyarakat reformasi,” katanya.
Ditanya sama ada beliau menyertai PKR kerana merajuk setelah tidak menyandang jawatan dalam Umno, beliau berkata perkara itu tidak timbul.
“Semasa kes dakwaan liwat terhadap Anwar pada tahun 1998, Dr. Mahathir (Perdana Menteri ketika itu) meminta semua menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen supaya mempercayai dakwaan tersebut.
“Hanya saya yang membantah. Jika saya patuh pada arahan itu, sudah pasti saya sudah dilantik sebagai menteri penuh dan kekal hingga kini,” katanya.
No comments:
Post a Comment