KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Kewangan memutuskan untuk tidak meneruskan program subsidi petrol (PSP), yang sepatutnya dilaksanakan kira-kira 7 bulan lalu bermula Januari tetapi ditangguhkan.
Timbalan Menteri KPDNHEP Rosol Wahid memaklumkan Dewan Rakyat perkara itu akan dibawa ke jemaah menteri untuk memuktamadkan pendirian kerajaan.
“Pada 9 Julai, pihak KPDNHEP dan Kementerian Kewangan mengadakan mesyuarat berkenaan hala tuju program susbsidi petrol ini dan memutuskan 2 perkara: Pertama, KPDNHEP dan Kementerian Kewangan bersetuju untuk tidak melaksanakan PSP, dan pihak Kementerian Kewangan akan menyediakan memorandum jemaah menteri untuk memuktamadkan pendirian kerajaan untuk tidak melaksanakan program tersebut,” katanya.
Rosol sebelum itu menjawab pertanyaan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) yang meminta kementerian memaklumkan tarikh baharu pelaksanaan PSP.
Menerusi PSP, penerima daripada golongan B40 akan terima bantuan subsidi RM30 sebulan bagi pemilik kereta dan RM12 sebulan bagi pemilik motosikal, ketika penyelarasan harga RON95 akan diapung secara berperingkat.
Rakyat Sabah, Sarawak, dan Labuan tidak disertakan dalam PSP kerana mereka akan menikmati subsidi petrol secara pukal.
Rosol hari ini menjelaskan antara sebab tidak melaksanakan PSP kerana ingin mengelakkan jurang harga minyak yang tinggi antara Semenanjung, Sabah, dan Sarawak.
“Kerana program itu hanya melibatkan penduduk di Semenanjung sahaja,” katanya, dan menambah pelaksanaannya bagi golongan M40 mengikut rancangan asal boleh menimbulkan keraguan.
“Golongan M40 hanya menerima harga subsidi semasa mengisi minyak dengan kad yang disediakan,” katanya.
Rosol berkata kementerian akan memikirkan cara lain untuk membantu rakyat.
“Termasuk anak muda dalam e-panggilan,” katanya menjawab pertanyaan Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan