Isnin, 10 Disember 2012

Setitik air kesan pembalakan pun tidak masuk ke Tasik Pedu

Oleh zaminc
 
PADANG TERAP - Hutan tadahan hujan di Tasik Pedu semakin terancam! Demikian tema liputan besar-besaran oleh media talibarut BN yang difokuskan semata-mata untuk memburukkan kerajaan negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat di Kedah.



Tiada apa lagi isu besar yang boleh dimainkan untuk membohongi rakyat jelata mengenai Kedah, maka isu 'kemusnahan' hutan di kawasan yang jauh nun di pedalaman Kedah dijadikan modal maklumlah di situ bukan kawasan ramai penduduk. Jadi lambatlah sedikit pembohongan itu diketahui orang.

Dua pembohongan utama yang dimainkan oleh media serta juga para pemimpin BN. Pertama, kononnya kawasan hutan yang dicerahkan untuk projek agroteknologi itu adalah berstatus Hutan Simpan Kekal. Sebenarnya kawasan terbabit adalah hutan simpan biasa yang diwartakan sebagai Hutan Simpan Pedu pada 11 September 1952. Ia boleh diubah status mengikut prosedur tertentu. Hutan Simpan Kekal ialah hutan Tasik Pedu yang terletak cuma di seberang laluan TEKIH (sebagai sempadan) dengan kawasan agroteknologi.



Kedua, kononnya ia kawasan tadahan hujan yang membekal sumber air ke Tasik Pedu. Juga tidak benar. Tidak ada setitik air pun dari kawasan projek agroteknologi tersebut boleh mengalir ke Tasik Pedu kerana aras air Tasik Pedu lebih tinggi dari sungai yang mengalirkan air di kawasan projek agroteknologi tersebut. Anak Sungai tersebut mengalir ke Sungai Pedu yang menuju ke arah Kuala Nerang. Jika berlaku limpahan  Tasik Pedu, airnya mengalir ke sungai  tersebut juga.



Benteng atau tebing binaan Tasik Pedu terlalu tinggi, juga kawasan projek agroteknologi dipisahkan dengan laluan TEKIH iaitu jalan naiktaraf Sik ke Durian Burung. Jadi, walaupun jarak antara tapak projek yang hutannya telah dicerahkan dengan Tasik Pedu tidak sampai 400 meter namun ia langsung tidak mengancam Tasik Pedu.



Isu seterusnya ialah penggondolan hutan, kononnya kerana mahu mengambil balak tetapi berselindung di sebalik projek agroteknologi iaitu membuka ladang buah-buahan di empat kompartment yang dicadangkan di Charuk Genting Bunga. Tidak dinafikan berlaku aktiviti pembalakan yang melibatkan tiga kompartment (dari empat kompartment semuanya) iaitu iaitu 48A, 48B dan 50B yang melibatkan kira-kira 600 ekar tetapi semua kegiatan pembalakan melalui jawatankuasa teknikal pembalakan serta diluluskan oleh Jabatan Perhutanan.
Jabatan Perhutanan terikat dengan pelbagai Akta Parlimen, sebagai kriteria untuk memberi kelulusan. Ini bukan cerita pembalakan haram seperti yang berlaku di beberapa buah negeri yang ditadbir BN. Projek agroteknologi atau disahkan oleh majlis Mesyuarat Exco sebagai Projek Agro-eco-tourism diserahkan kepada Syarikat Kumpulan Ladang iaitu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).  Tanah seluas 884 ekar itu diserahkan kepada PKNK sebagai pemegang Permit Peggunaan Sementara (status tanah) dengan sewaan selama 30 tahun.




Oleh kerana kawasan tersebut dibangunkan untuk projek pertanian maka kawasan terpaksa dibersihkan, ia berbeza dengan aktiviti mengambil balak semata-mata. Betullah laporan media bahawa pokok-pokok kecil juga dimusnahkan.  Ia kerja piawai bagi membangunkan semua projek pertanian. Samalah seperti yang dilakukan oleh mana-mana kerajaan negeri pun yang membangunkan kawasan berbukit untuk projek tanaman sawit. Sewaktu lebuhraya Utara-Selatan baru dibuka dahulu, di kiri kanannya semua bukit bergondol, hutan dicerahkan tetapi sekarang sudah dipenuhi dengan kelapa sawit atau lain-lain pokok pertanian. Tidak ada pula masa itu media-media utama sewa helikopter mengambil foto dari udara lalu melaporkan 'BN rakus gondolkan bukit'.



Antara yang akan ditanam di atas tanah tersebut ialah mangga (109.76 ekar), mata kucing, jambu dan ciku (163.77 ekar) serta buah-buahan nadir seperti anggur, kurma, durian belanda, salak dan sebagainya. Kerja meneres, menyemai dan membina kolam takungan air sudah bermula tetapi terganggu oleh Jabatan Alam Sekitar yang melatah mengikut paluan gendang media BN. Projek Agro-eco-tourism dirancang dan diluluskan oleh majlis Mesyuarat Exco pada 25 Ogos 2011 lagi. Kerajaan mengira bahawa projek ladang pertanian lebih menguntungkan dari hasil balak yang boleh ditunai berpuluh tahun sekali. Ia juga selari dengan manifesto PAS menjadikan Malaysia sebagai 'Belanda Timur'. Ia bukan jawapan spontan Menteri Besar untuk berdalih seperti yang ditanggap oleh pihak pembangkang negeri ini.

Jika Projek Agro-eco-tourism dianggap sebagai  helah mengambil balak, maka rakyat juga boleh menuduh BN membina laluan TEKIH sebagai helah mengambil balak. Laluan atau 'lebuhraya' TEKIH melalui kawasan hutan berbalak yang begitu luas. Kerajaan lalu dilaporkan menyerahkan projek mengambil balak tersebut kepada Kedah Corporatin Berhad. Namun selepas Pakatan mengambilalih kerajaan pada Mac 2008 sehingga kini tiada satu pun dokumen pembalakan di laluan TEKIH yang ditemui. Takkanlah kerajaan negeri tidak mendapat satu sen pun dari duit balak yang ditebang di kawasan tersebut?Ada khabar angin yang menyebut bahawa pejabat tapak projek pembalakan laluan TEKIH dibakar sebaik Pakatan menang Mac 2008. Sebuah kenderaan juga dilaporkan dibakar. Adakah ia percubaan memusnahkan dokumen aktiviti pembalakan untuk mengelak dari duit balak tersebut diaudit?

1 ulasan:

insafdoh67 berkata...

Air naik ke langit kut... Umno tadok Isu wei.. Ckp Merapu je blke. . Rakyat tau doh.. Jgn di tipu lg... Kih.kih.kih.