Sabtu, 22 Disember 2012

Lapan Bulan Lagi Untuk Kurangkan Masalah Banjir Klang


banjir klang 4

KLANG - Majoriti kolam tadahan air di kawasan-kawasan Klang yang sering dilanda banjir dijangka akan siap di dalam masa lapan bulan, manakala kolam tadahan yang terbesar di Taman Sentosa dijangka siap dalam setahun.

Kolam-kolam yang akan siap di dalam lapan bulan adalah di Bandar Bayu Tinggi, Bandar Bayu Perdana, dan Bandar Tengku Kelana. Kesemuanya telah hampir siap 80 peratus.

Manakala pembinaan kolam tadahan 23 ekar di Taman Sentosa pula akan mengambil lebih masa kerana saiznya yang lebih besar.

Keseluruhan projek-projek tersebut memakan kos RM 5 juta, kata Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar.

Pembinaan kolam tadahan air ini melibatkan agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), serta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Kita mengutamakan bandar Klang terlebih dahulu kerana kawasan ini kerap kali banjir.

“Selepas itu beberapa kawasan lain turut akan dikenalpasti untuk dibina kolam tadahan air kerana ianya melibatkan suatu proses yang rumit,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat di bangunan Majlis Perbandaran Klang (MPK) hari ini.

 Turut hadir Pemangku Yang Dipertua MPK, Mohd Ikhsan Mukri, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud, Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei.

Sebelum ini, ketika Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang lalu, peruntukan sebanyak RM 50 juta telah diluluskan bagi mengatasi masalah banjir di seluruh Selangor.

Dr Xavier berkata MPK akan mengambil tindakan tegas terhadap pemaju yang tidak mengikut pelan struktur bangunan dengan tidak menyediakan saluran yang mencukupi untuk mengalirkan air hujan.

Dalam pada itu, satu kertas kerja tentang pembinaan kolam tadahan air di kawasan yang lain di Klang akan disiapkan untuk dibawa ke Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES).

Tiada ulasan: