Isnin, 18 Mei 2015

Exco: Kaji semula tempat pos kawalan di Langkawi

MALAYSIAKINI


 


Kerajaan diminta mengkaji semula penempatan pos-pos kawalan agensi penguatkuasaan negara di pulau Langkawi bagi membolehkan usaha mencegah aktiviti penyeludupan termasuk pelarian Rohingya dari Myanmar lebih berkesan.

Exco Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya negeri Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid berkata ia berikutan ketiadaan pos-pos kawalan di kawasan perairan Langkawi yang berhadapan dengan Thailand.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat berkata kawasan itu di utara pulau Langkawi terletak paling hampir dengan perairan Laut Andaman dan deretan kepulauan milik Thailand.

"Ayer Hangat dan Thailand hanya mengambil masa 10 minit sahaja, sedangkan pos kawalan Polis Marin dan APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) terletak di Kuah atau 40 minit menaiki bot daripada Ayer Hangat.

"Ini adalah perkara yang kurang bijak kerana penyeludup daripada Thailand hanya mengambil 10 minit untuk ke Ayer Hangat sedangkan bot ronda kita dari Kuah memerlukan 40 minit untuk sampai," kata Mohd Rawi kepada pemberita di Alor Setar semalam.

Susulan insiden pencerobohan 1,158 pelarian Bangladesh dan Rohingya dari Myanmar di Langkawi Ahad Lepas, beliau berkata kawalan keselamatan di pulau peranginan itu perlu ditingkatkan dengan segera.

Deretan pulau-pulau Thailand yang terletak hanya 10 minit dari Ayer Hangat seperti Satun, Tarutao dan Kuala Bara sememangnya diketahui lokasi kegemaran bagi sindiket penyeludupan.

"Sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan pos-pos kawalan di kawasan Ayer Hangat yang berhadapan dengan Thailand untuk mencegah aktiviti penyeludupan termasuk dadah, barangan dan terkini, manusia," katanya.

Mohd Rawi mendakwa cadangan mewujudkan pos-pos kawalan agensi penguatkuasaan negara di Ayer Hangat telah dikemukakan hampir 20 tahun lepas.

Menurutnya beliau akan mengemukakan saranan itu kepada  Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

APMM adalah di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Berbanding dengan Kuah, kedudukan Ayer Hangat adalah lebih strategik untuk menempatkan pos-pos kawalan keselamatan agensi penguatkuasaan negara kerana ia terletak paling hampir dengan perairan dan kepulauan Thailand, katanya.

Mohd Rawi berkata bukan sahaja Kuah terletak kira-kira 40 minit daripada Ayer Hangat, malah kedudukannya juga berhadapan dengan Kuala Kedah,Kuala Perlis serta Pulau Pinang.

"Berikutan kedudukannya yang berhadapan dengan Satun dan perairan Thailand, Ayer Hangat adalah lebih strategik untuk penempatan pos-pos kawalan bot ronda agensi penguatkuasaan negara,"katanya.

Sementara itu, ADUN Kuah, Nor Saidi Nanyan berkata Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) harus mengemukakan penyelesaian yang berkesan untuk menangani kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh dan etnik Rohingya, dan bukannya meletakkan beban itu kepada Malaysia, untuk menyelesaikannya sendirian.

Katanya, kini sudah tiba masanya bagi PBB, yang selama ini memperjuangkan hak asasi kemanusiaan global, menunjukkan kebolehan mereka untuk membantu PATI ini dan bukannya membiarkan masalah itu dikendalikan sendiri oleh negara individu untuk menyelesaikannya.

"Saya tidak mahu mereka (PATI) ini menderita dan saya sendiri telah melihat mereka. Kami telah cuba sedaya yang mungkin untuk bantu mereka berdasarkan faktor keman usiaan, tetapi kami ada kekangan. PBB harus selesaikan masalah (situasi) ini," katanya kepada Bernama di Langkawi.

Langkawi menjadi tumpuan sepanjang minggu lepas apabila 1,158 warga Bangladesh dan etnik Rohingya dari Myanmar mendarat secara haram di pulau peranginan itu Isnin lalu, yang merupakan jumlah pendaratan PATI terbesar, dilaporkan setakat ini.

Insiden pendaratan itu berlaku selepas negara jiran, Thailand memerangi sindiket pemerdagangan manusia secara besar-besaran selepas menemui lebih 30 mayat yang ditanam di bahagian selatan negara itu, minggu lepas.

Langkawi dikejutkan selepas tengah malam Isnin lepas, dengan kebanjiran beramai-ramai pendatang haram tersebut apabila satu daripada bot kayu yang membawa PATI itu terkandas di benteng pemecah ombak berhampiran pantai Pasir Bedengung, di sebelah barat pulau itu.
Kira-kira 200 orang pula dikumpulkan berhampiran pantai manakala lebih 1,000 lagi yang dipercayai mendarat lebih awal ditemui di Kampung Kuala Temoyong, kira-kira 300 kilometer dari Langkawi.

Beberapa jam sebelum berita kemasukan besar-besaran PATI itu di Langkawi, 469 warga Bangladesh dan Rohingya mendarat di Aceh, barat laut Indonesia, yang mencetuskan spekulasi, bahawa beribu-ribu lagi PATI yang menaiki beratus-ratus bot sedang menunggu giliran untuk mendarat.

Pendatang itu yang dikumpulkan di Langkawi dipindahkan secara berperingkat ke Pusat Tahanan Imigresen Belantik di Sik, Kedah di tanah besar memandangkan pulau itu tiada kemudahan untuk menempatkan mereka.

Berikutan kemasukan itu, agensi penguatkuasaan di Langkawi menggandakan rondaan mengawal perairan bagi menghalang sebarang pendaratan haram selepas penduduk tempatan meluahkan kebimbangan berhubung keselamatan mereka berhubung situasi itu. 

Berkongsi niat ikhlas yang ditunjukkan oleh beberapa pihak yang ingin membantu pelarian itu, beliau menjelaskan, pendatang itu merupakan mangsa keadaan di negara asal mereka dan tidak mempunyai pilihan, selain melarikan diri ke negara lain.

Nor Saidi berkata secara peribadi beliau mendengar rintihan daripada pendatang itu apabila bertemu mereka di pusat perlindungan sementara yang didirikan pihak berkuasa Malaysia di Langkawi, tetapi permohonan mereka tidak dapat dipenuhi oleh penduduk di situ, sendirian.

"Bantu boleh bantu. Tapi bagaimana reputasi Langkawi sebagai destinasi pelancongan antarabangsa? Ini mempunyai makna yang besar kepada kami sebagai penduduk kerana kami juga perlu bersaing dengan kehidupan kami. Saya tidak mahu Langkawi dikenali sebagai hab pendatang tanpa izin," katanya.

Beliau juga menegaskan pulau peranginan itu tidak seharusnya menjadi tempat perlindungan bagi mana-mana dalang yang bertanggungjawab atas kemasukan pendatang berkenaan dan mendesak pihak berkuasa untuk memastikan setiap penjuru Pulau Langkawi bebas daripada kehadiran orang seperti itu.

"Langkawi tidak boleh diheret dalam sebarang konflik...Sebagai destinasi pelancongan antarabangsa, kami tidak mahu insiden di Lahad Datu berlaku di sini," katanya, merujuk pencerobohan oleh kumpulan bersenjata Sulu, Filipina di Sabah pada 2013. - Bernama


 

Tiada ulasan: