Selasa, 11 Disember 2012

Bukan kes khalwat, Pas pertahan MPKB-BRI

MALAYSIA CHRONICLE
 

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR - Pas hari ini mempertahankan tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) membabitkan isu empat orang bukan Islam yang ditangkap kerana berkelakuan tidak senonoh di tempat awam baru-baru ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, tindakan yang diambil oleh penguat kuasa MPKB bertepatan di bawah Undang-undang Kecil Taman MPKB 1986, dan ia bukanlah kes 'khalwat' sepertimana yang dilaporkan oleh beberapa media sebelum ini.

"Kes sebelum ini mungkin diberi nasihat, tapi dalam kes ini teruk sikitlah. Dicerita kepada saya secara detail tapi saya tak nak cerita lah apa yang berlaku.

"Jadi kita serah kepada (MPKB) kalau perkara ini jadi kes," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Tambah beliau, kes berkenaan yang beliau sendiri tidak "tergamak" untuk menceritakannya kepada media, mungkin mendorong penguatkuasa yang bertugas bertindak mahu terus menyaman kedua-dua pasangan terbabit.

"MPKB telah mengambil langkah-langkah pencegahan ini bukan sekadar saman, setiap ada kes seperti ini sama dan failkan kes, tidak (sebenarnya).

"Mereka ini juga menggunakan budi bicara dalam banyak hal pun. Nampak macam tak sopan tapi boleh nasihat, maka minta beredar. Tapi dalam kes ini lain," ujar beliau.

Kes berkenaan yang berlaku pada Oktober lalu disifatkan oleh Mustafa sebagai sengaja disensasikan untuk kepentingan politik MCA menerusi media miliknya, The Star menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

"Berlaku dalam DBKL ini, MCA tidak cakap apa pun, pasal bukan bawah Pas." katanya lagi.

Ekoran kes tersebut, Setiausaha DAP, Lim Guan Eng menggesa kerajaan Pas Kelantan segera menyelesaikan isu itu kerana ia menjejaskan mesej pembangkang dalam menghormati kebebasan beragama di negara ini.

Bahkan katanya, kes seumpama itu boleh merosakkan kerjasama yang wujud dalam pakatan pembangkang.

"Tidak... tidak... ini perkara yang disebut cara tak betul oleh Star, oleh MCA. Ini yang menimbulkan persepsi tak betul menimbulkan kekeliruan ini kerana MCA telah membuat kenyataan-kenyataan yang tidak tepat," ujar beliau lagi.

Malah menurut Mustafa, beliau sendiri sudah menjelaskan dengan Ahli Parlimen Bukit Bendera dari DAP, Liew Chin Tong yang diarahkan oleh Guan Eng untuk berbincang mengenai isu terbabit dengannya.

Mustafa kemudian merujuk kes di bawah DBKL pada 2004 di mana mahkamah sebulat suara memutuskan Datuk Bandar Kuala Lumpur adalah betul untuk mendakwa dua pelajar kerana berkelakuan tidak sopan iaitu berpeluk dan bercium di taman KLCC.

Korum itu memutuskan Seksyen 8 (1) Undang-undang Kecil Taman, seksyen yang dirujuk oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk menghukum sesiapa yang didapati berkelakuan tidak sopan di tempat awam adalah mengikut Perlembagaan.

Berikutan keputusan itu, dua pelajar terbabit, Ooi Kean Thong, 24, dan Siow Ai Wei, 22, perlu membela diri terhadap pertuduhan itu yang didakwa terhadap mereka di Mahkamah Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur pada 2004.

"... yang bawah Pas ini mereka nak tunjukkan tak bagus. Sedangkan dulu lagi Pas perintah, yang terakhir 20 tahun ini, tak akan sebab kes ini menggambarkan itu pendirian Pas berkait dengan kebebasan orang yang bukan Islam dan sebagainya... tak sama sekali," tegas beliau lagi.-sinarharian.com

Tiada ulasan: