Jumaat, 29 Julai 2011

PRU-13: Selepas Bersih, Pakatan saji ‘buah tangan’ Ramadan-Aidilfitri


KUALA LUMPUR— Sambutan Aidilfitri kali ini bakal memperlihatkan kelainan berbanding tahun lalu. Para pemimpin dan ahli Pakatan Rakyat akan dibekalkan dengan kit maklumat khas yang membawa bersama strategi perikatan itu menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Misi mereka tidak lain tidak bukan bertujuan memastikan semangat perhimpunan Bersih 2.0 berterusan dan Pakatan Rakyat melancarkan kempen prapilihan raya umum tidak formal mereka.


Pakatan Rakyat mengambil langkah ini — program Balik Kampung — ketika perikatan tiga parti itu mendakwa pengundi terus berhadapan dengan masalah akses kepada maklumat mereka sediakan.

Jadi, ia mahu menggunakan pendekatan mudah itu untuk mendampingi rakyat di kawasan luar bandar dan memikat sokongan mereka menjelang pilihan raya umum ke-13.

Spekulasi terbaru menunjukkan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan dalam waktu terdekat selepas sambutan Aidilfitri, yang jatuh awal September.

Meskipun spekulasi awal menyebut pilihan raya umum kemungkinan diadakan tahun depan tetapi perkembangan seminggu dua ini memberi gambaran sebaliknya.

The Malaysian Insider difahamkan fokus usaha terbaru Pakatan Rakyat ialah pengundi kalangan orang Melayu.

Seperti lazimnya sebahagian besar warga Lembah Klang akan menuju kampung halaman masing-masing di seluruh negara ketika Aidilfitri.

Selain Selangor, Pakatan Rakyat turut menguasai Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Perak pada pilihan raya umum 8 Mac 2008. Perak kemudian jatuh ke tangan Barisan Nasional awal 2009.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mahu menggunakan kesempatan Aidilfitri, malah termasuk bulan Ramadan, yang bermula bulan depan bagi menghebahkan “mesej Pakatan Rakyat”.

“Ramadan bukan satu alasan bagi kami untuk duduk dan relaks. Ia bulan penting bagi Muslim dan orang Melayu di Malaysia, di samping doa dan solat yang lazim dikerjakan, kami harus menggunakan peluang pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli kami ketika balik kampung, membawa bersama isu-isu ini, risalah, untuk menyebarkan mesej Pakatan Rakyat,” kata Timbalan Presiden PKR Azmin Ali kepada The Malaysian Insider.

Ahli Parlimen Gombak ini berkata PKR sudah pun menyediakan kit maklumat khusus yang terdiri daripada penerangan mengenai isu perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai dan menggariskan kandungan janji Pakatan Rakyat menerusi Buku Jingga.

Buku Jingga dilancarkan pada 19 Disember lalu.

“Kami telah memanggil pengarah program Demi Rakyat dari setiap cabang ke ibu pejabat minggu lalu dan mereka diberikan kit maklumat ini dan butiran, dan setiausaha agung kami menjelaskan kepada mereka apa yang perlu dilakukan,” katanya lagi.

Dr Dzulkefly Ahmad
Dalam pada itu, ahli jawatankuasa kerja PAS pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, partinya bercadang untuk mengadakan forum antarabangsa yang akan disertai wakil kumpulan pembaharuan pilihan raya dari luar negara dan bekas ahli politik atau anggota masyarakat madani dari negara-negara seperti Jerman, United Kingdom, Indonesia dan Amerika Syarikat.

“Kami akan terus berhubung dengan Suruhanjaya Pilihan Raya dan juga wakil diplomatik, dengan mengemaskinikan mereka dengan butiran mengenai keadaan demokrasi di Malaysia dan meneruskan program jelajah semasa dengan diadakan majlis ceramah bagi menjelaskan isu-isu berkaitan Bersih,” katanya.

Setiausaha Publisiti DAP kebangsaan Tony Pua berkata, usaha parti itu untuk terus menyegarkan mesej Bersih 2.0 akan dipertingkatkan menerusi majlis-majlis ceramah makan malam dan program komuniti bersama pengundi Muslim ketika Ramadan.

“Kami akan berdialog dan menyertakan bersama komuniti Muslim dan menerusi ini, mesej akan disampaikan ke bawah. Kita mesti meneruskan perbincangan berterusan kerana pada umumnya, orang ramai akan melupakan isu-isu semasa selepas tiga bulan,” katanya.

Tony Pua
Bagaimanapun, soal Bersih 2.0 dan tuntutan perubahan pilihan raya bukan hanya satu-satunya isu yang Pakatan Rakyat mahu menghebahkan kepada pengundi kawasan luar bandar ketika sambutan Aidilfitri.

“Kami harus mempelbagaikan, bergerak daripada hanya memberi tumpuan pada isu Bersih. Bersih adalah penting tetapi kadangkala kepada pengundi Melayu, ia sebenarnya bukan satu-satunya isu menarik perhatian mereka,” kata Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.

Sebaliknya, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat akan memfokus pada isu yang sebati dengan kehidupan mereka, dengan mengambil kira soal kenaikan kos menjelang Hari Raya Puasa kali ini.

Dengan kadar inflasi mencecah paras tinggi, ekoran peningkatan harga makanan dan pengangkutan, kebanyakan keluarga dipercayai akan memotong perbelanjaan bagi mengikat kos sambutan kali ini.

Justeru, kata Dzulkefly, isu-isu ekonomi akan menjadi “menu” utama fokus mereka kali ini.

Kata beliau, selain itu pihaknya juga akan membawa isu-isu berkaitan salah urus ekonomi dan jurang pendapatan selain soal rasuah.

Tanpa memperincikan pendekatan PAS, Dzulkefly berkata, pihaknya akan mengedarkan bahan-bahan maklumat seperti risalah dan CD kepada masyarakat kampung selain mengadakan program-program yang sangat spesifik sepanjang bulan Ramadan.

Berbanding Dzulkefly, Azmin yang juga ketua PKR Selangor menegaskan, isu Bersih 2.0 masih kekal penting dan harus diperjelaskan dengan terperinci kepada mereka yang tinggal di luar kawasan Lembah Klang.

Tiada ulasan: