Jumaat, 30 Mac 2018

Masa depan pelbagai kaum bersama PAS

ABDUL HADI AWANG


(Teks transkrip dan suntingan dari ucapan Presiden PAS dalam Majlis Luncheon dialog perpaduan nasional PAS Selangor di Restoran Zam-zam, Shah Alam pada 25 Mac 2018 yang disediakan oleh Pelatih Harakah, ZAID MD ADHAR)


يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ
“(Kata Allah di dalam al-Quran) Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu wahai manusia, bermula daripada seorang lelaki (Adam) dan seorang perempuan (Hawa). Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa, bersuku-kaum, dan berpuak-puak. Supaya kamu berkenalan di antara satu sama lain. Yang paling mulia kalangan kamu ialah yang paling bertakwa (yang paling patuh kepada perintah Allah).”

(al-Hujurat: 13)
Bersaudara

Banyak kalangan memberi sikap yang salah faham terhadap Islam. Pembacaannya melalui buku-buku dan penulisan orientalis, penulisan orang-orang Barat yang bersikap musuh, dengki terhadap Islam.

Sepatutnya mereka membaca terjemahan Quran dan sumber Islam yang asal itu. Islam tidak boleh ditakrifkan, didefinisikan hanya kepada agama ataupun religion. Islam daripada perkataan ad-Din. Di dalamnya urusan-urusan agama. Di dalamnya urusan-urusan politik, ekonomi, way of life, cara hidup manusia yang merangkumi segala aspek kehidupan.

Dengan sebab itu, Islam bukan sahaja agama yang berkait dengan ibadat, dengan moral, akhlak, aspek spiritual. Islam juga berkait dengan masyarakat, bukan terkongkong dengan satu umat, bahkan kepada seluruh manusia.

Quran yang saya baca tadi Allah mengatakan manusia semuanya adalah bersaudara. Walaupun mereka berbagai agama, berbagai bangsa, asalnya daripada satu bapa dan satu ibu. Sebenarnya mereka berkeluarga besar, mereka diwajibkan berkenalan dan berhubung kerana manusia dinalurikan, difitrahkan, disifat semula jadikan bermasyarakat Madani.

Dengan makna manusia tidak boleh hidup bersendirian seorang, tak boleh hidup satu bangsa sahaja, satu negeri sahaja. Mesti berhubung di antara satu sama lain. Kerana segala keperluan manusia yang asasi, makanan, pakaian, tempat tinggal, walaupun berbeza agama, ada perbezaan. Tetapi di sana ada satu konsep mesti bermasyarakat Madani, berhubung di antara satu sama lain.

Pakaian yang kita pakai daripada kain semua bangsa ada pakaian walaupun berbeza, daripada kain. Kain daripada benang. Benang daripada kapas. Kapas mesti ditanam, mesti ada cangkul, ada besi, ada logam. Banyak sumber-sumber untuk menghasil hanya satu pakaian sahaja. Maka ada bangsa yang bertani, bangsa yang berniaga, bangsa yang berindustri, yang melombong, yang bertukang. Dibahagikan hasil-hasil yang berbeza di seluruh dunia, hendaklah digabungkan di antara satu sama lain untuk menghasilkan keperluan pakaian, makanan, mesti dicampur, dimasak, diletakkan rempah ratusnya. Menggunakan alat-alat logam yang dilombong dan digali.

Menunjukkan manusia mesti berhubung di antara satu sama lain. Sepatutnya mereka tidak berperang, mereka tidak bergaduh. Islam menganjurkan semua manusia adalah bersaudara. Islam mengharamkan paksaan dalam agama. Walaupun diwajibkan pendakwah mengajak manusia kepada Islam. Tetapi diharamkan paksaan dalam agama.

Diwajibkan adil untuk semua. Sekiranya kita membuka al-Quranul Karim, kita akan dapati semua Rasul-rasul yang membawa Islam, orang Islam wajib beriman kepada semua Rasul-rasul, semua Rasul-rasul mesti orang Islam percaya. Bukan sahaja Adam, Adam, termasuk Ibrahim. Bahkan Ibrahim dikatakan sejarahnya yang mencipta agama Islam yang diubah menjadi agama Hindu.

Ibrahim menjadi Brahma, kemudian diubah kisah dan ceritanya. Tetapi ada penemuannya. Termasuklah Nabi Musa yang disanjung oleh orang Yahudi, Nabi Isa disanjung oleh Kristian. Orang Islam wajib beriman dengan semua Rasul-rasul ini.

Dan manusia bersatu beriman kepada tuhan yang satu. Semua percaya kepada Allah, tuhan, Allah, God, dengan bahasa masing-masing. Perbezaannya ialah dari segi tauhid. Ada agama yang melantik tuhan-tuhan yang lain daripada Allah. Ada agama yang meletakkan sifat tuhan kepada makhluk-makhluk yang lain kepada makhluk-makhluk. Ini perbezaan.

Dewan Rakyat lulus pindaan Akta GST

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat hari ini meluluskan pindaan terhadap Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) 2014 yang menyaksikan pengecualian cukai tersebut diperluaskan bagi empat kategori.
 
Kelulusan itu dicapai setelah undi belah bahagian yang dijalankan di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Ismail Mohamed Said menyaksikan sebanyak 101 ahli Parlimen bersetuju manakala jumlah yang tidak bersetuju adalah sifar.
 
Utusan Malaysia melaporkan, jumlah undi sifar yang dicatatkan itu berlaku ekoran tindakan semua wakil pembangkang keluar dari Dewan Rakyat semasa pengundian dijalankan.
 
Mereka tidak berpuas hati apabila Ismail tidak meluluskan permohonan G. Manivannan (PKR-Kapar) yang meminta undi belah bahagian dijalankan sebelum sidang berhenti untuk rehat pada pukul 1 tengah hari.
 
Walau bagaimanapun, undi belah bahagian dilakukan sebaik sahaja sidang disambung semula pada pukul 2.30 petang atas permintaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
 
 

Debat tetap diteruskan tanpa sebarang jawapan rasmi MB Terengganu

 
Debat tetap diteruskan tanpa sebarang jawapan rasmi MB Terengganu



Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad akan mengadakan Debat Isu Semasa mengenai ‘Masalah Kesihatan Anak Kecil’ di Negeri Terengganu sebagaimana di Laporkan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) baru-baru ini.

Debat ini diadakan susulan cabaran beliau terhadap Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dalam beberapa isu dibangkitnya sekian lama, termasuklah terkini laporan Unicef  yang tidak mendapat perhatian daripada kerajaan negeri.

Ahmad Razif pada 9 Mac lalu, membidas kenyataan Raja Kamarul Bahrin Shah yang mendakwa kerajaan negeri tidak prihatin terhadap kanak-kanak mengalami masalah tumbesaran akibat kekurangan zat makanan sebagaimana laporan Unicef.

Ahmad Razif dipetik berkata dakwaan itu tuduhan liar dan berniat memfitnah kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) yang banyak membawa kemajuan kepada negeri Terengganu.

Ahmad Razif Abdul Rahman
Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman

Bagaimanapun Raja Kamarul Bahrin dalam sidang medianya pada 20 Mac lalu, dipetik berkata,reaksi menteri besar yang secara emosi dan tanpa merujuk laporan Unicef  terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan menuduh beliau membuat tuduhan liar serta memfitnah.

Pengerusi AMANAH Negeri Terengganu ini berkata, sikap menteri besar itu tidak menguntungkan rakyat Terengganu yang miskin serta susah dan memerlukan pembelaaan.

Justeru beliau tetap meneruskan rancangan debat ini walaupun telah  menghantar surat rasmi ke ibu pejabat menteri besar untuk jemputan kepada program debat yang dijadualkan akan diadakan pada 30 Mac 2018 (Esok).

MalaysiaDateline, dimaklumkan,  beliau masih belum mendapat sebarang jawaban oleh itu beliau menjemput secara terbuka kepada Ahmad Razif untuk hadir  ketika hari berlangsung program berkenaan.

Raja Kamarul Bahrin berkata, debat ‘Masalah Kesihatan Anak Kecil Terengganu’ ini akan diteruskan memandangkan ianya melibatkan kepentingan serta minat orang ramai dan ia akan diteruskan seperti dijadualkan.

“Persiapan telah dibuat dan majlis akan diteruskan dengan panelis yang hadir walaupun jemputan kepada menteri besar Terengganu belum lagi diberikan jawapan rasmi,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Menurut Raja Kamarul Bahrin lagi, memandangkan masalah anak kecil di Terengganu  dilaporkan oleh Unicef, kerajaan negeri didesak perlu menangani isu ini segera mungkin.

“Dalam waktu laaporan Unicef sedang banyaak di bincang oleh rakyat perbahasan secara meluas dan mendalam demi mencari penyelesaiaan perlu diadakan. Ini adalah  isu ‘publif of interest’.

“Semoga program ini akan membawa manfaat kepada semua rakyat Terengganu yang sangat prihatin,” ujarnya yang tidak mahu mendedahkan barisan panelis yang akan hadir esok.

Debat Isu Semasa yang membincangkan “Masalah Kesihatan Anak Kecil Terengganu’ ini akan diadakan di Hotel Tanjung Vista, Kuala Terengganu jam 9 malam.

Kaji selidik Umno lebih banyak dari Invoke, bidas Rafizi



Kaji selidik Umno lebih banyak dari Invoke, bidas Rafizi



“Jika Invoke dituduh melanggar undang-undang kerana menjalankan kaji selidik, bagaimana pula ratusan kaji selidik yang dilakukan oleh Umno untuk mengukur tahap sokongan ke atas calon-calonnya?” soal pengasas Invoke Rafizi Ramli.

Mengulas tuduhan-tuduhan tidak berasas naib ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun terhadap Invoke di Dewan Negara, 27 Mac lalu, Rafizi mengakui dimaklumkan beberapa ahli parlimen Umno-BN mengenai kaji selidik melalui telefon yang digunakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengenal pasti tahap sokongan setiap wakil rakyatnya.

“Jika Invoke ingin disiasat kerana menjalankan kaji selidik, kenapa pula Umno tidak disiasat secara besar-besaran kerana jumlah kaji selidik melalui telefon yang dibuat oleh Umno adalah jauh lebih tinggi berbanding kaji selidik oleh Invoke?” soal ahli parlimen Pandan itu.

Sehubungan itu, Rafizi yakin tuduhan palsu dilemparkan Khairul Azwan dan laporan meluas media massa pro-BN terhadap ucapan pemimpin pemuda Umno itu, sebagai usaha untuk melumpuhkan Invoke yang kini sudah mempunyai 25,000 orang sukarelawan yang giat dilatih untuk menjadi ejen kira undi bagi calon-calon PH.

“Ugutan ke atas Invoke adalah untuk menakut-nakutkan rakyat supaya tidak terus tampil menjadi sukarelawan kerana Umno bimbang dokongan rakyat yang menjadi sukarelawan Invoke akan menyukarkan sebarang usaha penipuan pilihan raya,” ujarnya.

Sehubungan itu beliau menyeru orang ramai untuk terus tampil mendaftar menjadi sukarelawan Invoke dengan mendaftar di pautan bit.ly/JOMJOININVOKE.

“Lebih ramai rakyat yang mendaftar menjadi sukarelawan, lebih sukar Umno mengugut untuk melumpuhkan operasi Invoke,” tegasnya.

PAC: Warga emas meninggal dunia masih dapat elaun

 
Pengerusi PAC berkata, 5 daripada 12 pejabat kebajikan masyarakat daerah didapati tidak mematuhi arahan ketua pengarah JKM yang mahu Bantuan Orang Tua dibuat melalui bank.





KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendapati ada kelemahan dalam pengagihan Bantuan Orang Tua (BOT) berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2016 siri 1, termasuk penerima yang meninggal dunia masih mendapat elaun itu.

Sehubungan itu, Pengerusi PAC, Datuk Seri Hasan Arifin mencadangkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengkaji semula skim bantuan tunai itu.

“Terdapat kelemahan terhadap proses pengesahan penerimaan dan pembayaran, kad tuntutan tidak dilengkapi ciri keselamatan dan terdapat pembayaran BOT kepada penerima yang sudah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, 5 daripada 12 pejabat kebajikan masyarakat daerah tidak mematuhi arahan ketua pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mahu BOT dibuat melalui bank.

“Pembayaran tunai BOT bagi November 2016 adalah RM547,200. Terdapat kelemahan dalam agihan tunai BOT seperti pengiraan wang beramai-ramai tanpa had.”

Katanya, PAC turut mendapati berlaku penyalahgunaan bantuan geran peruntukan Pusat Perkhidmatan Warga Emas dengan pinjaman RM95,200 diberikan kepada penyelia dan badan bukan kerajaan yang menguruskan Pusat Perkhidmatan Warga Emas.

“Perbelanjaan sejumlah RM70,988 oleh Pusat Perkhidmatan Warga Emas tidak mengikut garis panduan ditetapkan dan tiada permohonan dibuat untuk perbelanjaan tersebut.

“Tiada permohonan dibuat bagi lebihan belanja sejumlah RM46,733 semasa perolehan peralatan dan kelengkapan Pusat Perkhidmatan Warga Emas serta masih tidak beroperasi sejak penubuhannya pada November 2015.”

Hasan berkata, PAC sudah mengadakan mesyuarat prosiding berhubung isu dibangkitkan Jabatan Audit Negara yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Suriani Ahmad dan Ketua Pengarah JKM, Mohd Fazari Mohd Salleh.

Katanya, PAC membuat beberapa cadangan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, termasuk mengkaji semula senarai penerima bantuan BOT dan meningkatkan kadar BOT sejajar kenaikan kos sara hidup.

“Kaedah kajian semula penerima bantuan BOT bagi tujuan lanjutan tempoh bantuan perlu diteliti dan diperkemas bagi mengelakkan bantuan kepada penerima yang layak, terputus atau tertangguh.”

Beliau berkata, JKM juga perlu menyediakan latihan khusus kepada kakitangan Pusat Perkhidmatan Warga Emas bagi memastikan penjagaan lebih profesional.

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta JKM perlu memastikan setiap peralatan dibekalkan kepada Pusat Perkhidmatan Warga Emas diselenggara dengan baik serta tidak hanya bergantung kepada geran kerajaan semata-mata.

“Kekerapan tinjauan dan pemantauan di lapangan oleh pihak kementerian atau jabatan perlu dilaksanakan.”

Umno Kedah tuduh Dr M ‘bermuka-muka’ sertai protes di Parlimen

 
Pemuda Umno Kedah berkata Dr Mahathir pernah melakukan persempadanan semula pada 1986 dan 1995 yang memberi kekuatan politik kepadanya puluhan tahun.





ALOR SETAR: Pemuda Umno Kedah hari ini menyifatkan tindakan Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai hipokrit dan bermuka-muka kerana bersekongkol dengan kumpulan Bersih menyertai perarakan membantah usul kajian persempadanan semula.

Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata ini kerana Dr Mahathir yang pernah menjadi perdana menteri sepatutnya lebih mengetahui tentang sistem pilihan raya di negara ini.

“Bingit macam mana pun ucapan dia (Dr Mahathir), ia tidak akan mampu mengubah sistem sedia ada. Malahan dia juga pernah melakukan proses kajian semula persempadanan pada 1986 dan 1995 yang memberikan kekuatan politik kepadanya selama puluhan tahun.

Pembangkang yang selalu menyatakan mereka kuat tidak seharusnya takut dengan usaha persempadanan ini dan jangan gunakan ia sebagai alasan untuk meraih simpati politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Mahathir menyertai kira-kira 200 orang yang menyertai perarakan pagi semalam bagi membantah usul persempadanan itu.

Perarakan itu dianjurkan kumpulan pendesak perubahan pilihan raya Bersih 2.0 untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Usul kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya diluluskan Dewan Rakyat semalam selepas mendapat sokongan majoriti ahli parlimen melalui undi belah bahagian.

Usul yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu menerima sokongan 129 ahli parlimen berbanding 80 yang menolak.

Shaiful Hazizy berkata kajian semula persempadanan itu merupakan proses biasa dalam sistem pilihan raya di negara ini sekali gus pihak pembangkang tidak perlu menjadikan ia sebagai satu isu.
 
Beliau berkata kumpulan Bersih itu sepatutnya sedar dan tidak meletakkan Dr Mahathir sebagai jurucakap utama mereka kerana beliau merupakan pelopor kepada sistem sedia ada.


Tak selesai selagi MB main politik

ANTARAPOS
 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Penstrukturan industri air di Selangor tidak akan selesai selagi Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak berhenti bermain politik.
 
Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata Mohamed Azmin dilihat lebih gemar memutar belit fakta berhubung dokumen perjanjian itu, berbanding berusaha untuk menyelesaikannya dengan segera.
 
"Beliau (Mohamed Azmin) mendakwa kononnya saya mengkhianati hak rakyat dengan menyerahkan semula aset berjumlah RM533 juta kepada Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHSB).
 
"Aset yang diserahkan kepada PNHSB bukan aset berkaitan perkhidmatan air, yang mana kerajaan negeri tidak memerlukannya bagi melaksanakan proses penstrukturan semula industri air.
 
"Masalah sekarang beliau tidak faham dokumen perjanjian. Agak susah untuk membuat kerja kalau beliau tidak faham apa di dalamnya (dokumen perjanjian)," katanya selepas Majlis Pelancaran Manifesto Gagasan Sejahtera Negeri Selangor untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di sini.
 
Abdul Khalid berkata, beliau kecewa dengan sikap tidak profesional Mohamed Azmin, sekali gus menyebabkan penstrukturan air di negeri itu gagal diselesaikan hingga sekarang.
 
"Beliau enggan menerima persetujuan yang dicapai antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan mengenai penstrukturan semula industri air yang membabitkan kos hanya RM9.65 bilion sahaja.
 
"Persetujuan ini turut membabitkan harga tawaran pengambilalihan ekuiti dan tanggungan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) berjumlah RM2.92 bilion," katanya.
 
Khalid turut mendakwa pentadbiran Mohamed Azmin ingin membayar sebanyak RM2.7 bilion terhadap ekuiti syarikat konsesi air itu, iaitu 10 kali lebih tinggi daripada tawaran asal yang berjumlah RM250.6 juta.
 
Semalam, Mohamed Azmin ketika sesi penggulungan perbahasan menjunjung titah ucapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berkata, pengambilalihan SPLASH masih gagal menemui titik noktah.
 
Beliau memberi alasan pihaknya tidak boleh mengemukakan nilai pengambilalihan itu disebabkan mahu menjaga kepentingan pemegang saham syarikat.
 
 

Air percuma, insentif RM500 ibu bersalin antara manifesto PAS Selangor



PAS Selangor melancarkan manifesto 10 teras bertemakan “Selangor Sejahtera” hari ini.


SHAH ALAM: PAS Selangor hari ini melancarkan manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang merangkumi 10 teras, termasuk meneruskan pemberian air percuma, insentif RM500 untuk wanita bersalin dan bantuan tambang bas sekolah.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi ketika melancarkan manifesto bertemakan “Selangor Sejahtera” itu berkata, 10 teras itu melibatkan aspek kesejahteraan, iaitu berkerajaan, beragama dan budaya, pendapatan, pendidikan, wanita dan keluarga, anak muda, kesihatan, ekonomi tani, kediaman dan alam sekitar.

Katanya, di bawah teras kesejahteraan wanita dan keluarga, PAS Selangor menjanjikan 4 perkara termasuk insentif RM150 kesihatan dan keanggunan wanita; insentif RM500 untuk wanita bersalin; bantuan dan khidmat bimbingan keharmonian perkahwinan dan kesejahteraan rumah tangga serta bantuan kelangsungan hidup ibu tunggal.

Bantuan tambang bas sekolah, insentif yuran tahunan persatuan ibu bapa dan guru; pendidikan percuma bagi sekolah milik kerajaan negeri; Akademi Pasca Tahfiz serta mewujudkan skil penjawatan guru dan kakitangan sekolah kerajaan negeri terkandung dalam teras kesejahteraan pendidikan.

Sallehen berkata, pemberian air percuma kepada rakyat Selangor akan diteruskan jika PAS berjaya memerintah negeri itu.

“Kita akan teruskan pemberian air percuma dengan penambahbaikan terhadap program yang dilaksanakan kerajaan sedia ada yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau yang juga adun Sabak Bernam yakin manifesto PAS Selangor mampu menarik pengundi.

“Kita berbincang, kita merangka (manifesto) atas keperluan semasa yang dilihat pada rakyat dan keperluan rakyat dalam menghadapi cabaran (menjadi) negeri maju.

“Kita rangka untuk pastikan supaya kita dipilih dan disokong rakyat, kita mengharapkan sokongan rakyat. Kalau kita nak lihat adakah rakyat akan sokong kita ataupun tidak, kita tunggu PRU nanti.”

Mengenai calon menteri besar PAS, katanya, calon yang diturunkan parti itu berkeupayaan dan layak memimpin kerajaan negeri, tetapi perkara itu hanya akan ditentukan selepas PAS menang di Selangor.

“Semua calon yang kita letak kali ini layak jadi menteri besar disebabkan kita janjikan calon baik dan ditapis Majlis Syura dari pelbagai sudut.

“Kita berkeyakinan kita akan menang dan terpulang pada tuanku untuk pilih, sebab semua berkeupayaan.

“Ke-2, kita tak calonkan (menteri besar) dahulu sebab kita nak cara beradab dan sopan. Biar kita memang dulu baru ditetapkan.”

PBM serah dokumen kepada JPPM elak dibubarkan

 
Setiausaha Kerja PPBM, Muhammad Suhaimi Yahya menyerahkan dokuman dan maklumat itu petang tadi, sehari menjelang tempoh 30 hari diberikan JPPM bagi melengkapkan siasatan terhadap aduan ahli parti itu.
 
 
Muhammad Suhaimi Yahya menarik satu troli fail memasuki ibu pejabat JPPM di Putrajaya, petang tadi.


PETALING JAYA: PPBM hari ini menyerahkan maklumat dan dokumen yang dikehendaki Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) sehari sebelum tarikh akhir untuk mengelak dibubarkan, susulan aduan ahli parti itu mengenai perhimpunan agung tahunan (AGM) pertamanya Disember lalu.

Sebuah video yang dikeluarkan unit media parti itu menunjukkan Setiausaha Kerja PPBM,
Muhammad Suhaimi Yahya menarik satu troli yang dipenuhi timbunan fail memasuki ibu pejabat JPPM di Putrajaya.

Katanya, maklumat dan dokumen itu diserahkan pada 2.45 petang tadi berdasarkan notis dikeluarkan JPPM mengikut Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1996, yang merujuk minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan parti.

“Kita sudah melaksanakan apa yang dikehendaki mengikut perintah yang dikeluarkan.

“Sebelum ini, kita sudah menghantar satu maklumat awalan untuk memenuhi 3 daripada 9 perkara pada 27 Mac 2018 dan hari ini kita lengkapkan lagi 6 perkara yang sepatutnya kita penuhi demi kebaikan parti kita semua,” katanya dalam klip video selama 1 minit itu yang diperolehi FMT.

Pada 12 Januari lalu, JPPM berkata, pihaknya sedang menyiasat lebih 400 aduan yang diterima berkaitan AGM pertama PPBM, Disember lalu, yang didakwa melanggar perlembagaan parti itu.

JPPM sebelum itu berkata, kegagalan PPBM mengadakan perhimpunan tahunan sebagai salah satu sebab pendaftaran Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai parti itu tidak diluluskan sejak Julai 2017.

Susulan itu, PPBM mengadakan AGM pertama di Shah Alam pada 30 Disember lalu, lebih setahun selepas ia didaftarkan pada September 2016.

Pada 9 Mac lalu, Ketua Pengarah JPPM, Surayati Ibrahim berkata, satu notis berkuat kuasa 28 Februari lalu diserahkan kepada Setiausaha Agung PPBM, Datuk Shahruddin Md Salleh.

Notis itu mengkehendaki PPBM menjawab serta menyerahkan semua maklumat dan dokumen, seperti minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan parti, kepada JPPM dalam tempoh 30 hari.

Katanya, JPPM boleh mengeluarkan perintah pembubaran kepada PPBM berdasarkan Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan, jika parti itu gagal menyerahkan maklumat dan dokumen itu.

Surayati pada 23 Mac lalu dilaporkan berkata, pendaftaran PH tidak dapat diproses selagi PPBM tidak menjawab dan menyerahkan semua maklumat serta dokumen berdasarkan notis dikeluarkan JPPM.

 LIHAT VIDEO DI SINI


Khairy: Setiausaha agung FAM pengganti terbaik TMJ

 
Khairy berkata Hamidin individu paling layak ​​​​kerana menepati beberapa ciri diperlukan untuk memegang jawatan berkenaan dalam badan induk bola sepak negara itu.




DUNGUN: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyifatkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai calon sesuai selaku pemimpin nombor 1 FAM yang kini kosong ekoran peletakan jawatan Presidennya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atau lebih dikenali sebagai TMJ, pada Ahad lepas.

Khairy berkata Hamidin individu paling layak kerana menepati beberapa ciri diperlukan untuk memegang jawatan berkenaan dalam badan induk bola sepak negara itu.

“Saya nampak beliau (Hamidin) layak dan berpengalaman serta mempunyai jaringan baik dalam dunia bola sepak. Ini secara peribadi, tetapi terpulang kepada anggota gabungan FAM termasuk persatuan bola sepak negeri untuk memilih.

“Presiden FAM dipilih melalui pemilihan. Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri juga layak dan terpulang kepada anggota gabungan. Tetapi, untuk menjadi presiden FAM harus ada pengalaman di peringkat kebangsaan, negeri dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis meletak batu asas Projek Pembinaan Kompleks Velodrom Berbasikal Daerah Dungun di Kampung Balai Besar semalam.

Selepas melepaskan jawatan secara rasmi sebagai presiden FAM pada Ahad lepas, Tunku Ismail berkata Hamidin sebagai individu paling layak menerajui FAM bagi menggantikan tempat baginda.

Mengulas lanjut, Khairy berkata Hamidin juga mempunyai pengalaman dalam aspek pengurusan ketika menerajui Persatuan Bola Sepak Selangor.

“Saya sarankan FAM adakan pemilihan secepat mungkin kerana tidak mahu tempoh ketiadaan presiden itu dalam waktu lama. Mungkin yang ada sekarang boleh menjalankan tugas… tetapi saya harap soal kepimpinan sukan nombor 1 di Malaysia ini dapat diselesaikan dengan cepat,” katanya.

Dalam pada itu, majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat.

Ia turut diserikan dengan kehadiran 2 pelumba basikal negara kelahiran Terengganu, Mohd Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustafa.