PETALING JAYA— Peguam-peguam PKR menayangkan rakaman video mereka sendiri, yang dirakamkan ketika 9 Julai lalu di kawasan terowong KL Sentral, sebagai respons kepada dakwaan polis kononnya peserta perhimpunan memprovokasi pasukan keselamatan sehingga memaksa menggunakan gas pemedih mata.
Polis menayangkan rakaman video mereka Khamis lalu dan kemudian disiarkan menerusi RTM sejak itu.
KL Sentral merupakan antara lokasi menjadi fokus pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat berhimpun sebelum cuba bergerak ke kawasan Stadium Merdeka.
Naib Presiden N. Surendran, Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah dan anggota Lawyers for Liberty Fadiah Nadwa Fikri menayangkan rakaman yang dirakamkan oleh Free Malaysia Today dan TV Selangor kepada media hari ini sambil menafikan satu demi satu dakwaan pihak polis.
Peguam-peguam itu berkata, dalam satu klip, Ketua Polis Daedah Brickfields Wan Bari Wan Khalid kelihatan menjerit ke arah para peserta agar bersurai dan dalam satu minit kemudian mengarahkan pegawainya melepaskan tembakan dan memekik “bawah” sebanyak tiga kali sebelum 12 tembakan kedengaran.
Sebelum tembakan gas pemedih dilepaskan, kumpulan peserta perhimpunan bersemuka dengan barisan anggota polis dari satu jarak yang agak jauh.
“Persoalan kami, adakah sesuatu yang sah bagi polis melepaskan begitu banyak tembakan ke atas mereka yang menyertai demostrasi? Bukan kumpulan yang besar ketika itu, ia ruang kecil di dalam terowong,” katanya lagi.
Sivarasa menambah, polis juga seharusnya memberi penunjuk perasaan masa selama lima minit untuk bersurai sebelum memberikan amaran kedua dan ketiga.
Satu lagi klip menunjukkan seorang lelaki dihalang oleh polis dan seorang lagi anggota polis pula memukulannya berulang kali menggunakan cota.
Khamis lalu, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Salleh Mat Rashid berkata, enam pasukan penyiasat polis telah menjalankan siasatan mereka berhubung dakwaan tindakan keras yang digunakan untuk menangani perhimpunan 9 Julai dan tidak menggunakan kekerasan ketika menangani perhimpunan Bersih 2.0.
Hari ini, Ketua cabang Klang Yew Boon memberitahu pemberita bahawa kanister gas pemedih terkena bahagian mata sebelah kiri, sekali gus menyebabkan luka kecil.
“Saya kecewa dengan tindakan polis, tidak berperikemanusiaan dan kejam,” kata beliau.
“Orang ramai tidak berniat dan secara fizikal untuk menyerang, sebaliknya mereka (polis) yang menyerang kami, kami semua warganegara yang mencintai keamanan dan keadilan, tetapi kini nampaknya pihak polis tidak berfikiran begitu dan menggunakan pendekatan melampau, bukan saya seorang yang mengalami kecederaan,” kata beliau.
Sivarasa berkata Yew bukan satu-satunya yang terkena tembakan di bahagian kepala.
Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad terkena di bahagian belakang kepala dan menerima enam jahitan manakala pengawal peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Fayyadh Afiq Albakqry, 25, mengalami kecederaan lebih teruk. Kanister terkena di bahagian muka.
“Tidak dapat dinafikan bahawa raifal gas pemedih mata dengan sengaja, bukan sahaja dituju ke arah orang ramai, tetapi juga ke arah kepala mereka dengan niat mahu menyebabkan kecederaan serius.
“Hakikatnya, tiga orang, dalam kumpulan yang anda lihat dalam video, menerima tembakan di bahagian kepala bukan secara kebetulan. Raifal dihalakan terus ke bahagian kepala dengan niat mahu menyebabkan kecederaan serius,” kata beliau.
Beliau juga berkata, Naib Presiden Chua Tian Chang yang turut dikenali sebagai Tian Chua berjalan ke arah kiri, melepasi anggota polis untuk mengelakkan gas pemedih mata, tetapi ditahan oleh anggota polis berpakaian biasa, sekali gus pihak mendakwa dia mencetuskan provokasi.
“Polis ada mengeluarkan beberapa video dan mereka kelihatan memfokus ke atas YB Tian Chua berlari bersama beberapa yang lain, seolah-olah cuba menunjukkan bahawa beliau berlari ke arah polis.
“Video hari ini menunjukkan bahawa ia satu pembohongan sama sekali, satu tindakan memutar belit . . . anda boleh melihat apa yang beliau sebenarnya lakukan,” kata beliau.
Surendran berulang kali menyifatkan agar tindakan polis itu diklasifikasikan sebagai percubaan membunuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan