
Oleh
kerana Zoo Negara terjejas semasa pelaksanaan perintah kawalan
pergerakan (PKP) kerana ketiadaan pengunjung, maka sokongan yang tiada
henti diperlukan untuk menghidupkan semula satu-satunya zoo utama kita.
Ini kerana sokongan kita dapat membantu tempat tersebut untuk kembali
beroperasi seperti biasa dan menambah keseronokan haiwan untuk
berinteraksi dengan pengunjung setelah beberapa bulan kesunyian semenjak
pelaksanaan PKP.
Menurut catatan media sosial Zoo Negara, haiwan turut terjejas pada
masa itu kerana ia berasa sunyi tanpa kehadiran pengunjung dan
barangkali juga “merindukan” suara kegembiraan kanak-kanak.
Wabak Covid-19 memaksa Zoo Negara ditutup sementara kepada
pengunjung awam dan keadaan itu menyebabkan haiwan yang tinggal di situ
menjadi sunyi dan turut mempengaruhi keseluruhan zoo di seluruh dunia.
Penjaga di Zoo Giza, zoo terbesar dan terkenal di Mesir, misalnya
berkata, beruang dan cimpanzi menjadi malas kerana mereka tidak melihat
pengunjung seperti biasa.
Haiwan akan memberi respons yang berlainan dan sesetengahnya
menikmati kebebasan dalam persekitaran yang lebih tenang semasa
penutupan dan sekatan kerana saat yang tidak dijangka ini menjana
peluang yang baik untuk mengurangkan tekanan, diet, pola tidur dan
proses kahwin yang teratur.
Di India, pegawai zoo di Delhi berkata, haiwan memaparkan lebih
banyak aktiviti, suka bermain dan tahap agresif mereka menurun. Harimau
yang paling agresif di sana kebanyakannya kelihatan tenang.
Zoo Negara mendapat mandat global untuk mencegah pemberian makanan
kepada haiwan semasa bermulanya serangan virus tersebut pada Januari dan
terdapat juga arahan kerajaan agar orang ramai mengelakkan interaksi
dengan hidupan liar.
Bagaimanapun, Zoo Chester di UK mengatasi masalah tersebut melalui
percubaan yang menarik dengan mengadakan lawatan dalam talian yang
membolehkan orang ramai memerhatikan haiwan dari keselesaan ruang tamu
mereka di sebalik pintu yang tertutup.
Penularan wabak Covid-19 juga meninggalkan kesan kewangan
kepada Zoo Negara, tetapi mereka bernasib baik kerana berjaya menyimpan
sejumlah dana kecemasan untuk menampung perbelanjaan mereka.
Sebilangan orang ramai menganggap tempat tersebut tidak mempunyai
dana yang cukup kerana pendapatan utama mereka adalah berdasarkan
penjualan tiket semata-mata, namun pihak pengurusan zoo tidak memotong
sebarang perbelanjaan dan semua kakitangan menerima gaji penuh tanpa
pemberhentian.
Terdapat juga andaian seolah-olah kekurangan dana adalah disebabkan
oleh pengenalan pakej anak angkat serta wajah suram dan tingkah laku
aneh yang dipaparkan oleh haiwan di yang menimbulkan banyak salah faham
dan tanggapan.
Secara kasarnya ia boleh dilihat sebagai andaian yang sah, tetapi Zoo
Negara sebenarnya mampu bertahan semasa PKP oleh kerana dana kecemasan
dan sumbangan yang baik melalui kejayaan program anak angkat.
Zoo Negara bekerjasama dengan Ticket2u untuk mencipta cara yang lebih
mudah bagi orang ramai menderma serta membolehkan penderma menyokong
penjagaan haiwan secara kewangan melalui program “Adopt Our Animal”.
Semua haiwan di Zoo Negara bersedia untuk dijadikan anak angkat bagi mengekalkan makanan dan penjagaan veterinar tahunan mereka.
Sebagai tanda penghargaan, e-sijil anak angkat yang menampilkan haiwan yang dipilih akan dikeluarkan kepada peserta.
Selain itu, pihak berkuasa zoo juga mendorong mereka yang memilih
untuk menyumbang makanan haiwan agar memastikan terlebih dahulu bahawa
kualiti, kuantiti dan keadaan sayur-sayuran, buah-buahan, daging dan
ikan diperiksa dan dinyatakan dengan tepat.
Sebenarnya, pakej anak angkat adalah salah satu amalan biasa di
kebanyakan zoo di seluruh dunia dan ada juga yang mendorong orang ramai
untuk meninggalkan wasiat kepada zoo seperti apa yang dilakukan di Zoo
Victoria, Australia.
Mereka sangat berterima kasih atas sokongan orang ramai dan turut
menerima sumbangan dengan hati yang terbuka walaupun Zoo Negara
mempunyai dana dan bekalan yang cukup untuk bertahan pada masa ini.
Sejak pembukaan semula semasa perintah kawalan pergerakan pemulihan
(PKPP), sambutan orang ramai baik, terutama pada hujung minggu.
Zoo Negara juga mengadakan kempen promosi kemasukan percuma selama 1
tahun untuk 100 pelawat berbayar pertama dari 13 Jun hingga 21 Jun 2020
yang bertujuan membantu meningkatkan jumlah pengunjung.
Seperti yang difikirkan pada waktu itu, orang ramai pasti memilih
untuk melakukan perkara lain, selain daripada pergi ke zoo, tetapi
andaian mereka salah kerana kebanyakan orang masih memilih Zoo Negara
sebagai destinasi pelancongan yang popular setelah beberapa bulan
tinggal di rumah.
Ini kerana kebanyakan orang berusaha untuk melegakan tekanan dengan
mengunjungi Zoo Negara sejurus selepas permulaan PKPP yang membolehkan
mereka keluar dan melakukan perjalanan rentas negeri.
Mengenai kesan PKPP kepada haiwan, EMIR Research memerhatikan bahawa
haiwan kelihatan sangat gembira dan teruja kerana akhirnya mereka
berpeluang untuk bertemu dengan pengunjung, terutamanya Yi Yi anak panda
gergasi yang sangat suka bermain dan aktif semasa pembukaan semula zoo.
Namun, cabaran Zoo Negara ketika ini adalah tahap kepatuhan orang
ramai terhadap prosedur operasi standard (SOP) serta timbulnya banyak
persepsi masyarakat yang tidak tepat dan isu yang harus ditangani oleh
pihak berkuasa zoo seperti masalah singa kurus baru-baru ini.
Oleh kerana waktu pembukaan Zoo Negara sekarang kembali normal semasa
PKPP, terdapat beberapa halangan bagi orang ramai untuk memeriahkan
tempat tersebut, terutamanya SOP baru yang dilaksanakan oleh Zoo Negara
yang mengehadkan jumlah pengunjung kepada 500 orang sahaja setiap jam.
Beberapa program, termasuk perkhidmatan sukarelawan juga ditangguhkan
buat sementara waktu kerana fokus mereka sekarang hanya pada operasi
rutin harian.
Disebabkan Zoo Negara tidak dapat dikunjungi oleh pelancong asing
pada masa ini, sebagai rakyat Malaysia kita haruslah memberikan sokongan
penuh sebagai tanda penghargaan atas perkhidmatan mereka yang tak
ternilai.