Jumaat, 2 Ogos 2019

Apa motif Kit Siang desak Zakir Naik keluar Malaysia?: PAS

fazleen safina 

 

Kerajaan berhak tak penuhi permintaan India kerana bersifat politik

BANGI – PAS mengingatkan parti tamak haloba, DAP supaya berhenti menekan dan mendesak pendakwah terkenal antarabangsa, Dr Zakir Naik untuk meninggalkan Malaysia.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membidas kenyataan Lim Kit Siang yang menggesa Zakir keluar dari Malaysia secara sukarela.

Beliau berkata, tindakan penasihat parti rasis dan cauvinis itu tidak selari dengan jaminan yang telah diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini.

“Oleh itu, apa motif sebenar Lim Kit Siang? Saya pernah bertanya Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai isu ekstradisi Dr Zakir pada bulan lalu.

“Menerusi satu jawapan yang dikemukakan oleh beliau, Dr Zakir masuk dan keluar dari Malaysia melalui saluran sah yang telah diperuntukkan oleh undang-undang. Kerajaan juga tidak memberikan apa-apa layanan istimewa kepada beliau,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Kit Siang melalui tulisan di blognya berkata, kehadiran Zakir di negara ini boleh mencetuskan ketidakstabilan, selain menimbulkan ketidakharmonian dalam ‘keluarga’ besar Malaysia.

Malah, pemimpin DAP itu turut menyokong saranan yang ditulis oleh peguam Anas Zubedy yang mahukan pendakwah antarabangsa berkenaan keluar dari negara ini secara sukarela.

Sebelum ini, Direktorat Penguatkuasaan India (ED) dilaporkan dalam usaha mendapat waran tangkap antarabangsa terhadap Zakir yang kini tinggal di Malaysia.

Beliau dikehendaki pihak berkuasa untuk menjalani perbicaraan yang sedang berlangsung di Mumbai di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2002 negara itu.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menolak permintaan Indian untuk mengekstradisi Zakir dan tidak akan menghantar pulang pendakwah terkenal berkenaan selagi beliau tidak menimbulkan masalah di negara ini.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, dakwaan buruk ke atas Zakir Naik masih belum dibuktikan benar, bahkan nama beliau juga tiada dalam senarai merah Interpol dan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Katanya, kerajaan berhak untuk tidak memenuhi permintaan ekstradisi India kerana bersifat politik dan menepati Artikel 6 Perenggan (1)(a) Triti Ekstradisi.

“Malah, kerajaan juga berhak untuk tidak menyatakan keperluan sebab penolakan ekstradisi demi keadilan orang yang dikehendaki tersebut. Hal ini menunjukkan apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah tepat.

“PAS berdiri teguh dengan pendirian kerajaan dan YAB PM dan menyokong penerusan usaha-usaha dakwah Dr Zakir Naik di negara ini,” katanya.


Tiada ulasan: