Selasa, 18 Disember 2012

Andaian Najib salah, kata Pas

SAPINAH AB GHANI

Naib Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Tanah Merah, Datuk Abdul Fattah Mahmood
Naib Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Tanah Merah, Datuk Abdul Fattah Mahmood
 
KOTA BHARU - Pas Kelantan menyifatkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempersoalkan keupayaan Pakatan Rakyat (PR) untuk menerajui negara kerana masih banyak perkara asas belum disepakati sebagai tidak tepat.

Exconya, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, walaupun pada asasnya parti-parti komponen dalam PR berbeza, tetapi masih sepakat dalam merancang untuk turun kepada masyarakat dengan lebih teratur.

“Walaupun kita berbeza, tetapi kita boleh duduk bersama dan merangka satu gerak kerja untuk membangunkan masyarakat dan negara, itu lebih penting,” katanya kepada Sinar Harian selepas merasmikan Kursus Panel Penceramah Pemadam Negeri Kelantan 2012 di Khalifa Suites Hotel & Apartment di sini, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Kelantan turut menolak dakwaan Najib yang menyifatkan pelbagai isu asas termasuk ideologi, kepimpinan, dan hala tuju, masih gagal disepakati seolah- olah menggambarkan ketidakupayaan pentadbiran PR.

“Saya rasa itu salah, sebab Pas sudah 60 tahun dan sudah menyambut ulang tahun ke 60. DAP sendiri sudah beberapa puluh tahun dan semua sudah mempunyai hala tuju yang jelas. Pas sendiri tidak pernah ubah dasar dia daripada dulu hingga sekarang,” katanya.

Abdul Fattah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Panau turut menolak dakwaan sesetengah pihak yang menyifatkan PR tidak mempunyai hala tuju yang jelas.

“Kita tak pernah ada peluang untuk mentadbir negara ini, kita yakin dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti. Insya-Allah jika rakyat memilih kita untuk menerajui pimpinan kerajaan di Putrajaya, kita akan laksanakan perancangan dari dulu hingga sekarang dan rakyat boleh melihat, kesannya lebih hebat,” katanya.

Kelmarin, Najib dalam kenyataannya mempersoalkan keupayaan pembangkang kononnya untuk menerajui negara ini, sedangkan banyak perkara asas yang penting masih belum gagal disepakati oleh mereka dan diperjelaskan kepada rakyat.

Sambil mengemukakan beberapa contoh mudah, Najib berkata, ia termasuk isu ideologi, barisan kepemimpinan, hala tuju, malah simbol kumpulan yang akan diguna pakai juga masih gagal disepakati.

Najib berkata, perkara senang sebegitu masih gagal diselesaikan, bagaimana hendak mentadbir sebuah negara yang memerlukan komitmen tinggi dan kesepakatan jitu.

Katanya, nama kumpulan parti pembangkang yang mudah itu pun masih tidak didaftarkan, bagaimana pula hendak menyelesaikan pelbagai perkara asas lain yang belum dipersetujui bersama, termasuk gagal mengemukakan jadual Kabinet yang dimahukan.

Tiada ulasan: