Hazayani Zakaria, |
KUALA LUMPUR: Gerakan Selamatkan Felda (GSF) memberi amaran tidak akan berganjak daripada Ibu Pejabat Felda di Jalan Semarak pada 28 Disember ini jika Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad sendiri tidak menerima memorandum yang akan diserahkan mereka.
Pengerusi Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, memorandum yang akan diserahkan kepada Isa mengandungi empat tuntutan peneroka.
GSF menuntut Isa dipecat sebagai Pengerusi Felda dengan serta merta kerana didakwa banyak menghuru-harakan Felda sejak dilantik.
GSF juga menuntut Felda menghentikan penjualan minyak sawit kepada syarikat Israel.
Selain itu, GSF juga menuntut kerajaan menghentikan campur tangan politik dalam Felda dan Koperasi Permodalan Felda (KPF) serta mengembalikan tanah Felda Felda Plantation kepada peneroka.
"Kita minta Isa Samad sendiri yang terima dan jawab tuntutan yang kita kemukakan.
"Kalau Isa Samad tidak boleh beri komitmen kita akan berhimpun di depan pejabat hingga perhimpunan 12 Januari," kata beliau dalam sidang media di Pejabat agung PAs, jalan Raja Laut hari ini.
Perhimpunan akan bermula dengan Solat Jumaat di Masjid Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan akan berarak ke pejabat Felda.
Mengulas mengenai Himpunan 1 juta rakyat pada 12 Januari tahun hadapan, Mazlan berkata pihaknya akan mengerahkan paling kurang 20,000 anggota ke perhimpunan tersebut dengan berpakaian oren.
"Himpunan 28 Disember ini merupakan pra perhimpunan 12 Januari. Kita sudah isytihar perang dengan Felda selepas segala bantahan kita tidak diterima selama ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan