PERTH - AUSTRALIA. Aktiviti pencarian udara bagi mengesan pesawat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang terpaksa ditangguhkan pada Selasa berikutan keadaan laut bergelora dan jarak penglihatan yang terhad ekoran angin kencang Taufan Tropika Jack.
Keadaan cuaca itu akan menyebabkan sebarang aktiviti pencarian udara tidak berkesan dan berbahaya, menurut Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) yang mengawasi operasi pencarian berkenaan.
Operai mencari pesawat malang itu memasuki hari ke-46, hari ini.
Menurut laporan Biro Meteorologi Australia, kelajuan tertinggi angin taufan itu dicatat ialah pada 130 kilometer sejam, pada 20 Februari lepas.
Ia merupakan taufan ketiga musim ini dan boleh berubah menjadi ribut yang sangat ganas.
Bagaimanapun, JACC memaklumkan sepuluh kapal yang terlibat dalam pencarian pada Selasa akan meneruskan aktiviti sebagaimana dirancang.
Dalam satu kenyataan dari agensi berkenaan pada Selasa, ia juga memaklumkan Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia merancang melakukan pencarian visual membabitkan kawasan seluas kira-kira 49.491 kilometer persegi dengan pusatnya terletak kira-kira 1,584 kilometer barat laut Perth.
Agensi itu juga menyatakan bahawa Kenderaan Dalam Air Autonomi (AUV) Bluefin-21, kini masih menjalani misi sembilan harinya sejak digerakkan bermula lewat petang, Isnin.
Setakat ini, kenderaan tanpa pengendali itu telah meliputi kira-kira dua pertiga daripada kawasan pencarian tanpa menemui sebarang tanda pesawat yang hilang.
Sabtu lepas, Pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan bahawa kawasan pencarian yang dilakukan Bluefin-21 kini akan dapat diselesaikan minggu depan.
Hishammuddin berkata kini tibalah masanya bagi pihak yang terlibat dalam operasi mencari itu berbincang tentang penggunaan kapal selam.Perdana Menteri Australia, Tony Abbott sebelum ini turut berkata operasi mencari akan dikaji semula sekiranya tidak terdapat perkembangan baharu 'dalam beberapa hari lagi'.
Bluefin-21 memulakan tugas sulungnya Isnin lalu dalam usaha mencari serpihan pesawat, ekoran tiada lagi isyarat dikesan alat pengesan pinger yang ditunda (TPL) sejak 8 April.
Ia menggunakan bunyi akustik untuk menghasilkan peta tiga dimensi di dasar laut yang akan memakan masa minimum 24 jam untuk menghabiskan setiap misi, termasuk empat jam untuk memuat data yang dikumpul.
Pesawat MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam pada 8 Mac dan hilang dari skrin radar kira-kira sejam di atas Laut China Selatan.
Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.
Gerakan mencari Boeing 777-200ER itu melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu, bermula di Laut China Selatan dan kemudian diperluas ke Selat Melaka serta Laut Andaman dan kini di selatan Lautan Hindi.
Analisis yang dibuat terhadap data satelit menunjukkan pesawat itu terbang di sepanjang laluan yang dikenali sebagai 'koridor selatan' dan kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth.
Pada 24 Mac, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan