Ahad, 17 Mei 2015

Mingguan Malaysia pertikai fungsi Esscom tangani kes culik di Sabah

THE MALAYSIAN INSIDER


 Sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu Restoran Ocean King minggu lalu. Pengurus, dan seorang pelanggan dari Sarawak yang duduk bersama keluarganya, dilarikan diri dalam serbuan yang berlaku kurang seminit. – Gambar fail ihsan crazydigest.blogspot.com, 17 Mei, 2015.Sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu Restoran Ocean King minggu lalu. Pengurus, dan seorang pelanggan dari Sarawak yang duduk bersama keluarganya, dilarikan diri dalam serbuan yang berlaku kurang seminit. – Gambar fail ihsan crazydigest.blogspot.com



 Insiden penculikan dua rakyat tempatan di Sabah Khamis lalu dianggap memalukan negara kerana jenayah perairan negara masih berulang walaupun pelbagai langkah keselamatan diambil, kata akhbar Mingguan Malaysia hari ini.

Melalui kolum Awang Selamat, akhbar itu berkata, pengajaran masih belum cukup diambil pihak berkuasa daripada kejadian penecerobohan bersenjata, rompakan dan penculikan di wilayah berkenaan sebelum ini.

"Apa pula lagi alasan yang mahu diberi termasuk oleh pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom)?


"Persoalannya lagi, kenapa cukup mudah dibolosi, dan penculikan itu pula tidak mudah segera dipintas," soalnya. Akhbar milik Umno itu turut menggesa pegawai penguatkuasa yang bertanggungjawab menjaga keselamatan di kawasan itu ditukar atas prinsip akauntabiliti.

Katanya, jika dibandingkan dengan Malaysia, di negara lain, kelemahan dan kegagalan yang berpanjangan, terutamanya yang menyentuh isu keselamatan, ditangani dengan tegas dan tanpa kompromi.

"Awang percaya jika tiada budaya akauntabiliti, keselamatan perairan di Sabah akan terus diambil mudah. Bukan sahaja oleh anasir luar, malah oleh pihak berkuasa yang diberi amanah.

"Dalam hal ini, sangat dituntut untuk agensi penguatkuasa meningkatkan keyakinan masyarakat dan pelancong, bukannya menyebabkan kita semua asyik geleng kepala," katanya.

Seorang wanita yang juga pemilik Restoran Ocean King, Thien Nyuk Fun, 50, dan konsultan elektronik di Kemboja,  Bernard Ghen Ted Fen, 39, diculik di restoran berkenaan pada 14 Mei lalu, kira-kira pukul 7.40 malam, di Jalan Tanah Merah, Sandakan.

Kejadian dipercayai berlaku ketika pertukaran waktu bertugas polis, manakala bot yang digunakan suspek dipercayai menghala ke Filipina.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dilaporkan berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), keempat-empat suspek datang dari arah tangga sisi di bahagian belakang restoran itu tanpa mengenakan sebarang penutup muka.

Katanya, seorang suspek berbaju-T biru dan berseluar celoreng, manakala yang lain berpakaian celoreng lengkap, dengan seorang daripada mereka menyandang rangkaian peluru di bahunya.

"Meskipun semua suspek tidak memakai penutup muka, namun saksi takut memandang mereka sebagai langkah menjaga keselamatan diri masing-masing," katanya.

Jalaluddin berkata, siasatan dan usaha mengesan suspek dan mangsa dilakukan dengan bantuan Esscom yang diketuai Komandernya Datuk Abdul Rashid Harun, pasukan Polis Marin, Gerakan Am, Cawangan Khas dan Angkatan Tentera Malaysia.


Tiada ulasan: