Sabtu, 8 Disember 2012

Usia bersara baru swasta dikuat kuasa 1 Julai 2013

MALAYSIA CHRONICLE


SHAH ALAM - Pelaksanaan usia persaraan pekerja swasta iaitu 60 tahun akan dikuatkuasakan mulai 1 Julai depan, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

"Hasil perbincangan tersebut, kerajaan telah memutuskan bahawa tarikh kuat kuasa pelaksanaan Akta (Umur Persaraan Minimum) ini adalah pada 1 Julai 2013 dan penetapan tarikh itu akan diwartakan pada 1 Januari 2013," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Rang Undang-undang Umur Persaraan Minimum 2012 telah diluluskan oleh Dewan Rakyat masing-masing pada 27 Jun dan 17 Julai lalu. Ia diwartakan pada 16 Ogos.

Di bawah akta itu, umur persaraan minimum seseorang pekerja adalah 60 tahun.

Oleh itu, kata Dr Subramaniam, majikan tidak boleh membersarakan pekerja mereka secara pramatang.

"Namun begitu, seseorang pekerja boleh bersara apabila mencapai umur persaraan pilihan sebagaimana yang dipersetujui dalam kontrak perkhidmatan atau perjanjian kolektif," katanya lagi.

Dr Subramaniam juga berkata, majikan yang memerlukan lanjutan tempoh masih boleh memohon penangguhan pelaksanaan.

"Jika permohonan tersebut dipertimbangkan, penangguhan tersebut hanya boleh diberikan sehingga 31 Disember 2013 dalam bentuk pengecualian pemakaian (peruntukan) akta ini.

"Permohonan itu hendaklah disertakan dengan alasan dan justifikasi yang kukuh secara bertulis dan hendaklah dikemukakan kepada Kementerian Sumber Manusia selewat-lewatnya pada 28 Februari 2013," kata beliau lagi.sinarharian.com

Tiada ulasan: