Jumaat, 29 Julai 2011

PAS minta mufti campur tangan kilang komponen arak

Helmi Ibrahim

PEKAN: PAS Pahang memohon campur tangan Mufti Pahang, berhubung isu pengeluaran bahan silika yang akan di gunakan bagi tujuan penapisan arak oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat yang beroperasi di kawasan perindustrian Gebeng, Kuantan.

(Ketua Penerangan [kanan] PAS Pahang Menyerahkan Memorandum Kepada Mufti Pahang)

Pandangan tersebut telah di suarakan oleh Ketua Penerangan Pas Pahang, Ustaz Suhaimi Md Saad pada sesi perjumpaan muhibbah PAS Pahang dengan Mufti Pahang, Datuk Haji Abdul Rahman bin Haji Osman yang di adakan pada 27 Julai 2011 di Pejabat Mufti Pahang, Pekan.

Beliau telah di iringi oleh Yang Di Pertua PAS Kawasan Pekan Ustaz Abu Kassim, Ketua enerangan Dewan Pemuda PAS Pahang Ustaz Fadhil Mohd Noor dan AJK kawasan dan pemuda.

Berhubung dengan isu berkaitan, Ustaz Suhaimi telah memaklumkan kegusaran pekerja dan juga rakyat berhubung hasrat kilang berkenaan untuk mengeluarkan sejenis produk yang di kenali sebagai ‘Daraclar’ ataupun nama santifiknya ‘Beer Stabilizer’.

Berdasarkan kepada fatwa yang di keluarkan pada 31 Julai 2004 di nyatakan hukum bekerja di kilang membuat silica adalah harus dan di bolehkan kerana ianya tidak termasuk mengeluarkan ain arak dan silika tersebut boleh di gunakan untuk tujuan lain seperti perusahaan cat, kaca dan sebagainya.

“Kita sedia maklum akan kepelbagaian kegunaan silika tersebut tetapi apa yang kami persoalkan ialah silika yang akan di hasilkan oleh satu binaan tambahan khusus di kilang tersebut yang kini dalam proses pembinaan adalah semata-mata untuk memenuhi keperluan industri arak. Daraclar atau Beer Stabilizer tiada kaitan langsung dengan perusahaan cat mahupun kaca,” jelas Ustaz Suhaimi.

“Kita mendapat maklumat dalaman bahawa Jabatan Mufti telah di berikan maklumat yang tidak menyeluruh sewaktu pertemuan oleh syarikat terbabit sebelum fatwa berkenaan di keluarkan. Hasilnya sekarang fatwa tersebut telah di jadikan ‘senjata’ oleh pihak tertentu bagi menghalalkan pengeluaran produk berkenaan," katanya.

Mufti juga di maklumkan bahawa berdasarkan maklumat yang boleh di dapati melalui laman web syarikat tersebut, jelas menunjukkan bahawa silika bagi kegunaan penapisan arak merupakan sebahagian dari aktiviti perniagaan syarikat berkenaan di seluruh dunia dan kini mereka memilih Malaysia sebagai platform bagi pengilangan dan pemasaran untuk rantau Asia Pasifik.

Ketua Penerangan PAS Pahang itu juga memaklumkan bahawa terdapat usaha dari pihak pekerja untuk bertemu dengan Mufti tetapi mereka telah di berikan amaran untuk tidak berbuat demikian.

“Justeru itu atas dasar kesedaran dan kepentingan kebajikan pekerja dan umat Islam, kami memohon pertimbangan pihak Mufti untuk menilai kembali isu ini dan dapat mengambill tindakan tegas dan segera,” ujarnya lagi.

Dalam kenyataan balasnya, Dato’ Haji Abdul Rahman memaklumkan bahawa pihaknya di maklumkan bahawa mereka di berikan penjelasan bahawa silika yang di hasilkan oleh syarikat tersebut boleh di gunakan secara umum dan tidak di khususkan untuk pengeluaran arak secara langsung.

Justeru itu beliau akan mengambil tindakan segera dengan memaklumkan semula kepada Majlis Fatwa berhubung perkara tersebut dan memohon penilaian semula berhubung status isu berkenaan.

Beliau juga memaklumkan akan memanggil semula pengurusan kilang terlibat bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung dakwaan tersebut.

Sebagai tambahan kepada hasrat Mufti Pahang tersebut, PAS Pahang berpendapat agar pekerja kilang tersebut turut di panggil bagi menyatakan pendapat dan maklum balas agar maklumat yang di terima pada kali ini lebih tepat dan telus.

Pada pertemuan tersebut, Ketua Penerangan Pas telah menyerahkan memorandum berkaitan isu tersebut yang memohon penjelasan dari pihak Jabatan Mufti dan amat berharap agar satu tindakan yang konkrit dapat di ambil dalam masa yang terdekat.

Beliau juga marakamkan rasa penghargaan terhadap layanan yang baik oleh Mufti Pahang dan juga kakitangan jabatan Mufti dan berharap agar jalinan kerjasama yang lebih baik pada masa akan datang demi kebaikan umat Islam.

Fahaman Umno lebih bahaya daripada Wahabi?

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Keghairahan Umno melalui agensi Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat tuduhan mengaitkan Wahabi dengan pengganas bukanlah sesuatu yang baik untuk negara.

Menurut Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) fahaman Wahabi yang diasaskan oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab mempunyai perbezaan dalam perkara furu', tapi bukan soal penafian prinsip Islam.

“Kerana itu, ia diterima dan dianuti oleh kerajaan Arab Saudi dan beberapa negara lain. Arab Saudi, sekurang-kurangnya telah melaksanakan hukum hudud, Qisas dan Takzir, akan tetapi Malaysia masih terkial-kial mencari formula mengatasi masalah jenayah dalam negara,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Umno dalam sejarahnya, kata Tuan Ibrahim pernah mengeluarkan kenyataan yang menghina hukum syarak, memperlekehkan sunnah nabi, menganggap negara akan mundur kalau melaksanakan Islam, bahkan lebih teruk dari itu, ada sebilangan pemimpin Umno pernah menganggap politik suku agama suku.

“Fahaman sekular yang dianuti oleh sebahagian pimpinan tertinggi menyebabkan Islam hanya ditadbir sebagai satu jabatan, bukan sebagai satu sistem kehidupan manusia.

"Bukankah ini bukti fahaman Umno yang berdasar sistem pragmatisme sebenarnya jauh lebih bahaya dari Wahabi?” soal beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini menimbulkan kebimbangannya terhadap beberapa tokoh agama di Malaysia, termasuk bekas Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang dikaitkan dengan fahaman Wahabi dan aktiviti terorisme.

Menurut sumber, dalam taklimat tertutupnya yang antaranya disertai mufti dan wakil majlis agama Islam negeri di Putrajaya, seramai 40 ulama muda Umno turut dikaitkan sama.

"Kerajaan Arab Saudi didakwa menjadi dalang di sebalik apa yang berlaku. Saudi dikatakan di belakang tokoh-tokoh ini," dakwa sumber itu.

Sebagai reaksi kepada tindakan MKN, Tuan Ibrahim berkata tuduhan mengaitkan beberapa tokoh agama dengan pengganas bukanlah perkara baru, bahkan ianya selaras dengan anggapan Amerika Syarikat terhadap gerakan Islam.

“Cuma yang agak menghairankan bilamana ulamak Muda Umno juga tergolong senarai pengganas.

"Apakah Kementerian Dalam Negeri tidak bercadang mengenakan mereka di bawah Ordinan Darurat, sebagaimana nasib enam aktivitis PSM yang sehingga kini rakyat tidak tahu apa jenis ancaman yang mereka bawa kerana menyokong Bersih 2.0?” soal beliau sambil menyokong saranan Dr Asri Abidin agar 40 ulama muda Umno ini menyemak kembali penyertaan mereka dalam parti itu.

“Tidak terfikirkah bahawa apabila ulamak Umno pun dicop sebagai pengganas, bukankah ini bermaksud pemimpin mereka lebih hebat lagi?

"Tapi, apa yang hairannya, inilah Umno. Bagi mereka, kerja lanun merompak wang negara dengan membunuh karear politik musuh dalaman atau luaran mereka adalah satu kerja yang halal dan wajib dilaksanakan asalkan kuasa politik mereka terjaga,” bidas beliau secara sinis.

Kes dadah: Ameng bebas hukuman penjara, denda RM4,000 kekal

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR— Mahkamah Tinggi mengetepikan hukuman penjara dua bulan terhadap penyanyi kumpulan Spring Wan Aminuddin Wan Ismail atau lebih dikenali sebagai Ameng tetapi mengekalkan denda RM4,000 yang dijatuhi oleh Mahkamah Majistret tahun lalu.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dalam penghakimannya berkata majistret yang menjatuhi hukuman tersebut terhadap Wan Aminuddin, 42, pada 1 Nov tahun lalu telah terkhilaf mentafsir Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000.

Ini bermakna mengikut seksyen itu, majistret hanya boleh menjatuhi hukuman penjara sahaja atau denda sahaja dan bukannya kedua-dua sekali.

Mohamad Zabidin berkata beliau bersetuju dengan pihak perayu (Wan Aminuddin) yang diwakili peguam Kamarul Zaman Abdul Rahman bahawa majistret hanya boleh menjatuhi hukuman penjara ataupun denda.

Laporan Bernama Online menyebut, Mohamad Zabidin dalam penghakimannya memutuskan bahawa pihak pendakwaan juga telah memenuhi peruntukan Seksyen 399 Kanun Acara Jenayah dalam menyerahkan dokumen-dokumen kepada pihak pembelaan 10 hari sebelum tarikh perbicaraan.

Sebelum itu, Kamarul Zaman berhujah bahawa sabitan terhadap Ameng sepatutnya diketepikan atas alasan pihak pendakwaan gagal menyerahkan keputusan laporan ujian pengesanan dadah dalam air kencing.

Timbalan Pendakwa Raya Faizah Mohd Salleh berhujah bahawa pihaknya ada menyerahkan laporan itu kepada Ameng dan penyanyi itu telah pun menandatanganinya.

Bagaimanapun, Faizah berkata polis tidak mencatat tarikh penyerahan itu.

Pada 12 Mei tahun lepas, Ameng mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan memasukkan dadah jenis ganja ke dalam badannya di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada 3.45 petang 2 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Ameng kini menjalani hukuman di Penjara Kluang, Johor selama lapan tahun setelah Mahkamah Sesyen Melaka pada 12 April lalu menjatuhi hukuman selepas dia didapati bersalah terhadap pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badannya.

Dia juga dikenakan hukuman 10 sebatan oleh mahkamah berkenaan.

Bekas duta Malaysia ke Saudi sambut baik dialog isu Wahabi

TERKINI

KUALA LUMPUR— Bekas duta Malaysia ke Arab Saudi Datuk Dr Ismail Ibrahim mengalu-alukan syor dialog diketengahkan oleh Mufti Perlis bagi menyelesaikan polemik mengenai isu Wahabi dan “kesesatan” Arab Saudi yang hangat diperkatakan ekoran satu mesyuarat Putrajaya awal minggu ini.

Dalam satu kenyataan ringkas kepada The Malaysian Insider malam tadi, Ismail yang juga bekas ketua pengarah Institut Kemajuan Islam Malaysia berkata, beliau bersedia untuk menghadiri sesi dialog yang dimaksudkan itu dan jika perlu, “akan mengambil pendirian berkecuali dalam perbincangan.”

“Saya dengan sepenuh hati menyokong dialog yang disyorkan ini demi kepentingan negara,” kata beliau yang juga bekas pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia.

Ketika ditanya sama ada akan menjadi orang tengah menyelesaikan isu terbaru ini, Ismail berkata "saya bukan nak jadi orang tengah."

"Tetapi saya menggalakkan sesi dialog itu diadakan di antara para ilmuan dan cendiakawan Islam, berbincang dengan ikhlas dan beradab, mencari penyelesaian yang baik, tanpa membuat komen dan spekulasi yang berbentuk sentimen dan emosi keterlaluan, yang mungkin juga menyentuh dasar negara Malaysia dan Saudi serta hubungan baik kedua negara ini."

Dalam satu kenyataan semalam, Dr Juanda Jaya (gambar), Mufti Perlis berkata, pihaknya akan mempelawa tokoh agama Dr. Muhammad Uthman El Muhammady agar berdialog mengenai polemik Wahabi dengan mengundang beliau ke Perlis semasa Ramadan bagi menjernihkan isu “kesesatan Saudi.”

Juanda berkata Jabatan Mufti Perlis akan menghantar mempelawa Uthman, yang telah dijemput memberi taklimat pada satu mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Isnin lalu, agar memberikan penjelasan mengenai isu tersebut khususnya kepada warga Perlis.

The Malaysian Insider difahamkan surat itu telah pun dihantar kepada pendakwah bebas itu semalam.

“Sebenarnya kami hendak menjemput beliau datang secepat mungkin, tetapi oleh kerana kita sudah menghampiri bulan Ramadan, jadi lebih elok dialog diadakan ketika bulan puasa.

“Lagipun bulan Ramadan adalah bulan yang mulia, kita boleh membincangkan isu ini dalam suasana jernih dan terbuka mengenai apa yang beliau (Uthman) mendakwa sebagai wujudnya kesesatan Saudi (dalam isu Wahabi),” kata beliau.

Juanda menegaskan, apa yang didakwa diperkatakan oleh Uthman kononnya wujud “kesesatan” berkenaan isu fahaman Wahabi adalah tidak betul.

“Apabila kenyataan beliau mengaitkan dengan Arab Saudi, ia menimbulkan kekeliruan, sebab ramai rakyat negara ini pergi ke Saudi dan bersolat di masjid-masjid di negara itu,” katanya.

“Malah kita juga menjemput imam-imam dari Arab Saudi datang ke negara, jadi apabila isu ini dibangkitkan, ia menjadi satu isu . . . jadi saya berharap beliau dapat datang ke Perlis dan menjelaskan kepada kami tentang isu sebenarnya,” kata Juanda lagi.

Mengulas pelawaan itu, Uthman yang juga Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Antarabangsa, yang dihubungi The Malaysian Insider semalam berkata, beliau sedia menerima pelawaan Juanda mengenai isu Wahabi dengan syarat ia diadakan secara tertutup membabitkan pakar-pakar berhubung perkara yang menjadi polemik sekarang.

“Saya sanggup hadir jika (dialog yang disyorkan) jika diadakan dengan penuh disiplin, beretika dengan disertai oleh pakar-pakar dan secara tertutup . . . jika tidak, saya mahu menjauhkan diri (daripada dialog),” kata Tokoh Maal Hijrah ini.

Sambil menegaskan beliau tidak mahu isu berkenaan disensasikan supaya kepentingan negara tidak terjejas, Uthman memberitahu, hanya selepas adanya hasil perbincangan, baru keputusan yang dipersetujui perlu disebarkan kepada umum.

Wad kecemasan HKL terbakar, seorang pesakit maut

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR— Wad kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini terbakar tengah malam tadi menyebabkan seorang pesakit maut, dipercayai akibat terhidu asap tebal.

Pihak pentadbiran HKL ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu tetapi akan hanya mengeluarkan kenyataan petang ini setelah maklumat sebenar mengenai kenyataan itu diperoleh.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail, ketika dihubungi Bernama, berkata kebakaran dikatakan berlaku kira-kira pukul 12 tengah malam dan pihak bomba menerima panggilan setengah jam kemudian.

“Anggota bomba tiba tujuh minit selepas mendapat panggilan dan ketika itu petugas HKL sedang bertungkus lumus memadamkan api serta mengeluarkan asap dari bilik itu kerana cuba menyelamatkan pesakit lelaki berkenaan,” kata beliau.

“Selepas pihak bomba berjaya memadamkan kebakaran dan mengeluarkan asap dari bilik tersebut, mangsa didapati sudah tidak bernyawa.

“Pesakit lain yang berada di luar bilik berkenaan terpaksa dipindahkan ke bilik lain kerana dibimbangi asap tebal akan membahayakan nyawa mereka,” katanya.

Azizan berkata dua jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Chow Kit dan Sentul dengan 20 anggota terlibat dalam operasi memadam kebakaran.

PRU-13: Selepas Bersih, Pakatan saji ‘buah tangan’ Ramadan-Aidilfitri


KUALA LUMPUR— Sambutan Aidilfitri kali ini bakal memperlihatkan kelainan berbanding tahun lalu. Para pemimpin dan ahli Pakatan Rakyat akan dibekalkan dengan kit maklumat khas yang membawa bersama strategi perikatan itu menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Misi mereka tidak lain tidak bukan bertujuan memastikan semangat perhimpunan Bersih 2.0 berterusan dan Pakatan Rakyat melancarkan kempen prapilihan raya umum tidak formal mereka.


Pakatan Rakyat mengambil langkah ini — program Balik Kampung — ketika perikatan tiga parti itu mendakwa pengundi terus berhadapan dengan masalah akses kepada maklumat mereka sediakan.

Jadi, ia mahu menggunakan pendekatan mudah itu untuk mendampingi rakyat di kawasan luar bandar dan memikat sokongan mereka menjelang pilihan raya umum ke-13.

Spekulasi terbaru menunjukkan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan dalam waktu terdekat selepas sambutan Aidilfitri, yang jatuh awal September.

Meskipun spekulasi awal menyebut pilihan raya umum kemungkinan diadakan tahun depan tetapi perkembangan seminggu dua ini memberi gambaran sebaliknya.

The Malaysian Insider difahamkan fokus usaha terbaru Pakatan Rakyat ialah pengundi kalangan orang Melayu.

Seperti lazimnya sebahagian besar warga Lembah Klang akan menuju kampung halaman masing-masing di seluruh negara ketika Aidilfitri.

Selain Selangor, Pakatan Rakyat turut menguasai Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Perak pada pilihan raya umum 8 Mac 2008. Perak kemudian jatuh ke tangan Barisan Nasional awal 2009.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mahu menggunakan kesempatan Aidilfitri, malah termasuk bulan Ramadan, yang bermula bulan depan bagi menghebahkan “mesej Pakatan Rakyat”.

“Ramadan bukan satu alasan bagi kami untuk duduk dan relaks. Ia bulan penting bagi Muslim dan orang Melayu di Malaysia, di samping doa dan solat yang lazim dikerjakan, kami harus menggunakan peluang pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli kami ketika balik kampung, membawa bersama isu-isu ini, risalah, untuk menyebarkan mesej Pakatan Rakyat,” kata Timbalan Presiden PKR Azmin Ali kepada The Malaysian Insider.

Ahli Parlimen Gombak ini berkata PKR sudah pun menyediakan kit maklumat khusus yang terdiri daripada penerangan mengenai isu perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai dan menggariskan kandungan janji Pakatan Rakyat menerusi Buku Jingga.

Buku Jingga dilancarkan pada 19 Disember lalu.

“Kami telah memanggil pengarah program Demi Rakyat dari setiap cabang ke ibu pejabat minggu lalu dan mereka diberikan kit maklumat ini dan butiran, dan setiausaha agung kami menjelaskan kepada mereka apa yang perlu dilakukan,” katanya lagi.

Dr Dzulkefly Ahmad
Dalam pada itu, ahli jawatankuasa kerja PAS pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, partinya bercadang untuk mengadakan forum antarabangsa yang akan disertai wakil kumpulan pembaharuan pilihan raya dari luar negara dan bekas ahli politik atau anggota masyarakat madani dari negara-negara seperti Jerman, United Kingdom, Indonesia dan Amerika Syarikat.

“Kami akan terus berhubung dengan Suruhanjaya Pilihan Raya dan juga wakil diplomatik, dengan mengemaskinikan mereka dengan butiran mengenai keadaan demokrasi di Malaysia dan meneruskan program jelajah semasa dengan diadakan majlis ceramah bagi menjelaskan isu-isu berkaitan Bersih,” katanya.

Setiausaha Publisiti DAP kebangsaan Tony Pua berkata, usaha parti itu untuk terus menyegarkan mesej Bersih 2.0 akan dipertingkatkan menerusi majlis-majlis ceramah makan malam dan program komuniti bersama pengundi Muslim ketika Ramadan.

“Kami akan berdialog dan menyertakan bersama komuniti Muslim dan menerusi ini, mesej akan disampaikan ke bawah. Kita mesti meneruskan perbincangan berterusan kerana pada umumnya, orang ramai akan melupakan isu-isu semasa selepas tiga bulan,” katanya.

Tony Pua
Bagaimanapun, soal Bersih 2.0 dan tuntutan perubahan pilihan raya bukan hanya satu-satunya isu yang Pakatan Rakyat mahu menghebahkan kepada pengundi kawasan luar bandar ketika sambutan Aidilfitri.

“Kami harus mempelbagaikan, bergerak daripada hanya memberi tumpuan pada isu Bersih. Bersih adalah penting tetapi kadangkala kepada pengundi Melayu, ia sebenarnya bukan satu-satunya isu menarik perhatian mereka,” kata Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.

Sebaliknya, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat akan memfokus pada isu yang sebati dengan kehidupan mereka, dengan mengambil kira soal kenaikan kos menjelang Hari Raya Puasa kali ini.

Dengan kadar inflasi mencecah paras tinggi, ekoran peningkatan harga makanan dan pengangkutan, kebanyakan keluarga dipercayai akan memotong perbelanjaan bagi mengikat kos sambutan kali ini.

Justeru, kata Dzulkefly, isu-isu ekonomi akan menjadi “menu” utama fokus mereka kali ini.

Kata beliau, selain itu pihaknya juga akan membawa isu-isu berkaitan salah urus ekonomi dan jurang pendapatan selain soal rasuah.

Tanpa memperincikan pendekatan PAS, Dzulkefly berkata, pihaknya akan mengedarkan bahan-bahan maklumat seperti risalah dan CD kepada masyarakat kampung selain mengadakan program-program yang sangat spesifik sepanjang bulan Ramadan.

Berbanding Dzulkefly, Azmin yang juga ketua PKR Selangor menegaskan, isu Bersih 2.0 masih kekal penting dan harus diperjelaskan dengan terperinci kepada mereka yang tinggal di luar kawasan Lembah Klang.

Bersih 2.0: Peguam PKR pula tayang video nafi dakwaan polis


PETALING JAYA— Peguam-peguam PKR menayangkan rakaman video mereka sendiri, yang dirakamkan ketika 9 Julai lalu di kawasan terowong KL Sentral, sebagai respons kepada dakwaan polis kononnya peserta perhimpunan memprovokasi pasukan keselamatan sehingga memaksa menggunakan gas pemedih mata.

Polis menayangkan rakaman video mereka Khamis lalu dan kemudian disiarkan menerusi RTM sejak itu.

KL Sentral merupakan antara lokasi menjadi fokus pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat berhimpun sebelum cuba bergerak ke kawasan Stadium Merdeka.

Naib Presiden N. Surendran, Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah dan anggota Lawyers for Liberty Fadiah Nadwa Fikri menayangkan rakaman yang dirakamkan oleh Free Malaysia Today dan TV Selangor kepada media hari ini sambil menafikan satu demi satu dakwaan pihak polis.

Peguam-peguam itu berkata, dalam satu klip, Ketua Polis Daedah Brickfields Wan Bari Wan Khalid kelihatan menjerit ke arah para peserta agar bersurai dan dalam satu minit kemudian mengarahkan pegawainya melepaskan tembakan dan memekik “bawah” sebanyak tiga kali sebelum 12 tembakan kedengaran.

Sebelum tembakan gas pemedih dilepaskan, kumpulan peserta perhimpunan bersemuka dengan barisan anggota polis dari satu jarak yang agak jauh.

“Persoalan kami, adakah sesuatu yang sah bagi polis melepaskan begitu banyak tembakan ke atas mereka yang menyertai demostrasi? Bukan kumpulan yang besar ketika itu, ia ruang kecil di dalam terowong,” katanya lagi.

Sivarasa menambah, polis juga seharusnya memberi penunjuk perasaan masa selama lima minit untuk bersurai sebelum memberikan amaran kedua dan ketiga.

Satu lagi klip menunjukkan seorang lelaki dihalang oleh polis dan seorang lagi anggota polis pula memukulannya berulang kali menggunakan cota.

Khamis lalu, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Salleh Mat Rashid berkata, enam pasukan penyiasat polis telah menjalankan siasatan mereka berhubung dakwaan tindakan keras yang digunakan untuk menangani perhimpunan 9 Julai dan tidak menggunakan kekerasan ketika menangani perhimpunan Bersih 2.0.

Hari ini, Ketua cabang Klang Yew Boon memberitahu pemberita bahawa kanister gas pemedih terkena bahagian mata sebelah kiri, sekali gus menyebabkan luka kecil.

“Saya kecewa dengan tindakan polis, tidak berperikemanusiaan dan kejam,” kata beliau.

“Orang ramai tidak berniat dan secara fizikal untuk menyerang, sebaliknya mereka (polis) yang menyerang kami, kami semua warganegara yang mencintai keamanan dan keadilan, tetapi kini nampaknya pihak polis tidak berfikiran begitu dan menggunakan pendekatan melampau, bukan saya seorang yang mengalami kecederaan,” kata beliau.

Sivarasa berkata Yew bukan satu-satunya yang terkena tembakan di bahagian kepala.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad terkena di bahagian belakang kepala dan menerima enam jahitan manakala pengawal peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Fayyadh Afiq Albakqry, 25, mengalami kecederaan lebih teruk. Kanister terkena di bahagian muka.

“Tidak dapat dinafikan bahawa raifal gas pemedih mata dengan sengaja, bukan sahaja dituju ke arah orang ramai, tetapi juga ke arah kepala mereka dengan niat mahu menyebabkan kecederaan serius.

“Hakikatnya, tiga orang, dalam kumpulan yang anda lihat dalam video, menerima tembakan di bahagian kepala bukan secara kebetulan. Raifal dihalakan terus ke bahagian kepala dengan niat mahu menyebabkan kecederaan serius,” kata beliau.

Beliau juga berkata, Naib Presiden Chua Tian Chang yang turut dikenali sebagai Tian Chua berjalan ke arah kiri, melepasi anggota polis untuk mengelakkan gas pemedih mata, tetapi ditahan oleh anggota polis berpakaian biasa, sekali gus pihak mendakwa dia mencetuskan provokasi.

“Polis ada mengeluarkan beberapa video dan mereka kelihatan memfokus ke atas YB Tian Chua berlari bersama beberapa yang lain, seolah-olah cuba menunjukkan bahawa beliau berlari ke arah polis.

“Video hari ini menunjukkan bahawa ia satu pembohongan sama sekali, satu tindakan memutar belit . . . anda boleh melihat apa yang beliau sebenarnya lakukan,” kata beliau.

Surendran berulang kali menyifatkan agar tindakan polis itu diklasifikasikan sebagai percubaan membunuh.

Penduduk Malaysia 28.3 juta, Bumiputera 67.4 peratus

THE MALAYSIAN INSIDER

PUTRAJAYA— Malaysia kini mempunyai 28.3 juta penduduk dengan bilangan lelaki melebihi wanita, demikian menurut laporan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010.

Penduduk lelaki kini adalah 14.56 juta orang dan wanita 13.77 juta orang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop ketika mengumumkan laporan itu, yang turut dihadiri Ketua Perangkawan Datuk Wan Ramlah Wan Abdul Raof.

Nor Mohamed berkata purata kadar pertumbuhan penduduk tahunan pula ialah sebanyak 2 peratus untuk tempoh 2000 hingga 2010, menurun berbanding 2.6 peratus bagi tempoh 1991 hingga 2000.

“Tidak seperti laporan terdahulu di mana ia telah memuatkan data awalan banci, laporan kali ini memuatkan data muktamad yang telah mengambil kira ralat liputan dan ralat kandungan yang diperoleh daripada Penyiasatan Penilian Liputan Banci,” katanya dipetik Bernama Online.

Banci 2010 adalah yang kelima dijalankan untuk menghasilkan data yang berguna untuk perancangan dan pelaksanaan dasar pembangunan negara. Banci sebelum ini telah dijalankan pada 1970, 1980, 1991 dan 2000.

Selangor mempunyai taburan penduduk tertinggi di Malaysia dengan 5.46 juta diikuti Johor (3.35 juta) dan Sabah (3.21 juta) manakala negeri yang mempunyai penduduk paling sedikit ialah Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu 72,413 orang dan Wilayah Persekutuan Labuan (86,908).

Beliau berkata negeri yang mempunyai kepadatan penduduk paling tinggi pula ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu 6,891 orang diikuti Pulau Pinang (1,490) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (1,478).

Katanya seiring dengan perkembangan pembangunan negara, perkadaran penduduk bandar meningkat kepada 71 peratus pada 2010 berbanding 62 peratus pada 2000.

Beliau berkata selain daripada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan paras urbanisasi 100 peratus, negeri lain yang mencatatkan paras urbanisasi yang tinggi ialah Selangor dan Pulau Pinang, masing-masing 91.4 dan 90.8 peratus.

Negeri yang mencatatkan paras urbanisasi yang rendah pula ialah Kelantan sebanyak 42.4 peratus, Pahang (50.5 peratus) dan Perlis (51.4), katanya.

Daripada 28.3 juta penduduk Malaysia yang terdiri daripada 91.8 peratus warganegara dan 8.2 peratus bukan warganegara, kumpulan etnik yang terbesar ialah bumiputera iaitu 67.4 peratus, Cina (24.6), India (7.3) dan lain-lain (0.7).

Di kalangan warganegara Malaysia, katanya, Melayu merupakan etnik utama di Semenanjung Malaysia iaitu 63.1 peratus manakala Iban mencatatkan 30.3 peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat di Sarawak sementara Kadazan/Dusun merekodkan 24.5 peratus di Sabah.

Anti-Yahudi: FAM minta maaf kata kesat ‘serang’ pemain Chelsea

LAPORAN— Reuters

KUALA LUMPUR — Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meminta maaf kepada Chelsea hari ini ekoran kenyataan anti-Yahudi yang ditujukan kepada pemain tengah pasukan itu kelahiran Israel Yossi Benayoun ketika pertemuan persahabatan di ibu negara minggu lepas.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, FAM tidak mengesahkan sama ada insiden itu terjadi ataupun sebaliknya ketika perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 21 Julai lalu tetapi menegaskan jika benar, ia hanya melibatkan sekumpulan kecil daripada 80,000 penonton yang membanjiri stadium.

“FA Malaysia ingin menegaskan bahawa kami tidak merestui sebarang bentuk sikap perkauman dalam sukan bola sepak,” kata kenyataan itu.

“Jika insiden seumpama itu benar-benar berlaku, kami memohon maaf kepada pemain terbabit dan juga kepada kelab Chelsea,” tambah kenyataan itu.

Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam tidak ada hubungan diplomatik dengan Israel.

Chelsea tidak membuat aduan mengenai isu itu dengan segera selepas perlawanan minggu lalu, sebaliknya hanya berbuat demikian kelmarin.

“Kami percaya Yossi (Benayoun) terdedah kepada kata-kata kesat anti-Yahudi oleh beberapa penyokong ketika permainan,” kata Chelsea.

“Tingkah lalu itu menyinggung perasaan, tidak boleh diterima sama sekali dan tiada ruang dalam sukan bola sepak,” katanya. — Reuters

Najib serah AG tentukan tindakan ke atas enam pemimpin PSM

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR ─ Kerajaan menerima baik keputusan polis membebaskan enam aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) hari ini, yang ditahan di bawah Ordinan Darurat (EO) bulan lepas, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata keputusan itu dibuat berdasarkan pengamatan dan siasatan yang dilakukan oleh polis.

Bagaimanapun, beliau berkata terpulang kepada Peguam Negara untuk menentukan tindakan selanjutnya terhadap enam aktivis tersebut.

“Terpulang kepada Peguam Negara untuk tentukan apa-apa tindakan yang sepatutnya, sebagai sebuah negara kita berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya dipetik Bernama Online selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mengumumkan pembebasan serentak itu selepas selesai pemeriksaan doktor.

Mereka ialah Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar, 56, setiausaha bahagian PSM Sungai Siput, A.P.Letchumanan, 49, anggota jawatankuasa pusat, Choo Chon Kai, 33 dan M.Sukumaran, 50, timbalan pengerusi PSM, M. Sarasvathy, 58, dan pemimpin pemuda, R.Sarat Babu, 25.

Mereka ditahan pada 2 Julai lepas di Seberang Prai, Pulau Pinang mengikut Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan).

Terdahulu, mereka ditahan bersama 24 yang lain dalam sebuah bas persiaran di Plaza Tol Sungai Dua, Kepala Batas pada 25 Jun dan didakwa di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan kerana cuba melancarkan peperangan ke atas Yang di-Pertuan Agong.