Rabu, 12 Disember 2012

PRU13: Fauzi Shaari yakin tawan Larut

NURUL MAZWANA HAMDAN

Datuk Fauzi Shaari
Fauzi (empat, kiri) bergambar dengan jawatankuasa dan ahli Pas Cawangan Batu Enam, Kamunting, kelmarin.
 
TAIPING -  Calon Pas Parlimen Larut, Datuk Fauzi Shaari sedia berdepan sesiapa sahaja calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang sebelum ini disebut-sebut calon bertanding kerusi itu  juga melahirkan keyakinan mampu menang berdasarkan sokongan padu pengundi di kawasan tersebut.

Fauzi berkata, beliau akur dengan kehendak pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang memberi kepercayaan kepadanya bertanding di Parlimen Larut.

“Saya istiqamah dengan perjuangan dan tidak kisah siapa calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding (di Parlimen Larut).

"Rakyat kini sudah sedar dan yakin perjuangan PR ke Putrajaya untuk menubuhkan kerajaan yang adil bagi membela semua kaum dan golongan tanpa pilih kasih," katanya pada ceramah anjuran Pas Cawangan Batu Enam, di sini, kelmarin.

Menurutnya, beliau dan pucuk pimpinan kini juga yakin dengan sokongan padu rakyat juga pengundi Larut kepada Pas serta PR.

“Kita memberi jaminan jika PR memerintah negara, bahasa Melayu akan kekal menjadi bahasa rasmi negara, di samping menghormati bahasa lain.

“Manakala agama Islam akan kekal agama rasmi dengan pengisian lebih menyeluruh, selaras kehendak perundangan Islam,” katanya.

Bersemangat pada ceramah berkenaan, Fauzi juga menegaskan PR akan memastikan hak istimewa orang Melayu terjamin, malah akan dimartabatkan dalam pelbagai bidang tanpa meminggirkan bangsa lain.

Beliau berkata, tuduhan bahawa Pas menggadaikan nasib orang Melayu adalah fitnah.

“Yakinlah, orang Melayu dan seluruh rakyat negara ini jangan khuatir atau bimbang memilih Pas serta Pakatan pada PRU13 untuk memerintah negara dengan adil, berkebajikan, di samping memacu ke arah negara maju,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, PR mempunyai perancangan teliti bagi membela nasib dan kesejahteraan rakyat dalam semua bidang di samping memajukan negara untuk memberi manfaat kepada semua golongan.

“Hutang negara kini kian bertambah hingga mencecah lebih RM500 bilion, dengan setiap rakyat negara ini, kecil dan besar, lelaki dan perempuan dibelenggu hutang RM17,000 setiap seorang termasuk bayi yang baru lahir keranakeborosan pihak tertentu.

“Kerajaan Pakatan akan membawa negara keluar dari jebakan hutang negara yang begitu besar,” katanya.

Fauzi berkata,  perjuangan PR tidak mengutamakan kroni dan berusaha mengembalikan keunggulan undang-undang, termasuk undang-undang Islam yang didapati banyak dikelirukan pihak berkepentingan termasuk isu berhubung pelaksanaan hukum hudud.

“Adalah menjadi tanggungjawab pemimpin terutamanya yang bergelar ulama untuk memberi kefahaman kepada rakyat bukan beragama Islam bahawa hudud adalah baik bagi mendisiplinkan masyarakat,” katanya.

Tiada ulasan: