Isnin, 21 April 2014

Mahkamah Tinggi kekal sabitan, hukuman anggota polis cedera tahanan

THE MALAYSIAN INSIDER

Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan dan hukuman penjara empat tahun dua anggota polis berpangkat Sarjan yang didapati bersalah mencederakan dua tahanan enam tahun lepas.

Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah membuat keputusan selepas menolak rayuan Sarjan Mohd Shafiee Abdul Halim, 51, dan Sarjan Mohd Diah Sulaiman, 51, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

Beliau memerintahkan Mohd Shafiee dan Mohd Diah, yang kini digantung tugas, menjalani hukuman penjara mulai hari ini.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam Adenan Ismail, yang mewakili Mohd Shafiee, dan peguam Amer Hamzah Arshad bagi pihak Mohd Diah, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu dengan menaikkan jaminan daripada RM10,000 kepada RM20,000 bagi setiap tertuduh sementara menunggu rayuan selesai didengar.

Dalam penghakiman setebal 36 muka surat, Amelia berkata beliau berpuas hati bahawa Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Katar tidak terkhilaf ketika memutuskan kes itu.

Beliau turut mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas serta membebaskan lima anggota polis lain daripada pertuduhan mencederakan tahanan sama tanpa dipanggil membela diri.

Mereka ialah Sarjan Zulkiplly Taib, Koperal Abdullah Musa, Koperal Zamrin Zaid, Lans Koperal Matila @ Saudi Ismail dan Lans Koperal Nizam Abdul Wahab dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Brickfields.

Amelia juga mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas serta membebaskan Mohd Diah daripada satu lagi pertuduhan iaitu membuat kenyataan palsu selepas memutuskan rayuan pendakwaan dalam kes itu tiada merit. 

Mohd Shafiee dan Mohd Diah didakwa bersama-sama lima lagi anggota polis menyebabkan kecederaan kepada B.Prabakar, 34, dan C.Solomon Raj, 24, bagi mendapatkan pengakuan daripada mereka di pejabat detektif IPD Brickfields antara 10.15 malam pada 23 Disember dan 3.30 pagi 24 Disember 2008.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan. – Bernama

Tiada ulasan: