Jumaat, 29 Julai 2011

Najib serah AG tentukan tindakan ke atas enam pemimpin PSM

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR ─ Kerajaan menerima baik keputusan polis membebaskan enam aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) hari ini, yang ditahan di bawah Ordinan Darurat (EO) bulan lepas, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata keputusan itu dibuat berdasarkan pengamatan dan siasatan yang dilakukan oleh polis.

Bagaimanapun, beliau berkata terpulang kepada Peguam Negara untuk menentukan tindakan selanjutnya terhadap enam aktivis tersebut.

“Terpulang kepada Peguam Negara untuk tentukan apa-apa tindakan yang sepatutnya, sebagai sebuah negara kita berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya dipetik Bernama Online selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mengumumkan pembebasan serentak itu selepas selesai pemeriksaan doktor.

Mereka ialah Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar, 56, setiausaha bahagian PSM Sungai Siput, A.P.Letchumanan, 49, anggota jawatankuasa pusat, Choo Chon Kai, 33 dan M.Sukumaran, 50, timbalan pengerusi PSM, M. Sarasvathy, 58, dan pemimpin pemuda, R.Sarat Babu, 25.

Mereka ditahan pada 2 Julai lepas di Seberang Prai, Pulau Pinang mengikut Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan).

Terdahulu, mereka ditahan bersama 24 yang lain dalam sebuah bas persiaran di Plaza Tol Sungai Dua, Kepala Batas pada 25 Jun dan didakwa di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan kerana cuba melancarkan peperangan ke atas Yang di-Pertuan Agong.

Tiada ulasan: