Selasa, 30 Julai 2019

'Elemen gelap' daulah terpendam cuba sabotaj PH - Saifuddin

MALAYSIAKINI

   

Menteri Luar Saifuddin Abdullah mengulangi dakwaannya bahawa daulah terpendam sedang cuba mensabotaj pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

April lalu, Saifuddin mengeluarkan amaran sama bahawa daulah terpendam mungkin cuba 'menggulingkan' kerajaan baru dengan rampasan kuasa melalui cara-cara yang tidak demokratik.

Daulah terpendam merujuk kepada 'tangan-tangan ghaib' yang mempunyai kepentingan dan mengajukan agendanya sendiri di luar proses pembuatan keputusan kepimpinan negara.

Amaran Saifuddin sebelum ini muncul dalam konteks kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang berkata terdapat percubaan untuk melibatkan raja-raja menentang kerajaan serta untuk memburuk-burukkan kerajaan PH dan diri beliau sendiri selaku perdana menteri, menggunakan isu Statut Rom dengan mendakwa kerajaan telah menyerahkan semua kuasa kepada pihak asing.

The Malaysian Insight hari ini memetik Saifuddin berkata daulah terpendam itu sedang berusaha untuk mensabotaj rancangan kerajaan PH yang berhasrat memeterai empat lagi perjanjian antarabangsa mengenai hak asasi manusia.

"Daulah terpendam memang wujud dan mereka mempengaruhi persepsi dan kami perlu bersedia secara strategik.

“Mereka mungkin berada dalam kerajaan dan anda tidak tahu siapa mereka. Mereka ejen provokasi yang dibayar pihak tertentu untuk mencipta ketakutan dalam kalangan rakyat.

“Dalam media sosial mereka sebarkan pelbagai cerita dan kempen. Ia mungkin berita palsu, separuh betul, tetapi ideanya ialah menghentikan pembaharuan tertentu daripada dilaksanakan atau untuk mensabotaj projek yang baik daripada dilancarkan,” kata Saifuddin menjelaskan mengenai 'elemen gelap' itu.

Walaupun tidak dapat menjelaskan 'elemen gelap' yang dimaksudkannya itu, Saifuddin berkata terdapat petunjuk mengenai kewujudan daulah terpendam.

“Anda tahu ada sesuatu yang sedang dirancang dan ada gerakan tetapi anda tidak dapat benar-benar pastikan siapa mereka,” katanya.

Selanjutnya, menteri itu berkata beliau tidak tahu sama ada individu berkenaan ada kaitan dengan mana-mana parti politik, atau tidak.


Tiada ulasan: