Selasa, 30 Julai 2019

Menteri Sabah selar pegawai JPN terlibat palsu dokumen

Semalam, polis berjaya membongkar kegiatan sindiket pemalsuan 
dokumen pengenalan diri apabila tertangkap 3 lelaki termasuk 
pegawai pendaftar JPN di Semporna.
 
KOTA BELUD: Sindiket pemalsuan dokumen pengenalan diri adalah satu jenayah pencabulan kedaulatan negara, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Ewon Benedick.

Sehubungan itu, katanya, tindakan tegas perlu diambil terhadap dalang terlibat sindiket itu termasuk dalam kalangan kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana ia bukan sahaja memburukkan imej penjawat awam malah melanggar undang-undang negara.

“Pihak polis perlu menyiapkan kertas siasatan supaya kes ini dibawa ke muka pengadilan dan semua individu terlibat dalam sindiket ini dikenakan hukuman sewajarnya,” katanya selepas merasmikan Hari Keluarga UPKO Kota Belud, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejayaan polis membongkar kegiatan sindiket pemalsuan dokumen pengenalan diri apabila tertangkap 3 lelaki termasuk seorang pegawai pendaftar JPN di Semporna.

Ketiga-tiga suspek kini direman mulai Rabu lepas bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Ewon berkata, tanggungjawab warga Sabah dalam memberi kerjasama menjaga kedaulatan negeri dan negara juga amat penting, dengan memastikan persekitaran kediaman dan perusahaan ekonomi mereka bebas daripada kehadiran pendatang tanpa izin (PATI).

Masalah PATI di Sabah memerlukan penyelesaian komprehensif dan berkesan kerana kebanjiran PATI yang semakin membimbangkan dikhuatiri menjadi bom jangka di negeri ini sekiranya isu kompleks itu tidak ditangani dengan baik, katanya.

Tiada ulasan: