Isnin, 10 Disember 2012

Wanita DAP harus siap siaga terima cabaran-Chong Eng

 Roketkini.com

KUALA LUMPUR: Wanita DAP berikrar untuk memperkasa sayapnya memikul amanah parti dalam memartabatkan golongan wanita, berjuang mempertahan dan menjelaskan maklumat sebenar mengenai parti dan pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat yang lebih berhemah dan bertanggungjawab.

Sehubungan itu, komrad Wanita DAP harus sentiasa bersiap siaga menerima pelbagai amanah dan tanggungjawab yang diberi termasuk menjadi calon di mana-mana peringkat pimpinan atau calon bagi pilihan raya umum yang akan datang.

Ketua Wanita DAP, Chong Eng berkata, suara wanita perlu kuat dan lantang kerana mereka adalah golongan penting yang menjadi penentu kepada peneraju kerajaan samada Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional pada PRU-13 nanti.

“Untuk mencapai hasrat itu, Wanita DAP bertekad meningkatkan bilangan ahlinya dengan mensasarkan 30 peratus penyertaan jumlah ahli wanita daripada jumlah keseluruhan ahli parti,

“Kemajuan Wanita DAP sejak penubuhannya pada 1972 mencerminkan status pembabitan kaum wanita di dalam masyarakat dan sektor awam. Oleh itu, kami memerlukan perubahan agar kerajaan memberi bantuan dalam penjagaan keluarga dan anak, supaya membolehkan lebih ramai wanita menyertai kerja sosial dan politik.” kata Chong Eng ketika berucap pada Konvensyen Wanita DAP Kebangsaan 2012, semalam.

Katanya, sekiranya rakyat memberi mandat kepada Pakatan Rakyat untuk memerintah kerajaan Pusat, Wanita PR akan memberi keutamaan dalam melaksanakan lima perkara dalam memperkasa agenda wanita negara ini.

* Menambah kemudahan penjagaan kanak-kanak dan golongan warga emas, melaksanakan waktu kerja anjal, memberi elaun penjagaan kanak-kanak bagi kaum ibu yang berpendapatan rendah, menggalakkan ibu bapa untuk berkongsi kerja rumah dan menjaga anak mereka bagi merapatkan hubungan mereka. Pada masa yang sama akan memudahkan ibu bapa yang bekerja mendamaikan kerja dan keluarga dan akan meningkatkan kadar pekerjaan kaum wanita.

* Memberi latihan pekerjaan, memberi insentif untuk wanita kembali ke tempat kerja, mengurangkan pergantungan kepada buruh asing dan menggalak perkembangan ekonomi.

*. Menubuhkan Suruhanjaya bagi kesaksamaan gender, menyempitkan jurang jantina secara sistematik di pelbagai industri dan bidang.

*. Menubuhkan Suruhanjaya bagi mengurangkan keganasan terhadap wanita, memberi bantuan kepada mangsa keganasan dan mencegah keganasan secara sistematik.

*. Mengubal undang-undang yang berunsur diskriminasi jantina.

 Chong Eng yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam optimis akan mencapai matlamat ini, Wanita DAP memerlukan pemimpin yang bersedia menyumbangkan masa dan tenaganya menjalankan gerak kerja parti dan aktiviti wanita di seluruh negara.

“Kami memerlukan pemimpin berpengalaman dan baru untuk menjawat jawatan penting pada masa akan datang.

“Saya yakin wakil pada hari ini akan membuat pilihan yang bijak, memilih pasukan pimpinan yang terbaik dalam tempoh tiga tahun akan datang.” ujarnya.- Roketkini.com

Tiada ulasan: