Isnin, 10 Disember 2012

Kerajaan BN dicabar ikut jejak Pulau Pinang laksana enam langkah integriti – Guan Eng

Roketkini.com

GEORGE TOWN: Kerajaan BN Persekutuan dicabar mengikut jejak langkah Pulau Pinang melaksanakan enam langkah integriti untuk membanteras rasuah di negara ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berkata jika tidak melaksanakan enam integriti itu, Malaysia bukan saja gagal mencapai kemakmuran, juga gagal membongkar skandal kewangan yang terbaru bagi memastikan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparancy International (TI) bagi tahun depan tidak merudum.

Katanya, enam langkah yang dilaksanakan Pulau Pinang ialah mengistutusikan pengisytiharan harta secara terbuka oleh Ketua Menteri dan barisan Exconya, melaksanakan tender terbuka, tidak membenarkan ahli keluarga untuk membabitkan diri dalam kontrak kerajaan, melindungi pemberi maklumat yang tulen, menggugurkan pemimpin yang hidup mewah dan berterus terang dalam sumbangan politik.

“Negara masih dihantui skandal kewangan dan dakwaan rasuah besar yang membabitkan pemimpin tertinggi sebab itu kedudukan CPI Malaysia berada di tangga ke-54 daripada 176 negara tahun ini baik sedikit berbanding tangga ke-60 daripada 183 negara tahun lalu,” katanya dalam perutusan sempena Hari Anti-Rasuah Antarabangsa, semalam.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata kajian itu dilakukan pada awal tahun iaitu sebelum pembongkaran beberapa skandal besar seperti sumbangan politik RM40 juga kepada UMNO Sabah dan terbaru pendedahan ahli peniagaan, Deepak Jaikishan mengenai urusan tanah yang mencurigakan.

“Yang paling teruk adalah kekayaan luar biasa Ketua Menteri Sarawak dan keluarganya yang didedahkan dalam Mahkamah Syariah bernilai berbilion ringgit.

“Baru sekarang rakyat tahu mengenai penyalahgunaan kuasa yang berlaku dalam kerajaan Selangor dan Pulau Pinang ketika diperintah BN mengenai pembelian tanah dengan harga terlalu murah RM1 sekaki persegi yang djual kepada parti komponen BN di Selangor. Tanah berkenaan kini bernilai RM300 juta.

“Sementara tanah primer di Tanjung Tokong bersebelahan dengan Gurney Drive, di Pulau Pinang pula dijual pada harga RM1 sekaki persegi,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, jika semua skandal itu diambil kira oleh TI, kedudukan CPI Malaysia pasti lebih teruk lagi. Yang paling membimbangkan, markah CPI tidak mendedahkan hakikat bahawa 50% responden dalam Kajian Pemberi Rasuah mempercayai bahawa mereka kehilangan peluang perniagaan akibat rasuah.

Katanya, dalam persoalan ini, Malaysia berada pada kedudukan paling teruk daripada semua 31 negara yang dikaji, lebih teruk daripada Indonesia (47%), Pakistan (42%) dan Rusia (39%).

“Di Pulau Pinang, bukan sahaja harta pemimpin diisytihar dan diiktiraf firma akauntan antarabangsa, kita juga akan mengemaskini pengisytiharan harta itu pada Januari setiap tahun,” ujarnya.

Beliau berkata, jika Pulau Pinang boleh mengisytiharkan harta secara terbuka oleh Ketua Menteri dan barisan EXCOnya, tidak ada sebab kerajaan Persekutuan BN tidak boleh turut mengisytiharkan harta Perdana Menteri dan Jemaah Menteri untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam CPI TI. – Roketkini.com

Tiada ulasan: