OLEH MOHD FARHAN DARWIS DAN V ANBALAGAN
Senarai daftar pengundi dan dakwat kekal menjadi isu pertikaian PRU13. Gambar fail.
Tribunal
Rakyat yang dibentuk Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih)
untuk menyiasat rungutan berlakunya kesalahan ketika pilihan raya umum
pada 5 Mei akan mendengar testimoni kira-kira 30 saksi pada pendengaran
pertama esok.
Ahli Jawatankuasa Penganjur Tribunal Rakyat, Ivy Josiah berkata, selain
pengundi, ahli akademik dan wakil badan bukan kerajaan, jemputan turut
dihantar kepada polis, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan juga
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku
Mansor.
"Polis memaklumkan mereka tidak akan menghantar wakil," katanya kepada The Malaysian Insider di Kuala Lumpur.
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata kepada The
Malaysian Insider bahawa SPR tidak akan menyertai tribunal berkenaan
kerana tiada sebarang peruntukan undang-undang memerlukan mereka
menyertai tribunal sedemikian.
Penyertaan BN masih samar-samar namun ruang disediakan untuk menempatkan mereka, kata Josiah.
Bermula 18 September, tribunal yang berlangsung selama lima hari itu
akan menyiasat dakwaan ketidakadilan dalam pilihan raya umum ke-13.
Antaranya adalah integriti daftar pemilih yang digunakan SPR dan sama ada dana berlebihan digunakan untuk menarik pengundi.
Menegaskan mereka tidak akan menghentam pihak berkuasa, Josiah berkata,
mereka akan mendedahkan bukti dengan cara yang bertanggungjawab.
"Atas sebab itu kumpulan perundangan seramai 30 orang menyemak bukti dan menjadikannya perakuan bersumpah," katanya.
Josiah berkata, inkuiri berkenaan amat signifikan kerana ia adalah mahkamah rakyat untuk mencari kebenaran.
"Ia tribunal rakyat untuk rakyat, bagi mencari kebenaran dan semangat
cintakan tanah air," katanya kepada The Malaysian Insider.
Tribunal itu juga akan menyaksikan penyertaan pakar dari dalam dan luar
negara, dan ia adalah inisiatif mereka dari luar jentera kerajaan.
BN memperolehi 133 kerusi, hilang sembilan kerusi kepada Pakatan Rakyat (PR) yang memperolehi 89 kerusi.
"Tribunal menyediakan pentas untuk orang ramai menyuarakan suara mereka," katanya.
Hampir 70 petisyen pilihan raya direkodkan selepas 5 Mei lalu yang ditolak hakim atas kesalahan teknikal.
Pengerusi Bersama Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, tribunal
berkenaan tiada kuasa perundangan, namun berkuasa dari segi moral.
Tribunal itu dipengerusikan pakar undang-undang Perlembagaan dan Ketua
Penasihat Perlembagaan Unit Khas Program Pembangunan Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Nepal, Yash Pal Ghai.
Selain itu, panel antarabangsa turut terbabit iaitu bekas Timbalan
Pengerusi Komite Pemilihan Umum Indonesia, Ramlan Surbakti, dan
Presiden Kaukus Antara Parlimen Asean Myanmar, Kraisak Choonhavan
Wakil Malaysia dalam Tribunal Bersih ialah bekas pegawai diplomatik dan
pentadbiran Kementerian Luar Malaysia, Datuk Azzat Kamaludin; bekas
pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Dr Mavis
Puthucheary; dan Rev Dr Hermen Shastri, Setiausaha Agung Majlis Gereja
Malaysia.
"Laporan akan dibentangkan kepada Bersih yang saya percaya akan disiarkan kepada rakyat untuk dihakimi," katanya.
Sementara itu, Wan Ahmad berkata, SPR tidak terkejut sekiranya
keputusan hasil tribunal berkenaan mendesak anggota suruhanjaya
berkenaan meletakkan jawatan.
"Mengadakan forum tribunal itu bunyinya seolah-olah menjatuhkan
hukuman. Nanti saya tidak pelik kalau dia (Bersih) buat hukuman semua
ahli SPR letak jawatan sebab dia sudah macam satu mahkamah rakyat.
"Pertikaian keputusan pilihan raya hanya boleh dibuat di mahkamah melalui petisyan," katanya.