Seorang lelaki mati selepas ditembak dari jarak dekat oleh suspek bermotosikal ketika sedang minum bersama rakan di sebuah kedai makan di Jalan Kampung Baru di Bukit Mertajam awal hari ini.
    
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri SAC Mazlan Kesah berkata dalam kejadian pukul 12.30 tengah malam itu, Khor Chun Hau, 41, terkena tiga das tembakan dan mati dalam perjalanan ke hospital.
  
Mangsa sedang minum bersama empat rakan, apabila dihampiri dua lelaki menaiki sebuah motosikal yang kemudian melepaskan tembakan dan mengenai bahu kiri, dada kiri dan belakang mangsa, katanya kepada pemberita.

Menurutnya kedua-dua suspek memakai topi keledar bertutup separa dan menutup sebahagian muka mereka dengan kain.
  
"Polis telah menubuhkan pasukan khas bagi menjejaki penjenayah terbabit dan motif pembunuhan masih dalam siasatan," katanya menambah mangsa bekerja di sebuah syarikat pembalakan.
  
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.- Bernama