Rabu, 12 Disember 2012

Kerajaan tidak masuk campur hal Musa-Ramli, kata Hishammuddin


KUALA LUMPUR— Kerajaan tidak akan masuk campur dalam krisis melibatkan dua bekas pegawai tertinggi Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Tan Sri Musa Hassan dan Datuk Ramli Yusuf, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein (gambar) dalam satu sidang media di Putrajaya hari ini.

Hishammuddin berkata krisis yang berlaku antara kedua-dua individu tersebut tidak mempunyai kaitan dengan kerajaan sama sekali dan ia adalah perkara peribadi antara mereka.

“Biarlah mereka (Musa dan Ramli) tuduh menuduh antara satu sama lain.
“Kerajaan tidak akan masuk campur,” kata beliau selepas menghadiri satu majlis di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menurut Hishammuddin, perkara yang menjadi keutamaan ketika ini adalah kerajaan berusaha untuk memperbaiki pasukan polis dan melihat ke depan.
“Saya tidak mahu kata siapa salah, siapa betul.

“Lebih baik kita melihat ke depan untuk memperbaiki diri masing-masing daripada saling tuduh-menuduh,” tambah beliau.

Bekas ketua polis negara (KPN), Musa dan bekas pengarah jabatan siasatan jenayah komersial (JSJK), Ramli secara terbuka menunding jari kepada satu sama lain dengan mengatakan kedua-dua telah menyalahguna kuasa semasa memegang kuasa dalam pasukan polis.

Ramli telah menuduh bekas KPN tersebut telah menyalahguna kuasa semasa memimpin PDRM dari 2006 hingga 2010 dan bersekongkol dengan peguam negara (AG) Tan Sri Gani Patail semasa beliau didakwa dalam kes “RM27juta” yang kemudiaan digugurkan kerana tiada bukti kukuh.

Manakala Musa pula telah menuduh Ramli sebagai menjadi “kesayangan” dalam PDRM dan mendakwa bekas pengarah JSJK tersebut  menyalahguna kuasa untuk memiliki kekayaan yang bernilai jutaan ringgi.

Selain itu, Musa juga kebelakangan ini lantang dalam mengkritik PDRM malahan telah membuat pendedahan mengatakan terdapat  camputangan sesetengah menteri dan ahli politik dalam urusan polis.

“Saya dahulu pun pernah berkhidmat dengan bekas KPN (Musa) itu, tetapi ketika itu tidak pula membangkitkan perkara sebegini.

“Kenapa sekarang baru nak bangkitkan?” soal Hishammuddin.

Hishammuddin sekali lagi menggesa semua pihak termasuk Musa untuk melihat ke depan dan membantu kerajaan memperbaiki pasukan  polis dan bukan hanya dengan melemparkan tuduhan.

Malahan naib presiden Umno itu semasa perhimpunan agung yang lalu juga berkata tuduhan Musa tersebut tidak berasas dan  menggesa untuk orang ramai tidak terpengaruh dengan tuduhan bekas KPN tersebut.

“Ia isu cubaan untuk alih isu yang di sini (Perhimpunan Agung Umno),” kata Hisham ketika menjawab soalan pemberita berkenaan  kenyataan Musa tersebut.

“KDN sudah jawab (isu tersebut),” katanya, dan menambah, bagi pihak Barisan Nasional (BN) dan Umno, mereka mahu melihat isu  yang lebih besar.

Musa menjadi tumpuan media bulan lalu apabila beliau membuat pendedahan mengejutkan dalam satu sidang akhbar, mendakwa  menteri Kabinet seringkali campurtangan dalam keputusan penting dan penyiasatan polis.

PDRM baru-baru ini dipersoalkan oleh orang awam dan ahli parlimen pembangkang selepas banyak kejadian rompakan dan serangan  menimbulkan tanda tanya tentang statistik kerajaan menunjukkan penurunan ketara dalam kadar jenayah di negara ini.

Tiada ulasan: