Selasa, 18 Disember 2012

Lancar kapal TLDM: Rosmah lebih sudu dari kuah – Kobat

Oleh Norutul Ilham

KUALA LUMPUR: Kor Bekas Anggota Tentera/Perajurit (Kobat) KEADILAN Pahang mempersoal  pelancaran Kapal Latihan Gagah Samudera milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) oleh Datin Seri Rosmah Mansor.

Pengerusinya, Datuk Fauzi Abdul Rahman berkata, pelancaran tersebut patut disempurnakan seorang yang berjawatan dalam kabinet, ataupun mengikut protokol kerajaan, bukannya oleh isteri Perdana Menteri.



“Siapa yang jadi Perdana Menteri, Najib ke Rosmah? Sepatutnya diberikan kepada Agong ataupun Permaisurinya. Paling tidak, ia harus ikut protokol. Bukannya kepada isteri Perdana Menteri yang baru empat tahun mentadbir.

“Dia (Rosmah) memang ‘muka tebal’, tak tahu malu. Ini akan buatkan rakyat bertambah meluat dengan sikap beliau yang akhirnya memberi kesan kepada Najib (Razak),” katanya ketika dihubungi.

Kapal tersebut diberi nama Gagah Samudera sebagai kesinambungan kepada Kapal Layar Diraja (KLD) Tunas Samudera. ‘Samudera’ merupakan identiti bagi kapal latihan milik TLDM.

Turut hadir pada majlis penamaan dan pelancaran kapal latihan tersebut di Kampung Sijangkang, Kuala Langat pada Jumaat lalu adalah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

“Kalau nak dibandingkan Rosmah dengan isteri mantan Perdana Menteri lain, jauh sekali berbeza. Malah Tun Siti Hasmah isteri yang berwibawa.

“Inilah yang dikatakan lebih sudu daripada kuah. Rosmah suka buat perkara yang tak patut. Adakah dia Menteri Pertahanan, Perdana Menteri atau Permaisuri Agong?” soal Fauzi yang juga Pengerusi KEADILAN Pahang.

Tiada ulasan: