PETALING JAYA: Ahmad Zahid Hamidi menyeru ahli Umno jangan risau akan situasi kewangan parti itu, yang ketika ini menghadapi kekangan selepas hartanya dibekukan setahun lalu dalam siasatan pihak berkuasa ke atas skandal 1MDB.
Presiden Umno itu percaya akan ada pihak yang akan bersimpati dengan usaha Umno dan akan menyalurkan bantuan pada musim pilihan raya umum ke-15.
“Segala-galanya perlukan wang tetapi wang bukanlah segala-galanya. Apabila tiba pilihan raya nanti, saya amat yakin di luar sana ramai yang bersimpati dengan kepayahan Umno,” katanya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Keningau, Tenom, Ranau dan Pensiangan di Keningau, Sabah hari ini.
Sebelum ini, Zahid mengumumkan Umno akan melancarkan tabung dalam masa terdekat sebagai persiapan menghadapi PRU-15.
Zahid hari ini berkata ketika ada pihak berminat membantu Umno tapi “takut dianiaya dan dizalimi”.
“Sekarang ini mereka tidak mahu bantu kita sebab ada yang khuatir dan gementar, tetapi insyaAllah, kalau mereka lihat kita kuat kembali dan boleh rampas Putrajaya dan Sabah, mereka akan tolong kita,” katanya.
Zahid mengingatkan ketua-ketua bahagian dan cawangan untuk terus mengukuhkan hubungan antara ahli dan mengajak bekas-bekas ahli untuk kembali bersama Umno.
“Jangan tinggalkan sesiapa di bawah, bagilah jawatan. Seperti saya sendiri, saya berjiwa besar dan berlapang dada,” katanya.
“Tengku Razaleigh Hamzah pernah lawan saya sewaktu pemilihan Umno, saya lantik dia sebagai pengerusi jemaah penasihat. Najib Razak, yang pernah jadi bos saya, saya lantik dia sebagai pengerusi lembaga penasihat Barisan Nasional,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan