rais yatim  
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim .
 

PENASIHAT Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim hari ini menyeru penerbit filem tempatan agar menghasilkan lebih banyak filem yang menonjolkan cara hidup dan budaya masyarakat Islam negara ini.

Katanya filem kebudayaan Melayu dan Islamik tidak semestinya memaparkan ciri-ciri yang berat, cukup sekadar menonjolkan ajaran mudah serta cara-cara hidup Islam disertai dengan teknik-teknik menarik yang boleh mengundang penonton ke pawagam.

"Mengambil contoh filem kantonis 'box office' tempatan 'The Journey' yang berjaya mengutip RM17 juta, tema kebudayaan dan agama ternyata boleh diterima dan mendapat sambutan jika kena dengan cara ia dihasilkan," katanya dalam ucap tama ketika merasmikan Seminar Filem Islam, 'Sinema Islam: Falsafah, Nilai dan Cabaran' di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di sini.

Rais yang juga Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkata filem tempatan turut perlu mengikis unsur keganasan dan tahyul yang kini menjadi trend pembikin filem negara ini.

"Tidak dinafikan tema seperti ini menjadi tarikan penonton ke pawagam, namun ia seolah-olah 'reflects' masyarakat kita ini menyukai elemen ganas dan mengarut," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata industri filem tempatan kini menyaksikan perkembangan positif terutama dari segi bilangan pawagam dan penonton sejak 2006 hingga tahun lalu.

Katanya dari segi bilangan pawagam, pada tahun lalu terdapat 23 syarikat pawagam, 134 pawagam, 797 dewan dengan 157,271 kerusi yang didaftarkan di bawah Finas untuk skim Wajib Tayang.

Dari segi penonton pula, pada tahun lalu jumlah tontonan filem di negara ini meningkat kepada 61 juta daripada 27 juta pada 2006.

"Ini menunjukkan filem di negara ini ada pasaran, terpulang kepada penggiat filem untuk buat filem apa dan yang bagaimana bagi menarik mereka ke pawagam untuk menonton filem kita," katanya.

Rais berkata kerajaan melalui agensi seperti Finas telah menyediakan pelbagai kemudahan termasuk pinjaman untuk penggiat industri menghasilkan lebih banyak filem bermutu.

"Tetapi jangan hanya bergantung pada bantuan kerajaan semata-mata, inisiatif daripada syarikat-syarikat aktif misalnya Skop Production yang banyak menghasilkan filem yang ditonton ramai," katanya.

Seminar yang dianjurkan Finas dan Pusat Aktiviti Kebudayaan Islam (CiTRA) UIAM itu disertai oleh 200 pelajar kursus perfileman beberapa institusi pengajian tinggi dan penggiat industri filem tempatan.

Antara anggota panel yang mengambil bahagian ialah pengarah, Mahadi J. Murad, Pensyarah Fakulti Filem, Teater dan Animasi Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Dr Norman Yusoff dan Imam Muda Asyraf Mohd Ridzuan.

Seminar bertujuan membincangkan perkara-perkara utama yang berkaitan dengan definisi, konsep, bentuk dan kandungan sinema Islam, khususnya di Malaysia. - Bernama