Baru setahun bekerja, sudah buat silap besar! Itu
yang terlintas dalam fikiran Azman Saadon tatkala beliau tanpa sengaja
terkepit kaki Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
ketika hendak menutup pintu kenderaan beberapa tahun lepas.
Berkongsi
kenangan itu, Azman, 53, yang merupakan pemandu rasmi kepada Yang
di-Pertuan Agong berkata kejadian itu berlaku sekitar 1995 semasa Sultan
Abdullah bergelar Tengku Mahkota Pahang yang mana beliau tanpa sedar,
telah menutup pintu kereta dalam keadaan kaki Seri Paduka masih berada
di luar.
"Saya hairan juga kenapa pintu tidak boleh dirapatkan…
beberapa kali saya cuba rapatkan pintu tapi seperti ada benda yang
menghalang dan akhirnya saya lihat ke bawah dan ternampak kasut Tuanku
berada antara dalam dan luar kereta.
"Berderau
darah saya semasa itu. Saya terus memandang Tuanku dan rupanya baginda
sudah merenung saya. Segera saya memohon ampun dan nasib baik Tuanku
'cool' sahaja dan menjawab tak mengapa," katanya kepada
Bernama di Kuantan, baru-baru ini.
Bercerita
kebiasaan pasangan diraja itu ketika berada di dalam kereta, Azman
berkata Sultan Abdullah gemar radio dipasang berbanding Raja Permaisuri
Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang suka radio
ditutup dan lazimnya mengambil peluang memeriksa telefon bimbit atau
mengait.
Pilihan radio Sultan Abdullah, menurut Azman yang
merupakan anak jati Kampung Mengkasar, Pekan ialah saluran yang
memainkan seleksi lagu 70-an dan 80-an, dengan '
volume' perlahan dan akan menitahkan supaya bunyi radio ditinggikan sedikit jika ada lagu yang digemari.
"Ada
masanya Tuanku akan mengajak untuk berborak dan topiknya selalu
berkisar tentang keluarga dan kadang-kadang tentang masalah rakyat.
Sultan Abdullah dan Tunku Azizah juga sangat prihatin dengan kebajikan
pekerja.
"Semua empat anak saya dibantu dalam soal pelajaran
sehingga ke peringkat institusi pengajian tinggi. Sesekali baginda akan
bertanya mengenai perkembangan anak dan jika ada bantuan yang
diperlukan," katanya.
Azman menambah Sultan Abdullah dan Tunku
Azizah juga amat mengambil berat akan keselamatan dan sering bertitah
supaya tidak memandu laju, terutamanya jika hari hujan atau di laluan
berbengkang-bengkok kerana dibimbangi akan membahayakan pengguna jalan
raya lain.
Malah, pemandu juga diingatkan untuk berehat secukupnya
sebelum memulakan perjalanan jauh, dan jika baginda akan bertolak ke
lokasi dengan menaiki helikopter, pemandu dititahkan bergerak sehari
awal supaya dapat berehat sebelum bertugas.
"Tapi pesanan dari
dahulu sampai sekarang baik daripada Sultan Abdullah atau Tunku Azizah
ialah beri laluan dan utamakan ambulans. Tidak mengapa jika kita
terpaksa berhenti seketika kerana dalam ambulans itu ada orang yang
perlu diutamakan," katanya.
Sepanjang 25 tahun berkhidmat dengan
pasangan diraja itu, Azman berkata beliau pernah mengalami kemalangan
jalan raya semasa membawa Tunku Azizah di Kuala Lumpur pada 2015 apabila
kenderaan mereka dihimpit oleh teksi.
"Pada ketika itu Tuanku
tergamam... saya pun terkejut juga. Selang beberapa saat kemudian Tuanku
bertanya keadaan saya dan kereta. Dari cermin pandang belakang, saya
lihat pasukan keselamatan sudah mengerumuni teksi itu dan untuk
keselamatan Tuanku, saya terus meninggalkan lokasi," katanya.
Selain
itu, bagi mereka yang mengikuti Twitter Tunku Azizah, pasti pernah
terbaca mengenai kejadian tayar kereta pancit dan menurut Azman kejadian
berlaku semasa mereka dalam perjalanan ke Johor Bahru, Johor untuk
menziarahi kerabat yang gering.
Katanya beliau mula berasa kereta
tidak stabil selepas melintasi Endau, Johor dan segera menyembah maklum
kepada Tunku Azizah untuk berhenti dan selepas diperiksa didapati tayar
belakang sebelah kiri mengalami masalah.
"Tuanku titah kepada saya
bahawa baginda tahu cara untuk menukar tayar, malangnya kereta yang
dinaiki tidak mempunyai tayar simpanan. Jadi Tuanku menghubungi kekanda
baginda yang juga Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar
untuk meminta pertolongan.
"Sultan Johor menitahkan saya
meneruskan perjalanan dengan perlahan ke Mersing yang mana di situ sudah
ada kumpulan yang menunggu ketibaan kami. Jika ada tayar simpanan,
sudah pasti Tunku Azizah akan menukar sendiri kerana baginda sememangnya
seorang yang amat berkebolehan," katanya.
-Bernama