Selasa, 18 Disember 2012

Umno BN seleweng fakta untuk ‘jatuhkan’ Anwar & pembangkang

Oleh Sidiqin Omar

TRONOH : Rakyat perlu kaji secara teliti setiap laporan berita media Umno BN kerana terkandung di dalamnya mitos yang menafikan kebenaran, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.



Ketua Umum KEADILAN berkata, banyak fakta diseleweng untuk memburukkan beliau dan pemimpin Pakatan Rakyat terutama penglibatannya dalam pentadbiran kerajaan.

“Rakyat mesti kenal mana satu mitos, mana satu fakta. Apa kenyataannya? Saya ketika jadi Menteri Kewangan pada 1993 tulis kepada Bank Dunia, (minta) hentikan pinjaman, tidak mahu pinjam lagi.

“Sebab wang kita dah lebih. Lihat, di antara realiti dan dongeng. Kenyataannya, saya yang ambil keputusan hentikan hutang,” kata Anwar sambil menunjukkan graf kewangan dan hutang negara di layar besar pentas Himpunan Jelajah Kebangkitan Rakyat di Seri Iskandar, Perak malam tadi.

“Tetapi mitosnya (Umno BN kata) saya (pula sokong) IMF, Bank Dunia. Kerana saya pada 1996 hingga 1997 jadi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bank Dunia dan IMF. Tapi saya tetap (tak mahu pinjam). 1998 saya masuk ‘istana hinggap’ Sungai Buloh.

“Kemudian Mahathir (Mohamad) jadi Menteri Kewangan. Tahun 1999, dia tulis surat kepada Bank Dunia minta pinjam. Rakyat tak tahu. Ada keluar TV3? Utusan lapor? Tak ada!” tegas Anwar depan 20,000 rakyat.

Sambungnya, ketika menjadi profesor jemputan dan jawatankuasa akauntabiliti dan program anti rasuah di Universiti of Georgetown, Amerika Syarikat pada 2006 mendapati, Mahathir membuat pinjaman kepada Bank Dunia.

“Rupa-rupanya fail Malaysia terbukti permohonan daripada kerajaan Malaysia minta hutang daripada Bank Dunia. Kenyataannya Dr Mahathir minta hutang, Anwar tak minta hutang.

“(Kemudian) lepaskan (propaganda), (kata) Anwar IMF, Mahathir anti (IMF). Ini sebabnya Najib (Razak) takut debat,” tegas Anwar.

Tambahnya, sejak beliau ‘dipaksa’ meletakkan jawatan Menteri Kewangan pada 1998, hutang negara terus bertambah dengan jumlah terkini mencecah RM500 bilion.

“Kalau dulu tahun 1970, Tun Razak hutang Bank Dunia untuk pembangunan luar bandar, buat Felda. Zaman Najib sahaja hutang RM300 bilion. Saya nak tanya orang Parit. Dalam tiga tahun kebelakangan ini, ada perubahan? Sebab itu kita lawan berdasarkan angka dan fakta,” tegas Ketua Pembangkang.

Turut hadir pada himpunan tersebut, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalannya Mohamad Sabu dan Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Tan Seng Giaw.

Tiada ulasan: