Jumaat, 29 Julai 2011

Bekas duta Malaysia ke Saudi sambut baik dialog isu Wahabi

TERKINI

KUALA LUMPUR— Bekas duta Malaysia ke Arab Saudi Datuk Dr Ismail Ibrahim mengalu-alukan syor dialog diketengahkan oleh Mufti Perlis bagi menyelesaikan polemik mengenai isu Wahabi dan “kesesatan” Arab Saudi yang hangat diperkatakan ekoran satu mesyuarat Putrajaya awal minggu ini.

Dalam satu kenyataan ringkas kepada The Malaysian Insider malam tadi, Ismail yang juga bekas ketua pengarah Institut Kemajuan Islam Malaysia berkata, beliau bersedia untuk menghadiri sesi dialog yang dimaksudkan itu dan jika perlu, “akan mengambil pendirian berkecuali dalam perbincangan.”

“Saya dengan sepenuh hati menyokong dialog yang disyorkan ini demi kepentingan negara,” kata beliau yang juga bekas pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia.

Ketika ditanya sama ada akan menjadi orang tengah menyelesaikan isu terbaru ini, Ismail berkata "saya bukan nak jadi orang tengah."

"Tetapi saya menggalakkan sesi dialog itu diadakan di antara para ilmuan dan cendiakawan Islam, berbincang dengan ikhlas dan beradab, mencari penyelesaian yang baik, tanpa membuat komen dan spekulasi yang berbentuk sentimen dan emosi keterlaluan, yang mungkin juga menyentuh dasar negara Malaysia dan Saudi serta hubungan baik kedua negara ini."

Dalam satu kenyataan semalam, Dr Juanda Jaya (gambar), Mufti Perlis berkata, pihaknya akan mempelawa tokoh agama Dr. Muhammad Uthman El Muhammady agar berdialog mengenai polemik Wahabi dengan mengundang beliau ke Perlis semasa Ramadan bagi menjernihkan isu “kesesatan Saudi.”

Juanda berkata Jabatan Mufti Perlis akan menghantar mempelawa Uthman, yang telah dijemput memberi taklimat pada satu mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Isnin lalu, agar memberikan penjelasan mengenai isu tersebut khususnya kepada warga Perlis.

The Malaysian Insider difahamkan surat itu telah pun dihantar kepada pendakwah bebas itu semalam.

“Sebenarnya kami hendak menjemput beliau datang secepat mungkin, tetapi oleh kerana kita sudah menghampiri bulan Ramadan, jadi lebih elok dialog diadakan ketika bulan puasa.

“Lagipun bulan Ramadan adalah bulan yang mulia, kita boleh membincangkan isu ini dalam suasana jernih dan terbuka mengenai apa yang beliau (Uthman) mendakwa sebagai wujudnya kesesatan Saudi (dalam isu Wahabi),” kata beliau.

Juanda menegaskan, apa yang didakwa diperkatakan oleh Uthman kononnya wujud “kesesatan” berkenaan isu fahaman Wahabi adalah tidak betul.

“Apabila kenyataan beliau mengaitkan dengan Arab Saudi, ia menimbulkan kekeliruan, sebab ramai rakyat negara ini pergi ke Saudi dan bersolat di masjid-masjid di negara itu,” katanya.

“Malah kita juga menjemput imam-imam dari Arab Saudi datang ke negara, jadi apabila isu ini dibangkitkan, ia menjadi satu isu . . . jadi saya berharap beliau dapat datang ke Perlis dan menjelaskan kepada kami tentang isu sebenarnya,” kata Juanda lagi.

Mengulas pelawaan itu, Uthman yang juga Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Antarabangsa, yang dihubungi The Malaysian Insider semalam berkata, beliau sedia menerima pelawaan Juanda mengenai isu Wahabi dengan syarat ia diadakan secara tertutup membabitkan pakar-pakar berhubung perkara yang menjadi polemik sekarang.

“Saya sanggup hadir jika (dialog yang disyorkan) jika diadakan dengan penuh disiplin, beretika dengan disertai oleh pakar-pakar dan secara tertutup . . . jika tidak, saya mahu menjauhkan diri (daripada dialog),” kata Tokoh Maal Hijrah ini.

Sambil menegaskan beliau tidak mahu isu berkenaan disensasikan supaya kepentingan negara tidak terjejas, Uthman memberitahu, hanya selepas adanya hasil perbincangan, baru keputusan yang dipersetujui perlu disebarkan kepada umum.

Tiada ulasan: