Selasa, 18 Disember 2012

PAS Perak minta Zambry jelaskan syarikat kroni

Muhammad Faeez Azahar,


IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Kadir perlu menjelaskan mengenai satu perjanjian antara pemilik tanah Rumah Perak iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dengan Syarikat Al Creative Developers Sdn Bhd.
Menurut Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, syarikat tersebut mempunyai hubungan dengan pegawai khas Zambry.

Beliau menjelaskan, perjanjian pembangunan tersebut berdasarkan kepada BOT (build operate transfer) di mana pemaju akan diberikan konsesi selama 30 tahun untuk mengurus Rumah Perak.

Adun Pasir Panjang itu berkata, pemaju tersebut dibenarkan membina sebuah hotel bertaraf 3 bintang setinggi 6 tingkat di tapak tanah Rumah Perak.

Mohammad Nizar berkata, selepas disemak di Suruhanjaya Syarikat Malaysia terbukti syarikat tersebut tidak aktif.

“Kenapakan syarikat tersebut dipilih walaupun tidak aktif dan mengapa tidak diberikan tender terbuka?

“Apakah istimewanya syarikat ini sehingga dipilih untuk menguruskan projek tersebut?” soalnya dan menggesa Zambry menjelaskannya.

Sebelum ini, PAS Perak melalui Jawatankuasa Strategik dan Isu mendedahkan perjanjian Rumah Perak yang melibatkan kroni Zambry.

Koordinatornya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss ketika dihubungi berkata, pihaknya akan meneliti pendedahan tersebut ada akan mengumpul maklumat sebelum membuat tindakan selanjutnya.

Persidangan Dun Perak berlangsung hari kedua hari ini dan semua Adun diberi peluang berucap termasuklah daripada Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan: