Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
PETALING JAYA: Ahmad Zahid Hamidi menyeru ahli Umno jangan risau akan
situasi kewangan parti itu, yang ketika ini menghadapi kekangan selepas
hartanya dibekukan setahun lalu dalam siasatan pihak berkuasa ke atas
skandal 1MDB.
Presiden Umno itu percaya akan ada pihak yang akan bersimpati dengan
usaha Umno dan akan menyalurkan bantuan pada musim pilihan raya umum
ke-15.
“Segala-galanya perlukan wang tetapi wang bukanlah segala-galanya.
Apabila tiba pilihan raya nanti, saya amat yakin di luar sana ramai yang
bersimpati dengan kepayahan Umno,” katanya ketika merasmikan mesyuarat
perwakilan Umno Keningau, Tenom, Ranau dan Pensiangan di Keningau, Sabah
hari ini.
Sebelum ini, Zahid mengumumkan Umno akan melancarkan tabung dalam masa terdekat sebagai persiapan menghadapi PRU-15.
Zahid hari ini berkata ketika ada pihak berminat membantu Umno tapi “takut dianiaya dan dizalimi”.
“Sekarang ini mereka tidak mahu bantu kita sebab ada yang khuatir dan
gementar, tetapi insyaAllah, kalau mereka lihat kita kuat kembali dan
boleh rampas Putrajaya dan Sabah, mereka akan tolong kita,” katanya.
Zahid mengingatkan ketua-ketua bahagian dan cawangan untuk terus
mengukuhkan hubungan antara ahli dan mengajak bekas-bekas ahli untuk
kembali bersama Umno.
“Jangan tinggalkan sesiapa di bawah, bagilah jawatan. Seperti saya sendiri, saya berjiwa besar dan berlapang dada,” katanya.
“Tengku Razaleigh Hamzah pernah lawan saya sewaktu pemilihan Umno,
saya lantik dia sebagai pengerusi jemaah penasihat. Najib Razak, yang
pernah jadi bos saya, saya lantik dia sebagai pengerusi lembaga
penasihat Barisan Nasional,” katanya.
Semalam,
polis berjaya membongkar kegiatan sindiket pemalsuan dokumen pengenalan
diri apabila tertangkap 3 lelaki termasuk pegawai pendaftar JPN di
Semporna.
KOTA BELUD: Sindiket pemalsuan dokumen pengenalan diri adalah satu
jenayah pencabulan kedaulatan negara, kata Menteri Pembangunan Luar
Bandar Sabah Ewon Benedick.
Sehubungan itu, katanya, tindakan tegas perlu diambil terhadap dalang
terlibat sindiket itu termasuk dalam kalangan kakitangan Jabatan
Pendaftaran Negara (JPN) kerana ia bukan sahaja memburukkan imej
penjawat awam malah melanggar undang-undang negara.
“Pihak polis perlu menyiapkan kertas siasatan supaya kes ini dibawa
ke muka pengadilan dan semua individu terlibat dalam sindiket ini
dikenakan hukuman sewajarnya,” katanya selepas merasmikan Hari Keluarga
UPKO Kota Belud, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kejayaan polis
membongkar kegiatan sindiket pemalsuan dokumen pengenalan diri apabila
tertangkap 3 lelaki termasuk seorang pegawai pendaftar JPN di Semporna.
Ketiga-tiga suspek kini direman mulai Rabu lepas bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Ewon berkata, tanggungjawab warga Sabah dalam memberi
kerjasama menjaga kedaulatan negeri dan negara juga amat penting,
dengan memastikan persekitaran kediaman dan perusahaan ekonomi mereka
bebas daripada kehadiran pendatang tanpa izin (PATI).
Masalah PATI di Sabah memerlukan penyelesaian komprehensif dan
berkesan kerana kebanjiran PATI yang semakin membimbangkan dikhuatiri
menjadi bom jangka di negeri ini sekiranya isu kompleks itu tidak
ditangani dengan baik, katanya.
Yang
di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Raja Permaisuri
Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di istiadat pertabalan
Agong ke-16 di Istana Negara hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Seorang pegawai Najib Razak mengesahkan beliau tidak
menghadiri istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan
Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara hari ini, selepas tular
dakwaan mengatakan tempat duduknya diubah dari barisan tetamu kehormat
ke barisan belakang.
Seorang pengguna Facebook, Abdul Rahim Hilmi Zakariya hari ini
mendakwa pihak protokol Istana pada awalnya menetapkan Najib, selaku
bekas perdana menteri, duduk di tempat duduk ke-10 barisan depan bersama
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di tempat duduk ke-6.
Beliau seterusnya mendakwa tempat Najib diubah ke tempat duduk Orang Besar Pahang di barisan belakang.
“Cubaan mengubah kedudukan orang kenamaan ketika program
istiadat pertabalan hanya kerana si A tak mahu tengok muka si B
menunjukkan rasa tidak hormat dan sombong,” katanya.
“Pakaian Orang Besar Pahang dan pakaian bekas perdana menteri mana sama. Setiap jawatan ada protokolnya,” tambahnya.
Seorang pegawai Najib ketika dihubungi FMT mengesahkan tempat duduk
Najib diubah, dan bekas perdana menteri itu tidak menghadiri majlis itu.
“Najib tidak hadir selepas mengetahui perkara itu,” katanya yang
sudah berada di istana ketika itu. “Tunggu maklum balas daripada Najib.”
Sementara itu, seorang pegawai Pejabat Perdana Menteri menepis catatan FB itu sebagai “tidak sahih”.
Beliau menjelaskan PMO tidak terlibat dalam susunan tempat duduk di majlis itu.
Ketua Polis Perak, Razarudin Husain. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Polis hari ini menafikan dakwaan seorang pemilik akaun
Facebook yang mendakwa laporan forensik kes seorang exco kerajaan Perak
yang didakwa merogol pembantu rumah warga Indonesia hilang.
Ketua Polis Perak, Razarudin Husain berkata dakwaan pemilik akaun “1
Malaysia Tolak DAP” itu suatu fitnah dan dilihat mampu mencabar
kewibawaan polis.
“Satu laporan polis dibuat polis Perak berikutan tindakan pemilik
Facebook 1 Malaysia Tolak DAP yang memuat naik status berbunyi ‘laporan
forensik kes rogol exco DAP Perak dilaporkan hilang.
Bagaimana boleh
hilang? Ada tangan ghaibkah yang mengarahkan laporan forensik tersebut
dilenyapkan?’ dengan mengaitkan kenyataan media ketua Wanita MCA,”
katanya dalam kenyataan hari ini.
Razarudin berkata siasatan berkaitan dakwaan itu dilakukan
Seksyen 500 Kanun Keseksaan bagi kesalahan memfitnah, dan Seksyen 233
Akta Komunikasi dan Multimedia.
Beliau menasihatkan semua pihak tidak membuat kenyataan atau
spekulasi tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan siasatan dan
menidakkan ketelusan, keadilan dan nama baik polis.
Pada 8 Julai lalu, seorang wanita warga Indonesia berumur 23 tahun
membuat laporan polis mendakwa dirogol majikannya, yang juga exco
kerajaan Perak.
Polis sudah melakukan tangkapan dan menahan suspek pada 9 Julai bagi
bagi menjalankan siasatan mengikut prosedur yang ditetapkan. Suspek
kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis.
Kamaruddin dalam keadaan cedera parah dan berlumuran darah tiba di HRPZ II untuk rawatan.
KUALA LUMPUR – Veteran UMNO, Datuk Kamaruddin Abdullah mengalami
kecederaan parah akibat ditetak dua lelaki tidak dikenali di Kota Bharu,
malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam di Jalan Tengku Chik itu,
Kamaruddin yang merupakan Timbalan Pengerusi Veteran UMNO Kelantan
diserang lelaki terbabit ketika beliau keluar dari kedai makan.
Ketika itu mangsa dikatakan hendak ke masjid berdekatan untuk
menunaikan solat Maghrib, tetapi hajatnya tidak kesampaian apabila parah
ditetak di kepala dan pinggang.
Sementara itu, Pengerusi Veteran UMNO Kelantan, Datuk Mohd Rozali
Isohak berkata, akibat tetakan itu, Kamaruddin rebah dan dibantu orang
ramai serta beberapa rakannya yang kemudian menghantarnya ke Hospital
Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Katanya, beliau terkejut dengan kejadian itu dan bergegas ke HRPZ II untuk melihat keadaan Kamaruddin.
“Alhamdulillah, Kamaruddin baru sedar sekejap tadi dan boleh
bersalaman dengan saya. Kecederaan yang dialami agak teruk di kepala dan
pinggang.
“Doktor memaklumkan perlu menjalani pemeriksaan lanjut untuk melihat secara terperinci kecederaan yang dialami,” katanya.
Mohd Rozali berkata, sehingga kini beliau tidak tahu dan tidak
dimaklumkan oleh Kamaruddin berhubung punca kejadian dia ditetak dua
suspek. – MalaysiaGazette
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Gerakan Tuntut Malaysia (Tuntut) melahirkan
rasa kesal apabila penganjur sidang media di pekarangan Masjid Negara,
Jumaat lalu cuba dikenakan tindakan di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA)
2012.
Pengerusinya, A’zlan Abu Bakar menegaskan, tindakan itu tidak wajar
kerana pihaknya tidak melakukan sebarang perhimpunan sebaliknya ia
sekadar sidang media berhubung Jelajah Tuntut Kebenaran.
“Ahad lalu, saya telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)
Dang Wangi untuk diambil keterangan berhubung sidang media Jelajah
Tuntut Kebenaran di Masjid Negara Kuala Lumpur pada 26 Julai lalu.
“Sebagai pengerusi Gerakan Tuntut Malaysia, saya telah memberi
kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis berhubung sidang media
berkenaan.
“Bagaimanapun saya mempersoalkan tindakan pihak polis itu sedangkan
NGO kami tidak melakukan sebarang perhimpunan aman dan hanya melakukan
sidang media,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jumaat lalu, Tuntut mendesak Peguam Negara, Tommy Thomas segera melakukan pendakwaan terhadap tiga kes utama negara.
Antara tiga kes utama yang didakwa wujudnya campur tangan dan
pengaruh politik ialah kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd
Kassim.
Manakala dua lagi adalah kes rogol seorang pembantu rumah warga
Indonesia oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak serta
video semburit mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin
Ali.
Beliau menyifatkan tindakan polis itu sebagai salah satu kejayaan
pihaknya kerana desakan terhadap tiga kes utama itu mendapat perhatian
pihak berkuasa.
“Susulan insiden itu, Gerakan Tuntut Malaysia melihat desakan kami
tidak mustahil menjadi satu kebimbangan kepada Kerajaan Pakatan Harapan
(PH),” katanya.
Dalam pada itu, A’zlan turut mendesak Peguam Negara agar segera membuat pendakwaan terhadap tiga kes berkenaan.
Dakwanya, pelbagai perkara buruk boleh berlaku sekiranya Peguam
Negara masih berdiam diri dan tidak menunjukkan kesungguhan untuk
menyelesaikan kes yang menjadi keresahan rakyat.
“Campur tangan pihak tertentu dalam kes Adib boleh mencetuskan konflik perkauman di negara ini.
“Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia pula boleh
terjejas jika kes rogol membabitkan Exco Kerajaan Negeri Perak, Paul
Yong Choo King dilengah-lengahkan.
“Manakala kes salah laku moral melibatkan seorang menteri Kabinet
boleh menjejaskan imej Kerajaan Malaysia di mana Islam sebagai agama
Persekutuan,” katanya.
Katanya lagi, sekiranya Peguam Negara gagal mengambil perhatian
serius terhadap desakan itu, beliau tidak teragak-agak untuk
menganjurkan Himpunan Tuntut Kebenaran secara besar-besaran di ibu
negara.
“Ketidakpedulian Peguam Negara boleh mengundang kepada kemarahan dan
kebangkitan rakyat untuk turun di jalanan secara besar-besaran.
“Malah kami tidak menolak kemungkinan himpunan kali ini mungkin lebih
besar daripada Himpunan Bantah ICERD yang dianjurkan pada tahun lepas,”
katanya lagi. – MalaysiaGazette
Bapa kepada 13 anak itu dilaporkan hilang sejak Sabtu. - Astro AWANI/Muhafandi Muhamad
GUA MUSANG: Sebuah keluarga
dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Lebir, Gua Musang, Kelantan
memohon pertolongan orang ramai mencari bapa mereka yang dilaporkan
hilang sejak petang Sabtu lalu.
Idris Che Din, 81, yang
mengalami masalah nyanyuk, kali terakhir dilihat oleh penduduk pada
puluk 3 petang Sabtu di sekitar kampung terbabit.
Warga emas itu masih belum ditemui.
Kali terakhir dia dilihat oleh penduduk kampung adalah pada pukul 3 petang Sabtu lalu di sekitar kawasan kampung terbabit.
Menurut anaknya, Fatimah Idris, sebelum ini, bapanya tidak pernah
hilang walaupun mengalami masalah nyanyuk sejak tiga tahun lalu.
“Selepas selesai makan tengahari, ayah saya terus masuk ke dalam bilik
tidur. Dalam pukul 2.30 petang, saya masuk bilik, tengok dia sudah tiada
di dalam,” katanya.
Tambahnya lagi, oleh kerana risau dengan
keselamatan warga emas itu, mereka sekeluarga melancarkan gerakan
mencari bersama penduduk kampung.
Seorang lagi anak, Zuriana Idris berkata, laporan polis telah dibuat selepas mereka gagal menemui bapanya.
Mereka juga merayu kepada sesiapa yang terlihat bapanya itu untuk
menghubungi mereka di talian 017-9457762 atau membuat laporan di balai
polis berdekatan.
Menteri Luar Saifuddin Abdullah mengulangi dakwaannya bahawa
daulah terpendam sedang cuba mensabotaj pentadbiran Pakatan Harapan
(PH).
April lalu, Saifuddin mengeluarkan amaran sama bahawa daulah terpendam mungkin cuba 'menggulingkan' kerajaan baru dengan rampasan kuasa melalui cara-cara yang tidak demokratik.
Daulah
terpendam merujuk kepada 'tangan-tangan ghaib' yang mempunyai
kepentingan dan mengajukan agendanya sendiri di luar proses pembuatan
keputusan kepimpinan negara.
Amaran Saifuddin sebelum ini muncul
dalam konteks kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang berkata
terdapat percubaan untuk melibatkan raja-raja menentang kerajaan serta
untuk memburuk-burukkan kerajaan PH dan diri beliau sendiri selaku
perdana menteri, menggunakan isu Statut Rom dengan mendakwa kerajaan
telah menyerahkan semua kuasa kepada pihak asing.
The Malaysian Insight hari
ini memetik Saifuddin berkata daulah terpendam itu sedang berusaha
untuk mensabotaj rancangan kerajaan PH yang berhasrat memeterai empat
lagi perjanjian antarabangsa mengenai hak asasi manusia.
"Daulah terpendam memang wujud dan mereka mempengaruhi persepsi dan kami perlu bersedia secara strategik.
“Mereka
mungkin berada dalam kerajaan dan anda tidak tahu siapa mereka. Mereka
ejen provokasi yang dibayar pihak tertentu untuk mencipta ketakutan
dalam kalangan rakyat.
“Dalam media sosial mereka sebarkan
pelbagai cerita dan kempen. Ia mungkin berita palsu, separuh betul,
tetapi ideanya ialah menghentikan pembaharuan tertentu daripada
dilaksanakan atau untuk mensabotaj projek yang baik daripada
dilancarkan,” kata Saifuddin menjelaskan mengenai 'elemen gelap' itu.
Walaupun
tidak dapat menjelaskan 'elemen gelap' yang dimaksudkannya itu,
Saifuddin berkata terdapat petunjuk mengenai kewujudan daulah terpendam.
“Anda
tahu ada sesuatu yang sedang dirancang dan ada gerakan tetapi anda
tidak dapat benar-benar pastikan siapa mereka,” katanya.
Selanjutnya,
menteri itu berkata beliau tidak tahu sama ada individu berkenaan ada
kaitan dengan mana-mana parti politik, atau tidak.
ULASAN | Setahun yang
lalu pada 16 Julai 2018 ketika mengangkat sumpah sebagai seorang ahli
Dewan Rakyat bagi parlimen Malaysia, sebaik sahaja selepas pilihanraya
umum ke-14, saya telah berikrar untuk mempertahankan Perlembagaan
Persekutuan Malaysia iaitu undang-undang utama negara ini yang asas
pentingnya ialah bahawa sesungguhnya negara ini hendaklah bergerak atas
landasan kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan
Persekutuan.
Justeru itu saya menuntut Perdana Menteri Dr Mahathir
Mohamad supaya menjalankan tugasnya yang diamanahkan oleh rakyat
berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan
Persekutuan Malaysia.
Sebagai seorang ahli parlimen saya juga
menuntut Peguam Negara Tommy Thomas yang berperanan juga sebagai
pendakwa raya supaya menunaikan tanggungjawabnya di bawah Perlembagaan
Persekutuan Malaysia dengan adil dan saksama, tanpa takut dan pilih
kasih untuk melakukan pendakwaan bagi setiap kesalahan jenayah
berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang.
Sebagai seorang ahli
parlimen yang telah dipilih oleh rakyat dan sebagai seorang pengamal
undang-undang selaku peguambela dan peguamcara, saya juga menuntut Ketua
Polis Negara Abdul Hamid Bador supaya menjalankan tugas kepolisannya
secara profesional berdasarkan kedaulatan undang-undang dan keluhuran
perlembagaan tanpa memilih bulu.
Sehari
sebelum Hari Raya Aidilfitri yang lalu, negara kita telah dikejutkan
dengan isu video seks sejenis yang dikaitkan dengan seorang menteri
kanan dalam kabinet kerajaan persekutuan.
Beberapa tangkapan untuk tujuan siasatan di bawah Kanun Acara Jenayah telah dilakukan oleh pihak polis.
Dari
segi fakta yang ada setakat ini di hadapan mata rakyat Malaysia dan
dunia, bahawa sesungguhnya ada seorang saksi yang material dan teramat
penting yang telah mengaku tanpa paksa dan membuat pengakuan secara
sukarela bahawa dialah yang menjadi salah seorang pelaku dalam dakwaan
kes hubungan seks yang di dalam statut Kanun Keseksaan Malaysia adalah
satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum penjara dan sebat.
Masa
telah lebih dari cukup untuk pihak polis PDRM menyelesaikan kertas
siasatannya dan menyerahkan kepada pendakwa raya untuk memulakan
tindakan pendakwaan.
Tidak perlu seseorang untuk menjadi peguam
atau pakar undang-undang terlebih dahulu untuk memahami bahawa bola
sekarang berada di gelanggang ketua polis negara dan juga peguam negara
merangkap pendakwa raya.
Kedua-dua ketua agensi kerajaan tersebut
yang diamanahkan oleh perlembagaan persekutuan bagi pihak rakyat dan
Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalankan tugasnya di bawah
undang-undang bagi perlaksanaan sistem keadilan di Malaysia menurut asas
kedaulatan undang-Undang dan keluhuran perlembagaan.
Jika pihak
ketua polis negara dan peguam negara serta pendakwa raya gagal dalam
menjalankan tugasnya berhubung isu video seks itu maka mereka berdua
telah melakukan satu kesalahan besar di bawah undang-undang.
Dalam
hal ini, akhir sekali saya menuntut Dr Mahathir Mohamad selaku perdana
menteri dan pengerusi gabungan PH di mana saya salah seorang ahli
parlimen PH yang telah berjaya bersama-sama membentuk kerajaan baru PH
dengan janji kepada rakyat untuk mengembalikan the rule of law atau
kedaulatan undang-undang di Malaysia ini supaya tanpa
bertangguh-tangguh melaksanakan proses keadilan seperti yang telah
dijanjikan itu dengan jujur dan adil, tanpa sebarang campur tangan dan
gangguan terhadap proses pentadbiran sistem keadilan dan undang-undang
di negara ini bersabit episod video seks yang telah memalukan lebih 32
juta rakyat Malaysia di mata masyarakat dunia.
Kesimpulannya,
masa telah sampai untuk perdana menteri, peguam negara, pendakwa raya
dan ketua polis negara membuktikan kepada kami semua rakyat Malaysia dan
dunia antarabangsa bahawa sesungguhnya anda semua telah menjalankan
tugas dan amanah mempertahankan Perlembagaan Persekutuan Malaysia kerana
berani menegakkan kedaulatan undang-undang.
HASSAN KARIM ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang dan bekas pengerusi MPN PKR Johor.
ULASAN | Bahang menjelang pemilihan Amanah Kelantan makin dirasai. Taktik mula diatur, strategi disusun, bidak pun membuka langkah.
Selaku
parti 'setahun jagung' yang kemudian menjadi sebahagian daripada
kerajaan persekutuan, pemilihan Amanah kali ini pastinya dilihat
istimewa dan mempunyai nilai tersendiri.
Situasi semasa di
Kelantan menyaksikan pertembungan dua pasukan khususnya dalam pemilihan
anggota jawatankuasa (AJK) Pemuda Amanah negeri yang bakal berlangsung 3
Ogos depan.
Dua kumpulan dilihat akan bersaing, iaitu Pemuda Bangkit dan Pemuda Bekerja.
Pemuda
Bangkit adalah kumpulan yang penyandang jawatankuasa pemuda Amanah
negeri diketuai Hazmi Hassan, manakala Pemuda Bekerja dipelopori aktivis
Amanah negeri, Hisyamuddin Ghazali.
Hisyamuddin Ghazali
Kewujudan
dua kem ini bukanlah bersifat lokal di peringkat Kelantan saja, tetapi
kesan daripada pecahan pengaruh di peringkat Pemuda Amanah nasional.
Biarpun
di peringkat nasional pertembungan Pemuda Amanah ini mewujudkan tiga
kumpulan, namun di Kelantan hanya dua kem tersebut yang mendominasi
persaingan.
Atas alasan apa pun politik adalah pentas orang-orang
berkemahuan, meletakkan diri dalam posisi dirasakan selesa, strategik
dan berpengaruh secara dengan prinsip demokrasi.
Maka bunga-bunga silat dipersembah, dengan tari, lenggok dan tikaman saling bersahutan sama ada secara langsung atau tidak.
Tanda ribut sebelum pemilihan
Tanpa sebarang kerusi - sama ada DUN mahupun parlimen - di Kelantan, pergerakan Amanah negeri dilihat perlahan dalam banyak hal.
Bahkan
peringkat cawangan, kawasan dan sayap dilihat tidak produktif dalam
melaksanakan program bagi meningkatkan pengaruh dan meneruskan hubungan
dua hala antara pemimpin dan rakyat.
Beberapa hari lalu, sudah
bermula episod pembubaran cawangan dan peletakan jawatan ahli
jawatankuasa di peringkat pimpinan akar umbi.
Apa jua asbab ia
berlaku, itu adalah petanda kecil akar umbi mula 'memberontak'. Tidak
mustahil isu-isu lebih besar bakal melanda dan Amanah Kelantan perlu
bersedia menempuh badainya.
Kini terdapat ura-ura
pimpinan-pimpinan di kawasan tertentu bakal meletak jawatan dan tidak
mustahil akan angkat kaki daripada Amanah.
Ia susulan rasa tidak
puas hati dalam pelbagai perkara antaranya pergeseran sesama pimpinan
kawasan, penilaian terhadap pimpinan tertinggi parti dan faktor
pemilihan.
Menggantikan Cikgu Rahim dan Husam
Selain
itu, Amanah Kelantan juga akan berdepan cabaran untuk mencari pengerusi
baru untuk menggantikan Wan Abd Rahim Wan Abdullah yang sebelum ini
menyatakan hasrat untuk berundur.
Ia selepas beliau kini menggalas tanggungjawab sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).
Ini
kerana belum ada yang dilihat bertenaga - sama ada melalui kayu ukur
senioriti, pengarah ataupun ketokohan - untuk meneruskan kesinambungan
kepimpinan Amanah Kelantan.
Wan Abd Rahim
Justeru
medan pemilihan kali ini perlu menjadi tanda mula, bagaimana sinergi
kepimpinan itu boleh membiakkan baka-baka kental, menonjol dan mampu
terkedepan dalam politik arus perdana.
Mereka perlu melahirkan
lebih ramai Wan Abd Rahim dan Husam Musa dengan menggilap muka-muka baru
untuk keluar daripada kepompong 'suam-suam kuku' dan bukan sekadar
menjadi selebriti Facebook sesama sendiri.
Sebagai parti yang
bersaing di sebuah negeri yang berliku sejarah politiknya, yang totok
pegangan politik masyarakatnya - mahu tidak mahu Amanah Kelantan perlu
lebih dalam semua hal.
Sehubungan itu, apa juga ujian menjelang
pemilihan kali ini, setiap ahli dan pimpinan parti itu harus rasional
dengan situasi semasa parti.
Amanah Kelantan perlu dilihat harmoni khususnya di mata musuh politik yang senantiasa menanti bola tanggung dan perang persepsi.