Jumaat, 2 Ogos 2019

‘Pribumi Sabah, Sarawak tak minta pun sekolah aliran Dayak’

Oleh Hazwani Mohd Dah

 

Perjuangan Dong Zong berjaya kerana mampu kekang kuasa menteri


DURIAN TUNGGAL – Kewujudan sekolah vernakular yang diperjuangkan golongan ultra kiasu bukan sahaja menghasilkan murid yang tidak fasih berbahasa kebangsaan, bahkan pemimpin di peringkat Parlimen juga tidak mampu bertutur bahasa Melayu dengan baik.

Demikian tegas pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah pada forum Pentas Ummah bertajuk ‘Sekolah Vernakular: Memecahbelahkan Perpaduan?’ anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Melaka, baru-baru ini.

Beliau kesal dengan sikap menteri yang sehingga kini masih tidak mengambil tindakan terhadap bahasa pengantara di sekolah, walaupun Akta Pendidikan 1996 memberi kuasa kepada mereka untuk menukarnya kepada bahasa Melayu.

“Nanti saya guna bahasa kasar, susah pula keluarnya. Walaupun Sabah dan Sarawak adalah pribumi di negara ini, mereka akur menerima sekolah satu aliran dan tidak pernah meminta untuk didirikan sekolah aliran Dayak,” katanya yang dijemput sebagai panel pada forum berkenaan.

Kekesalan yang sama turut diluahkan Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan terhadap jurang pendidikan di negara ini, yang dilihat di tahap membimbangkan.

“Perjuangan Dong Zong telah berjaya kerana mampu mengekang kuasa Menteri Pendidikan untuk menghapuskan sekolah vernakular apabila Akta Pendidikan 1991 yang memberi kuasa penuh kepada menteri untuk menghapuskan sekolah ini dipinda kepada Akta Pendidikan 1996,” kata beliau.

Pada masa sama, beliau turut menyelar silibus Bahasa Melayu di peringkat sekolah vernakular yang disifatkan berada di tahap rendah berbanding sekolah kebangsaan, sekali gus menambah jurang penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan murid.

Isu sekolah vernakular sering diperdebatkan dan menjadi serius akhir-akhir ini rentetan sikap ultra kiasu yang tidak pernah putus asa dalam mempertahankan pendidikan berasaskan bahasa ibunda mereka.


Tiada ulasan: