Fatwa Dr Taha Jabir al-'Ulwani mengenai fitnah terhadap Anwar Ibrahim
Terjemahan Ustaz Zainuddin Hashim
Soalan:
Telah berlaku satu isu yang menggemparkan banyak pihak di Malaysia baru-baru ini, berhubung mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dituduh terlibat dengan perlakuan liwat, pihak berkuasa Malaysia berusaha untuk memanggil kedua-dua individu yang menuduh dan dituduh agar melakukan angkat sumpah untuk membuktikan pihak yang benar dan salah.
Apa pandangan Islam berhubung tindakan angkat sumpah berkenaan, apakah pihak yang dituduh perlu berbuat demikian bagi membersihkan dirinya daripada fitnah atau tuduhan itu seperti sumpahan orang yang terlibat dalam kes pembunuhan?
Jawapan Dr Taha Jabir al-'Ulwani:
Menurut Imam Ibnu al-Qaiyim al-Jauziyah dalam kitabnya at-Turuq al-Hukmiyyah dan beberapa pandangan ulama, mereka menolak dakwaan atau tuduhan yang datang daripada seorang yang dilihat tidak berlaku adil, khususnya daripada setiap tindakan, cara hidup terhadap orang yang mempunyai kedudukan baik dalam masyarakat, di mana dakwaan seumpama itu disifatkan sebagai 'Qazaf' dengan membawa empat orang saksi, ia bersandarkan kepada ayat 4, Surah an-Nur maksudnya:
4. "Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik;
Firman Allah lagi menerusi ayat 11-19, Surah an-Nur maksudnya:
"11. Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh siksa yang besar (di dunia dan di akhirat).
Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: "Ini ialah tuduhan dusta yang nyata.
Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta.
Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab siksa yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu; -
Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.
Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: "Tidaklah layak bagi Kami memperkatakan hal ini! Maha suci Engkau (Ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli Rumah Rasulullah)! ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan".
Allah memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi perbuatan yang sedemikian ini selama-lamanya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.
Dan Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan (hukum-hukumNya); kerana Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab siksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)."
Sesungguhnya sejarah gerakan Athisme dan Komunisme di dunia Arab secara khusus melatih perkaderan di peringkat akar umbi untuk menonjolkan akhlak yang songsang yang dilemparkan terhadap pimpinan ahli agama Islam yang komited dengannya, ia adalah cara untuk memburukkan nama baik dan imej mereka kepada umum (kerana mahu meraih kepentingan tertentu) agar umum tidak lagi percaya dan memberi sokongan kepada ahli-ahli agama, inilah yang pernah dilakukan oleh pengikut Komunis di Iraq satu ketika dahulu di kalangan parti Ba’ath (Kebangsaan Arab).
Justeru, kita amat rasa sedih apa yang sedang berlaku di Malaysia sekarang ini di mana para pemimpin kerajaan bertindak serupa dengan apa yang pernah berlaku di Iraq, mereka lakukan itu adalah semata-mata untuk kepentingan politik kotor mereka dan menyekat kemaraan pengaruh lawan dengan apa sahaja cara sekali pun walaupun melibatkan harga diri seseorang.
Mereka ini bukanlah pemimpin kerajaan yang baik yang boleh menjaga kebaikan dan kemaslahatan negara, tetapi untuk diri mereka semata-mata, tapi bagaimanapun tindakan mereka itu akan dibalas, kalau pun tidak pada diri mereka, mungkin isteri serta anak-anak mereka.
Apa yang umum hingga di peringkat global mengetahui, bahawa Saudara Anwar Ibrahim sejak masa mudanya dilantik sebagai ketua gerakan belia di Malaysia (ABIM), pernah mengurus kira-kira 25 buah sekolah beraliran agama khusus buat remaja lelaki dan perempuan (sekolah alternatif) di seluruh tanahair, tidak kedengaran pada usia remajanya atau ketika memimpin gerakan belia, sesuatu yang menjatuhkan harga diri atau maruahnya dengan tindakan yang menyalahi ajaran agama Islam. Jika pada usia begitu beliau disenangi, dipercayai dan dihormati sebagai seorang pemimpin yang baik, bagaiman mungkin pada usia yang mencecah 60 akan terlibat dengan perlakuan kaum Lut?.
Beliau sekarang ini terdedah kepada pelbagai ancaman, konspirasi, provokasi, bagi mengekalkan amalan politik kotor sekali gus mengajak manusia seluruhnya untuk menentang Allah SWT.
Isu akuan bersumpah sebenarnya tidak dibahaskan panjang lebar oleh kalangan fuqaha’ melainkan pada keadaan bila wujudnya pembunuhan antara dua kampung hingga tidak dapat dikenal pasti siapa pembunuh sebenar, maka menurut sebahagian mereka: Akuan bersumpah hendaklah dilakukan oleh 50 orang ahli setiap kampung bagi membersihkan diri daripada sebarang tuduhan, tetapi ia bukan dalam isu yang sedang dibincangkan iaitu ‘Qazaf’.
Ini kerana apa yang sedang disaksikan ialah isu antara seorang penuduh fasiq lagi zalim tidak diterima kesaksiaannya dan seorang yang teraniaya dan bersih daripada tuduhan tetapi tidak diberi haknya untuk membebaskan diri daripadanya.
Isu ini serupa apa yang pernah berlaku kepada pemimpin gerakan Islam Iraq al-marhum Syeikh Muhammad Mahmud as-Sowaf dan Syeikh Abdul Aziz al-Badri yang dilemparkan oleh pengikut Komunis dengan pelbagai dakwaan dan tuduhan hingga kedua-dua mereka tidaK dapat membela diri untuk membersihkan nama baik dan maruah.
Isu Dato' Seri Anwar Ibrahim yang pernah cemerlang dalam kepimpinannya ketika menerajui Kementerian Belia dan Sukan dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno beberapa tahun, tidak kedengaran suara-suara sumbang daripada golongan remaja, belia bersamanya dahulu menyebut tentang perlakuan sumbang beliau, tetapi bagaimana sejak akhir-akhir ini terdapat kecenderungan pihak tertentu dengan rasa tidak malu dan takut kepada Allah melemparkan tuduhan negatif itu.
Saya menyeru pihak terbabit secara jujur, bertakwalah kamu kepada Allah, takutkan akan Dia Yang Maha Bertindak Balas ke atas hamba-hambaNya di akhirat, ingatlah ketegasan Allah dalam al-Quran : Sesungguhnnya hari tersebut (kiamat) tidak akan memberi manfaat harta dan anak-pinak, melainkan mereka yang datang menemui Allah dengan hati yang selamat (dari sebarang penyakit hati yang merbahaya).
Secara peribadi selaku seorang muslim, harapan dan seruan saya kepada Kerajaan Malaysia, agar bertakwa kepada Allah dalam mengurus negara dan rakyat, khususnya orang Melayu/Islam, berakhlaklah dengan nilai akhlak Islam yang murni, dengan tidak melebihkan politik daripada akhlak, jangan bertindak sesuatu yang boleh melucutkan harga diri seseorang atau rakyat hilang keyakinan para pemimpin yang memerintah negara sekarang ini, kerana setiap sesuatu yang zalim itu adalah jalan kegelapan, yang rosak itu akan membawa kepada neraka yang membakar.
Kita bermohon kepada Allah agar Dia memelihara negara dan rakyat di bawah naungan-Nya. - mr_
No comments:
Post a Comment