Sabtu, 22 Disember 2012

Pihak Pengurusan MAS Digesa Perjelas Polisi Pengambilan Pekerja Asing


PC Khalid Samad 03

SHAH ALAMIS, : Pihak pengurusan baru syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines System Berhad (MAS) diseru memberikan penjelasan berkenaan polisi pengambilan pekerja asing yang dikhuatiri boleh menjejaskan kecekapan syarikat itu.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, usaha pemulihan prestasi MAS perlu dilaporkan kepada rakyat dan bukan sekadar hanya pihak kroni yang mendapat keuntungan.

“Difahamkan banyak kerja-kerja MAS yang disumberluarkan dan diagihkan-agihkan kepada pihak kroni.

“Dan banyak kerja-kerja MAS seperti penyelenggaraan kargo dijalankan oleh pekerja asing yang tidak mempunyai kemahiran dan latihan seperti pekerja MAS asal,” katanya dalam sidang media di pejabatnya.

Dalam sidang media itu juga, Khalid mempertontonkan kepada pihak media sebuah video yang dikatakan dihantar ke pejabatnya oleh individu tidak dikenali berkenaan kecuaian pekerja asing dalam penyelenggaran kapal terbang milik MAS.

Dalam video durasi kira-kira dua minit yang bertarikh November lepas itu menunjukkan pekerja yang didakwa warga asing melakukan aksi melanggar bahagian enjin sebuah pesawat 737 di sebuah landasan kapal terbang yang tidak dinyatakan lokasinya.

Ujarnya, dahalu syarikat MAS mempunyai kedudukan dan setaraf dengan syarikat penerbangan asing seperti Singapore Airlines System (SIA) dan beberapa syarikat antarabangsa lain.

Namun akibat pemberian kerja-kerja penyelenggaraan dan pengurusan kepada pihak kroni menyebabkan prestasi MAS kini dipertikaikan.

“Selepas bermacam-macam campurtangan politik khususnya semasa zaman Tun Mahathir situasi semakin memburuk.

“Kita mahukan ketelusan dan akauntabiliti pihak MAS, kita tidak mahu perkara yang berlaku semasa Tajuddin Ramli berulang kembali,” ujarnya.

Sebelum ini, MAS mencatatkan kerugian bersih RM2.52 bilion untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011, yang terbesar dalam sejarah korporatnya dengan pendapatan RM13.9 bilion.

Tiada ulasan: