Ahad, 9 Disember 2012

Insiden Felda Selasih; Misi Kami Menyelamat Masyarakat...Bukan Khianat!

 Dr Azman Ibrahim

http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita10/Kembara%20Oren%20Bkt%20Bading.jpgPilihanraya Umum ke 12, tahun 2008, daripada 804 majoriti kekalahan di Dun Jabi, 588 undi adalah daripada UPU Tok Dor yang menempatkan Felda Selasih. Satistik ringkas ini bisa difahami dengan mudah bagaimana pentingnya Felda Selasih yang menjadi talian hayat terakhir Umno Dun Jabi ini perlu dipertahankan dengan apa cara sekalipun.

Saya tidak melihat segelintir penduduk yang rendah tahap kewarasannya ketika membentuk benteng manusia bagi menghalang peserta 'Kembara Oren - Selamatkan Felda' masuk ke Felda Selasih petang semalam, walaupun hanya sekadar untuk menunaikan solat asar sebagai mewakili suara masayarat felda tetapi lebih kepada menjadi alat Umno/BN. Buktinya mudah… keseluruhan mereka memakai baju dacing dan membawa bendera dacing walaupun dengan dukacita saya menyesali tindakan mereka memperalatkan kanak-kanak sekolah yang belum memahami apa-apa.

Telah beberapa kali kita mengunjungi rumah-rumah di Felda Selasih dalam program-program yang diatur sebelum ini. Sedikit sebanyak suara hati masyarakat felda telah berbekas dihati saya. Tidak keterlaluan untuk saya bentangkan fakta, daripada 152 rumah peneroka, 50 daripadanya tidak lagi bersama Umno/BN. Cuma mereka mengambil sikap berdiam diri dan memerhatikan dari jauh apa yang sedang berlaku dan sejauh mana drama umno yang memperalatkan pengurusan felda ini akan berakhir.

Saya mengakui bahawa saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya dalam membuat keputusan untuk peserta konvoi berundur secara terhormat setelah mengambil kira beberapa pertimbangan.

Yang pertama, pendekatan damai sentiasa kita utamakan dalam apa jua keadaan dengan kekerasan menjadi pilihan paling akhir. Apatah lagi Kembara Oren adalah dengan motto ‘Selamatkan Felda’. Misi kita adalah untuk menyelamatkan masyarakat. Dengan jumlah kekuatan yang kita miliki petang semalam, ‘kacang’ saja sekatan itu boleh dirempuh dengan mudah dan kita meyakini peserta kita mempunyai cukup keberanian, tapi saya lebih mempertimbangkan kesan jangka panjang.

Kekerasan dan kekecohan tidak akan mampu menawan hati-hati manusia yang kelihatan semakin jinak untuk didekati. Kita ingin bersahabat, apatah lagi masyarakat Felda Selasih bukanlah orang asing bagi saya. Hasrat kita untuk membentuk komuniti Jabi yang harmoni walaupun pandangan politik mungkin berbeza. Tak salah untuk kita saling bertemu muka, minum bersama-sama, solat berjemaah di masjid yang sama, ziarah menziarahi ketika sakit dan kematian. Semua pendekatan ini telah kita rintis dan sinarnya semakin terang dan jalannya semakin lebar terbuka. Saya tidak mahu lantaran kerana tindakan segelintir manusia yang diupah dan kurang tahap kewarasan, segala yang dibina musnah begitu sahaja.

http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita10/IMG_6521.jpgYang kedua, perlukah kita melayan provokasi yang dicetuskan hanya oleh segelintir kelompok yang berjumlah hanyalah sekitar 100 orang, kebanyakkannya pula adalah kanak-kanak dan remaja, sedangkan fakta yang perlu diketahui, bilangan pengundi Felda Selasih sahaja telah mencecah 1,000 orang.

Sementara jumlah keseluruhan penduduk Selasih sekitar 2,500 orang. Di mana nisbah 100 : 2,500? Di manakah lagi baki semua mereka ini? Kenapa tidak turut sama terpekik dan terlolong, memaki dan menyumpah peserta kembara? Kerana itulah saya berhujah bahawa mereka yang menimbulkan kekecohan hanyalah kelompok minoriti.

Saya lebih memandang kelompok besar yang perlu kita raikan. Kekecohan juga tentu tidak akan mengembirakan mereka dan menjarakkan jurang komunikasi yang sedang dibina. Bilangan kenderaan konvoi ketika tiba di Felda Selasih pula sekitar 80 buah kenderaan. kalau 4 peserta berada dalam sebuah kenderaan, bermakna angkanya telah melebihi 300 orang ditambah lagi dengan anggota keselamatan Pas setempat dari Dun Jabi. Saya mengira paling sedikit, kita mempunyai 500 kekuatan. Pembaca boleh bayangkan, apa yang akan berlaku kepada wanita, kanak-kanak dan remaja kalau sekatan itu kita rempuh untuk memasuki felda.

Yang ketiga, ketika saya menadah tangan mengepalai doa, mendoakan kemenangan Islam dan ummat Islam, ianya turut diaminkan oleh keseluruhan anggota polis, kepala-kepala peneroka malah mereka yang membentuk benteng manusia turut mendiamkan diri dengan segelintir mereka turut menadahkan tangan.

Selepas itu, datang beberapa orang kepala masyarakat peneroka, memeluk saya dan memohon maaf atas apa yang berlaku. Ertinya, ketinggian akhlak kita dihargai dan dihormati. Fenomena ‘malu mata’ ini sangat perlu dalam masyarakat kampong seperti di Jabi. Walaupun ketika mula turun dari kenderaan saya yang berada di kedudukan paling hadapan, saya terdengan laungan “baliklah Dr Azman!! Orang felda tak sir ko mung!!” Saya hanya sambut dengan senyuman dan bersalaman dengan seramai mungkin mereka yang ada termasuk anggota keselamatan sambil menyatakan hasrat konvoi hanyalah untuk singgah dan solat asar.

Hasrat kami pada mulanya diizinkan, tetapi dibantah oleh orang-orang yang saya istilahkan ‘tak boleh masuk buku’. Malah pada malamnya, ketika dalam perjalanan untuk menghadiri ceramah umum di Felda Tenang yang menjadi acara terakhir Kembara Oren, saya masih menerima beberapa panggilan telefon dari berapa individu sekitar Felda Selasih, memohon maaf atas apa yang berlaku dan mengajak untuk terus mengunjungi felda dilain kesempatan. Kesemuanya sangat saya hargai.

Akhirnya, maaf saya pohonkan kepada keseluruhan peserta konvoi atas ‘ijtihad politik’ yang dibuat untuk tidak meneruskan hasrat memasuki felda secara kekerasan. Semoga kesabaran kita membuahkan hasil yang lebih besar sekalipun kelihatan hajat awal kita tidak kesampaian. Saya memahami ramai sahabat-sahabat yang bersemangat tinggi dan memiliki keberanian. Semua itu kita sangat menghargainya. Saya memikul tanggungjawab penuh atas semua kekhilafan yang berlaku.

*** Dr Azman Ibrahim adalah Seorang Pengamal Pergigian Persendirian yang berkhidmat sebagai Anggota Perhubungan PAS Terengganu merangkap Pengerusi Majlis Tindakan DUN Jabi.

Tiada ulasan: