Selasa, 30 Julai 2019

Veteran UMNO Kelantan parah kena tetak

Manzaidi Mohd Amin
Kamaruddin dalam keadaan cedera parah dan berlumuran darah tiba di HRPZ II untuk rawatan.
Kamaruddin dalam keadaan cedera parah dan berlumuran darah tiba di HRPZ II untuk rawatan.

KUALA LUMPUR – Veteran UMNO, Datuk Kamaruddin Abdullah mengalami kecederaan parah akibat ditetak dua lelaki tidak dikenali di Kota Bharu, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam di Jalan Tengku Chik itu, Kamaruddin yang merupakan Timbalan Pengerusi Veteran UMNO Kelantan diserang lelaki terbabit ketika beliau keluar dari kedai makan.

Ketika itu mangsa dikatakan hendak ke masjid berdekatan untuk menunaikan solat Maghrib, tetapi hajatnya tidak kesampaian apabila parah ditetak di kepala dan pinggang.

Sementara itu, Pengerusi Veteran UMNO Kelantan, Datuk Mohd Rozali Isohak berkata, akibat tetakan itu, Kamaruddin rebah dan dibantu orang ramai serta beberapa rakannya yang kemudian menghantarnya ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Katanya, beliau terkejut dengan kejadian itu dan bergegas ke HRPZ II untuk melihat keadaan Kamaruddin.

“Alhamdulillah, Kamaruddin baru sedar sekejap tadi dan boleh bersalaman dengan saya. Kecederaan yang dialami agak teruk di kepala dan pinggang.

“Doktor memaklumkan perlu menjalani pemeriksaan lanjut untuk melihat secara terperinci kecederaan yang dialami,” katanya.

Mohd Rozali berkata, sehingga kini beliau tidak tahu dan tidak dimaklumkan oleh Kamaruddin berhubung punca kejadian dia ditetak dua suspek. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: